KM Sabah (bergilir-gilir): Punca Hutang Sabah Melambung RM5 Billion
Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem pelik iaitu sistem Ketua Menteri bergilir-gilir antara kaum di Sabah, yang TIDAK ADA TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN NEGERI SABAH. Tetapi, sistem itu dilaksanakan juga oleh pimpinan UMNO/BN Sabah sebaik saja UMNO/BN dapat kuasa 2/3 dalam DUN Sabah tanpa melalui pilihanraya, setelah merampok kuasa 2/3 itu disiang hari daripada PBS yang menguasai majoriti mudah di DUN Sabah selepas pilihanraya umum Sabah pada 1994.
Bermula dengan Tun Sakaran, sebelum dilantik sebagai Yang Di Pertua Negeri ke lapan. Tun Sakaran (UMNO) adalah orang pertama menjadi KM bergilir (17.3.94 hingga 27.12.94) tidak sampai 2 tahun, beliau digantikan atau digilir oleh Datuk Salleh Tun Said (UMNO) sebagai KM bergilir kedua (28.12.94 hingga 27.5.96). Datuk Salleh hanya menyambung tempoh giliran tugas KM bergilir dari UMNO atau bumiputera Islam untuk selama 2 tahun. Sepatutnya tempoh dua tahun itu berakhir pada 17.3.96. Sebaliknya, giliran UMNO terlebih masa sehingga Mei 1996. Rakan UMNO Sabah dalam BN di Sabah mungkin memerhati gelagat pimpinan UMNO Sabah yang susah mahu turun dari kerusi KM bergilir. Pada mereka tahu janji bergilir itu pemimpin UMNO yang beria-ia sangat. Tiba-tiba bila sampai tempoh bergilir habis, mereka pula liat mahu bergilir.....
Kemudian selepas tempoh Datuk Salleh berakhir, KM bergilir seterusnya berpindah kepada kaum Cina dan Datuk Yong Teck Lee (SAPP) adalah KM bergilir ketiga (28.5.96 hingga 27.5.98). Tempoh dua tahun untuk Datuk Yong ditamatkan tanpa sebarang kontroversi sehingga berlebihan harinya. KM bergilir keempat ialah kepada kaum bumiputera non-muslim, kali ini giliran Tan Sri Bernard Dompok dari PDS/UPKO menjadi KM Sabah (28.5.98 hingga 13.3.99). Tempoh 2 tahun untuk kaum bumiputera non-muslim tidak dihabiskan. Kerana, semasa Tan Sri Dompok menjadi KM bergilir pilihanraya umum Sabah telah berlangsung. Secara kebetulan Tan Sri Dompok kalah di DUN Moyog. Kalau mengikut perjanjian sistem bergilir dua-dua tahun. BN Sabah yang menguasai 2/3 DUN Sabah sewajarnya melengkapkan tugas KM masih diperuntukan kepada kaum bumiputera non-muslim sehingga 27.5.2000. Tetapi, janji hanya tinggal janji. Sebab janji UMNO yang pegang. UMNO biasa mungkir janji. Di Terengganu, perjanjian yang ada hitam putihnya tentang wang royalti minyakpun mereka boleh mungkiri. Inikan pula janji air liur basi yang mereka tabur semasa kempen pilihanraya. Lagi senang mereka mungkiri.
Setelah mungkir janji itu terjadi cuma alasan Tan Sri Dompok kalah. Tapi calon PDS atau Upko masih ada yang menang. Kenapa tidak diberikan kepada YB PDS/UPKO yang lain yang juga layak menjawat KM bergilir itu. Apakah Tan Sri Dompok yang tidak mahu ada YB dari partinya yang meneruskan tugasan KM bergilir yang masih tempohnya??????
Dan dengan segala sepak terajang politik UMNO, naiklah Datuk Osu Sukam (UMNO) menjadi KM bergilir kelima (14.3.99 hingga 26.3.2001). Juga mengambil masa lebih dari tempoh sebenar, iaitu tempoh janji 2 tahunnya menjawat KM bergilir adalah pada 13.3.2001. Kemudian, barulah KM bergilir ketujuh, Datuk Chong Kah Kiat (LDP) yang menjawatnya selama 2 tahun (27.3.2001 hingga 27.3.2003). Datuk Chong ketika ditanya oleh wartawan telah menjelaskan bahawa beliau akan serahkan KM bergilir kepada penggantinya dan beliau berjanji tidak mahu terlebih masa walaupun seminit berada dalam kerusi KM bergilir itu. Ini, sebenarnya satu sindiran kepada para pemimpin UMNO Sabah yang cukup liat untuk turun dari kerusi KM bergilir. Sambil menunggu apa kata Dr Mahathir dengan harapan KM tidak digilirkan lagi.
Esok akan mengangkat sumpahlah seorang lagi KM bergilir yang ketujuh, iaitu Datuk Musa Aman (UMNO) bersama barisan kabinet negeri yang baru.
Sistem Penggiliran KM Yang Meyiksa Rakyat dan Kerajaan Negeri
Kepentingan rakyat tidak begitu dipandang lebih utama oleh pimpinan UMNO/BN yang menjadi parti kerajaan. Dalam banyak perkara yang berkaitan rakyat hanya dilakukan bak kata pepatah orang tua-tua 'bagai melepas batuk di tangga' dan 'hangat-hangat tahi ayam' atau lebih teruk kepimpinan UMNO/BN di Sabah memandang rakyat umpama pengemis yang menadahkan tangan meminta-minta itu ini di tepi-tepi jalan. Kerana itu, pimpinan UMNO/BN Sabah tidak dapat melihat betapa besarnya amanah rakyat yang diletakkan dibahu mereka sebagai pemimpin kerajaan. Andai benar mereka melihat amanah terhadap rakyat itu lebih besar dan berat, sudah lama rakyat di Sabah hidup bertambah selesa dan tidak ramai lagi yang berada dalam kelompok miskin. Kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat sepatutnya tidak perlu ditunggu musim kempen pilihanraya baru ada projek masuk kampung. Sekiranya benar-benar kepimpinan UMNO/BN mahu melaksanakan amanah sebagai parti yang memerintah.
Dan kerajaan Sabah seperti yang dilaporkan media, adalah negeri di Malaysia yang paling banyak berhutang kepada kerajaan pusat sehingga mencecah RM5 billion. Sebelum ini, di zaman KM lepas kita tidak dengar Sabah mempunyai hutang sebanyak itu. Di mana sudah kepintaran UMNO/BN mentadbir negeri Sabah yang mereka dakwa hanya UMNO/BN sahaja pandai mentadbir kerajaan negeri. Orang lain semuanya tidak layak.
Yang pelik, dalam UMNO/BN mendabik dada konon merekalah yang pandai dan pintar mentadbir. Kenapa hutang kerajaan Sabah bertambah tahun ke tahun. Sewajarnya, kalau benar pimpinan UMNO/BN bijak tadbir negeri, hutang akan berkurang tahun ke tahun. Ini, kita mengambil formula paling mudah.
Mana Janji 100 Hari UMNO/BN Di Sabah?
Janji 100 hari dalam retorika Sabah Baru untuk membangunkan Sabah belumpun ditepati oleh pimpinan UMNO/BN yang sudah meletakkan 7 KM bergilir. Apakah seramai tujuh KM yang bergilir itu bila duduk di atas kerusi KM selama dua-dua tahun, sekadar duduk dan menongkat kepala berfikir...APA HABUAN AKU, ANAK BINI AKU DAN KRONI-KRONI AKU daripada projek-projek kerajaan negeri yang berada dalam kuasa AKU Sebagai KM bergilir kali ini. Atau tempoh dua tahun memegang jawatan eksikutif kerajaan negeri itu semata-mata dipergunakan untuk menambahkan kekayaan peribadi, anak bini dan kroni-kroni yang setia menghamba diri kepada sang penguasa.
Tidak mustahil, andai inilah kira bicara atau perhitungan ketua-ketua menteri Sabah yang bergilir-gilir itu. Sabah akan bankrap, rakyat terus menderita dan kemajuan Sabah Baru sekadar berlegar dikalangan KM passing kepada timbalan-timbalannya, passing pula kepada pembantu menteri, pasing pula kepada pegawai tinggi kerajaan (kaki berniaga), passing lagi kepada anak bini, ipar duai, adik-beradik, passing...passing...kepada kroni, tauke dan korporat pengampu dan pembodek. Sementara untuk rakyat terbanyak sekadar tempias atau hampas-hampas yang tersisa..... Inilah, bila pemimpin yang memimpin rakyat tidak amanah.
Jangan hairan, beban hutang ini akan menjadi model politik UMNO/BN untuk kekal berkuasa dengan mengugut rakyat bila UMNO/BN kalah dalam pilihanraya nanti Sabah tidak mampu membangun kerana beban hutang yang teramat besar kepada kerajaan pusat. Satu lagi, rakyat akan ditakut-takut bahawa sekiranya UMNO/BN kalah, kerajaan pusat tidak akan membantu kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh BA/KeADILan Sabah atau parti pembangkang. Inilah modal politik bebal UMNO/BN Sabah. Mereka memperbodohkan rakyat Sabah dengan pelbagai ugutan politik. Rakyat yang buta undang-undang akan cepat terpengaruh. Pada hal, bab peruntukan kerajaan pusat kepada negeri-negeri adalah TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA tentang peruntukan wajib, selain royalty minyak Sabah.
Sebenarnya, Sabah memiliki kekayaan negeri yang boleh mensejehterakan rakyat Sabah. Disebabkan pimpinan politik yang bersilihganti menguasai kerajaan negeri tidak bijak mengurus harta kerajaan dan rakyat. Akibatnya, Sabah hampir bankrap oleh beban hutang yang dilakukan oleh pimpinan UMNO/BN sejak 1994.
Rakyat boleh mengandaikan bahawa enam KM bergilir telah mentadbir negeri Sabah dari segi pengurusan kewangan amat tidak cekap, membazir dan menyiksa rakyat Malaysia di Sabah. Ini baru cerita bab hutang kerajaan negeri kepada pusat. Bagaimana pula hasil negeri dibelanjakan. Ke mana pergi hasil negeri itu dialirkan ke dalam kantong kroni, anak bini, suku sakat atau kepada rakyat terbanyak.
Percayalah, selama kerajaan negeri ini dikuasai oleh pimpinan UMNO/BN yang rakus dan pantang melihat wang, projek dan kebendaan. Sabah dan rakyatnya tidak akan pergi jauh dari segi pembangunan. Wang ada, projek ada dan segala-galanya ada, kalau pemimpin tidak amanah, projek itu patut di kawasan ini, tiba-tiba pinda ke kawasan lain. Bagaimana kemajuan akan merata di bumi Sabah. Misalnya, kalau KM orang Sandakan projek akan bertumpu di Sandakan, kalau KM orang Kudat projek pembangunan diangkut pula ke Kudat atau KM itu orang Papar habis semua projek diangkut ke kawasannya di Papar. Sedang peruntukan pembangunan telah diatur dan dirancang ke satu-satu kawasan. Semua ini terjadi kerana orang politik yang buta pengurusan dan perancangan tapi berlagak macam orang pandai mentadbir.
Kita hormati kepimpinan KM keenam, Datuk Chong Kah Kiat dalam masa pentadbirannya banyak perkara berkaitan pentadbiran kerajaan, sosial, ekonomi dan keselamatan diambil perhatian. Sayang, dasarnya cuma berjalan dalam tempoh singkat. Seandainya Datuk Chong menjadi KM sehingga lima tahun, akan lebih banyak perubahan ke arah membina semula Sabah yang lebih maju dan berdaya saing. Kini, rakyat sedang melihat ke arah mana Sabah mahu dibawa oleh KM bergilir yang ketujuh, Datuk Musa Aman, menuju keamanan atau hutang Sabah bertambah lagi dan rakyat terus dihimpit derita......
Selepas ini kita akan bongkar satu demi satu kegagalan pimpinan UMNO/BN Sabah dalam mengurustadbirkan kerajaan negeri, sebagaimana janji 100 hari dan Sabah Baru.
Ibn Sabah,
28.3.2003M