Bermacam-macam cerita pelik dan kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku sejak tentera bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq. Askar-askar penceroboh itu bukan saja terbunuh atau cedera dalam pertempuran dengan askar-askar Iraq malah ada yang cedera atau mati akibat tertembak rakan sendiri.
Selain peluru berpandu Tomahawk yang tersasar ke beberapa negara lain termasuk Arab Saudi, Turki, Kuwait dan Iran, ada juga laporan tentang sebuah jet Tornado British musnah terkena peluru berpandu Patriot AS.
Insiden-insiden ini menimbulkan kontroversi bukan saja dari negara-negara yang terlibat, malah media British mempersoalkan tentang keupayaan peluru berpandu yang digunakan oleh AS dalam misi mereka di Iraq. Peluru berpandu AS khususnya Tomahawk disifatkan sebagai paling canggih dan tepat tetapi apa yang berlaku di Iraq membingungkan pakar-pakar ketenteraan AS.
Dalam pada itu, terdapat juga kejadian kereta kebal Challenger II milik tentera British tertembak kereta kebal rakan sendiri. Pesawat-pesawat udara AS dan British juga sudah banyak yang jatuh ditembak oleh penduduk kampung atau tentera Iraq.
Berpuluh-puluh askar marin juga cedera teruk apabila dua kumpulan tentera AS masing-masing melepaskan tembakan sesama sendiri dalam satu pertempuran pada waktu malam dengan tentera Iraq di Nasiriyah. Kejadian ini amat memalukan AS kerana askar-askar negara kuasa besar itu dikatakan terlatih, cekap dan menggunakan kelengkapan serba moden khususnya alat untuk bertempur pada waktu malam.
Keghairahan tentera darat AS dan Britain untuk mara ke Baghdad bagi menggulingkan pemerintahan rejim Saddam Hussein juga terhalang disebabkan ribut pasir luar biasa yang menyulitkan pergerakan dan mengehadkan jarak penglihatan.
Ribut pasir yang membawa debu ini juga merosakkan kelengkapan ketenteraan yang digunakan. Tentera bersekutu hanya mampu berdiam diri dalam khemah-khemah sementara menunggu ribut reda.
Bayangkan betapa terpukulnya AS dan Britain dengan insiden-insiden yang pelik ini. Pencerobohan tersebut yang tidak direstui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah tentu diperhatikan oleh masyarakat dunia.
Askar-askar tentera bersekutu sudah banyak yang mati dan cedera walaupun perjalanan mereka masih jauh. Baghdad, kubu terakhir pertahanan Saddam yang menempatkan lebih 30,000 askar Pengawal Republik yang terlatih belum dimasuki tetapi lebih 60 askar AS sudah terbunuh dan hilang manakala 24 askar British juga menerima nasib yang sama.
Tidak hairanlah setelah 13 hari perang meletus, banyak pemerhati dan penganalisis menyifatkan Washington dan London secara politik dan moralnya sudah tewas dalam kempen ketenteraan mereka di Iraq.
Sewaktu tentera bersekutu bersiap sedia untuk menyerang Baghdad melalui darat, penulis ingin bertanya adakah wajar untuk menawan bandar raya itu dengan mempertaruhkan nyawa askar-askar AS, Britain, Iraq dan juga lima juta penduduk di kota bersejara