Oleh :
Dinsman
Isu
cetak rompak VCD di kalangan PAS/BA
Pusat
Penyelidikan PAS (PPP) menganjurkan satu wacana intelek mengenai
penghayatan kesenian Islam, bertempat di Kelab Century Paradise,
di pinggiran Kuala Lumpur, 16 Nvember lalu. Kira-kira 30 orang
tokoh akademik dan kesenian dijemput untuk berbincang dalam sesi
sehari suntuk di bulan Ramadhan itu – mulai jam 10.00 pagi
santak hingga ke waktu berbuka, hanya berhenti rehat beberapa
minit untuk solat zuhor dan asar.
Saya mengucapkan syabas kepada Dr Dzulkifli dan Dr Hatta di
pihak PPP, kerana mengambil inisiatif menganjurkan wacana tersebut.
Saya percaya wacana itu merupakan satu titik tolak penting dalam
perkembangan parti PAS dan juga Barisan Alternatif (BA), yang kini
berada di atas landasan menuju ke arah kemenangan dalam
pilihanraya umum 2003/4.
Bak kata Nasir Jani (yang menegaskan bahawa dia seorang
ahli PAS), sebagai punch line pandangannya dalam pertemuan
tersebut: “Bayangkanlah kalau hari ini diadakan pilihanraya umum,
dan tengah malam ini BA diisytiharkan menang, apa akan jadi dengan
RTM esok?”
Saya tidaklah bercadang untuk melaporkan perbincangan
tersebut, yang saya kira telah dikendalikan dengan baik dan
berkesan sekali. Pembentangan oleh Dr Zainal Latif (USM) mengenai
teater dan lakonan, dan Zunar (kartunis) mengenai
halangan-halangan terhadap penyuburan kesenian di dalam PAS, cukup
memuaskan.
Saya hanya ingin melanjutkan percakapan mengenai isu yang
telah saya timbulkan dalam pertemuan tersebut, iaitu isu cetak
rompak VCD.
Alhamdulillah, setelah menjelaskan kedudukan isu ini dan
menghubungkannya dengan projek “VCD Filem Tok Guru” usaha saya
bersama Nasir Jani yang tergendala itu, dan meminta mereka
membayangkan kesannya kalau tragedi Memali itu difilemkan –
nampaknya para peserta wacana dapat menangkap maksud dan mesej
yang ingin saya sampaikan.
Telah sekian lama saya cuba sampaikan hal ini kepada
pimpinan PAS, tetapi nampaknya baru inilah ada yang menerimanya.
Dr Aziz Hanafi (ahli Dewan Ulamak PAS) yang hadir sebagai
pakar rujuk wacana tersebut, pun menegaskan bahawa mencetak rompak
VCD hukumnya adalah haram.
Ada beberapa faktor penting maka saya membangkitkan perkara
ini. Saya masih percaya bahawa projek “Filem Tok Guru” itu
kalau berhasil disebarkan seperti yang dirancangkan, akan berjaya
menangkis propaganda Mahathir dan BN yang mahu menyebarkan fahaman
bahawa Islam yang dibawa oleh PAS itu cenderong kepada militan dan
ganas.
Bahkan saya percaya lebih daripada itu. Saya percaya
“Filem Tok Guru” yang disebarkan melalui VCD ini juga akan
mampu menangkis propaganda George W Bush dan konco-konco Baratnya
yang cuba menyebarkan imej Islam di peringkat antarabangsa sebagai
agama militan dan ganas. Saya juga percaya ia mampu mengubah
persepsi orang ramai terhadap Islam sebagai agama yang tidak
memisahkan politik daripada ibadat – daripada persepsi negatif
kepada positif.
Tetapi sayangnya kita dicengkam oleh masalah cetak rompak
yang begitu berleluasa, yang dilakukan oleh orang-orang PAS
sendiri (yang orang lain itu satu hal lainlah) dan orang-orang
yang berniaga dalam pasaran PAS dan BA.
Kita harus sedar kini bahawa PAS dan BA sudah mempunyai
pasaran tersendiri. Bukan sahaja di waktu-waktu ceramah diadakan
kita dapat melihat puluhan gerai menawarkan pelbagai barangan,
tetapi di luar waktu ceramah juga terdapat pelbagai outlet
yang menjual barangan-barangan yang berhubungan dengan PAS dan BA.
Maka itu apabila kawan-kawan kreatif bidang filem dan video
dari kumpulan bukan-politik bercerita ghairah mengenai
perkembangan terbaru dunia hiburan yang melihat VCD-VCD filem
seperti “Aku Kaya”, “Boboy” dan sebagainya melonjak
jualannya hingga 400,000 keping lebih, saya tidak berasa cemburu;
kerana saya memang sedia percaya bahawa kita BA mempunyai potensi
pasaran yang lebih besar daripada itu.
Filem-filem VCD tersebut memang dibuat untuk pasaran VCD,
bukan untuk ditayang di panggung-panggung wayang. Dan ia dibuat
dalam video, bukan dalam filem. Demikianlah juga dengan “Filem
Tok Guru”. Bezanya yang lain-lain itu lakonan rekaan, manakala
yang ini ‘lakonan’ betul, atau bukan lakonan, sebaliknya
menampilkan tokoh sebenar – Tok Guru Nik Aziz sendiri – dalam
‘lakonan’ hidupnya yang real.
Sewaktu saya bersama Nordin (Tukang Fikir) dan Cikgu Din (YB)
mula merancang membuat “Filem Tok Guru” (dua tahun lalu),
target jualan kami ialah sejuta keping VCD. Kami memang percaya BA
mempunyai potensi pasaran tersendiri, yang cukup besar. Dan lebih
daripada itu BA juga mempunyai network atau jalinan
pasarannya sendiri, di seluruh pelusuk tanahair – dari Perlis
hingga ke Sarawak.
Tetapi apabila saya mencuba “pasaran BA” ini melalui
VCD “Sehari Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz”, segala-galanya
jadi hancur berkecai. Dihancurkan oleh penjual-penjual VCD dalam network
BA itu sendiri, yang rupa-rupanya selama ini mencetak-rompak itu
memang sudah menjadi sebahagian daripada perniagaan mereka.
Saya jadi hairan bagaimana ‘kerja-haram’ itu boleh
menjadi sebahagian daripada perniagaan orang-orang yang
hari-harian mereka bercakap atau mendengar orang bercakap mengenai
agama dan hukum halal-haram. Dan sebaliknya mereka itu pula
mendengar saya bercakap mengenai hakcipta dan haramnya
cetak-rompak dengan muka yang “semacam”. Seolah-olah selama
ini mereka menganggap kerja-haram itu tidak haram.
Lalu saya pun cuba bercakap mengenai perkara ini dengan
beberapa orang pimpinan tertinggi parti (PAS). Maka sekali lagilah
saya menjadi hairan, mendapati tak seorang pun pimpinan tinggi itu
memberikan respons yang diharapkan. Tak seorang pun menunjukkan
minat untuk cuba memperbaiki ‘kesalahan besar’ yang sedang
dilakukan oleh ahli-ahli jemaah gerakan Islam itu.
Saya melihat kerja-haram itu sebagai satu ‘kesalahan
besar’. Saya dan orang-orang seperti Nasir Jani, Ito dan Nordin
memang melihat perkara itu satu ‘kesalahan besar’. Tetapi
pimpinan tertinggi parti Islam PAS tidak ‘tergerak’ sedikit
pun perhatian mereka apabila saya menjelaskan hal ini kepada
mereka. Maka saya pun berasa tak ada gunanya lagi saya cuba
menarik perhatian mereka, hinggalah apabila saya diminta bercakap
dalam wacana 16 November itu.
Alhamdulillah – seperti saya sebutkan tadi, saya percaya
wacana itu merupakan satu titik tolak penting dalam perkembangan
parti PAS dan BA, khasnya dalam bidang seni dan hiburan.
Soal hakcipta dan cetak compak adalah satu perkara penting
dalam dunia seni dan hiburan. Satu perkara yang mesti dihadapi dan
dicari penyelesaiannya. Tak dapat dielak. Sikap tidak mahu
mengambil tahu seperti yang ditunjukkan selama ini bukanlah satu
sikap yang bijak. Orang boleh berkata bahawa disebabkan
kerja-haram (cetak rompak VCD) itu selama ini memberi faedah
kepada mereka maka para ulamak PAS pun sanggup membisu dan buat
tak tahu.
Masanya sudah tiba. Biarpun sudah terlewat, PAS perlulah
segera bertindak. Kita bercakap mengenai sistem kewangan Islam dan
sebagainya, mengenai pelaksanaan hukum hudud dan macam-macam lagi,
sedangkan anak-anak buah kita saban hari mencuri dan merompak di
depan kita, tidak kita pedulikan!
Satu, dari segi hukum. “Memang haram,” kata Dr Aziz
Hanafi. Satu lagi dari segi potensi pasarannya yang boleh kita
manfaatkan untuk membantu mencapai matlamat perjuangan kita.
Orang Melayu, seperti kita tahu, lebih 60 peratus penyokong
BA. Ertinya di kalangan orang Melayu ‘pasaran kita’ lebih
besar daripada ‘pasaran mereka’. Kalau pasaran
‘bebas-parti’ mereka itu boleh jual lebih 400,000 keping (tak
termasuk yang cetak rompak), saya percaya pasaran kita boleh capai
lebih satu juta. Syaratnya kita sesama kita jangan lagi main
rompak-rompak.
Pasaran mereka boleh jual versi original hingga 400,000
keping lebih ialah kerana mereka mempunyai rangkaian kedai VCD di
seluruh negara. Mereka ada beratus-ratus kedai yang mahu menjual
VCD original mereka. Kedai-kedai itu hampir semuanya tentu tak
mahu jual VCD kita (yang tak diluluskan Lembaga Penapis Filem dan
tak ada sticker Finas).
Tetapi jangan lupa – kita ada ‘rangkaian’ kita
sendiri. Dengan hasrat untuk melihat ‘rangkaian kita’ itu
dapat diwujudkan, maka pihak Pemuda PAS Pusat pun menganjurkan
satu perjumpaan dengan beberapa orang pengedar dan peniaga VCD
Lembah Kelang, bertempat di pejabat mereka, pada 8 Februari. Ketua
Dewan Pemuda, Mahfuz Omar sendiri hadir dalam perjumpaan penting
tersebut.
Sayangnya, sambutan daripada pengedar dan peniaga VCD yang
dijemput terlalu dingin. Kehadiran terlalu menyedihkan, hingga
perbincangan pun tidak dapat dibuat, apatah lagi hendak melihat
wujudnya ‘rangkaian pasaran VCD kita’ itu.
Demikianlah keadaannya. Maka Mahfuz dan Muhaimin (wakil
pihak penganjur) jangan memandang ringan perkara ini. Dr Dzulkifli
dan Dr Hatta pun hendaknya akan memandang serius perkara ini. Ini
adalah sebahagian daripada jentera penggerak gerakan Islam di
negara kita. Bunyinya sedap dan hebat, tetapi wajahnya masih
bergelumang dengan lumpur dan dosa.
Mereka sendiri mengakuinya. Berjumpa dengan seorang, dia
akan memberitahu kita: “orang itulah lanun yang merompak VCD”.
Berjumpa pula dengan orang itu, dia pun akan mengucapkan dialog
yang sama kepada orang yang lain pula. Dan seterusnya.
Maka tak usahlah kita berakhir dengan membuat tuduhan. Kita
lupakan perkara itu, setelah kita mendengarnya berkali-kali,
sekarang mari kita duduk sama-sama sebagai satu jemaah, mari kita
wujudkan “rangkaian pasaran VCD kita” ini.
Saya harap Mahfuz dan Muhaimin tidak akan mudah mengaku
kalah dalam “perjuangan ini” (membanteras kerja-haram cetak
rompak di kalangan jemaah kita sendiri, sebelum kita mengambil
tanggungjawab membanterasnya di peringkat nasional), setelah
melihat sambutan yang terlalu dingin dari pengedar dan peniaga VCD
yang kita jemput untuk perjumpaan 8 Februari lalu itu.