Mencari Koon Swan untuk selamatkan MCA

Oleh Subky Latif 

DALAM PAS kononnya ada pengganas, tetapi PAS tidak pernah mengaku kerana ia adalah tohmah orang luar. Tetapi MCA ada juga masalah iaitu ada semseng dan kongsi gelap. 

Ia pendedahan dari pemimpin MCA sendiri dan pemimpin tersebut sudah sedia bekerjasama dengan Ketua Polis Negara. 

Dato' Seri Abdullah Badawi dan Tan Sri Muhamad Rahmat telah mula masuk campur dalam urusan rumah tangga MCA atas tanggungjawab MCA adalah cawangan BN. 

Bijakkah pemimpin UMNO untuk campur tangan sedang ia pun ada masalah yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir? 

Dan adakah MCA akan puas hati kiranya masalah mereka diselesaikan oleh orang luar yang kaedahnya kira-kira menyarankan perdamaian sedang perkelahian dalam MCA itu sudah sampai ke tahap 'ada samseng dan kongsi gelap.' 

Pak Lah boleh panggil Dr. Ling Leong Sik atas kapasiti Menteri Dalam Negeri kerana MCA sudah ditohmah sudah diserapi gejala jenayah. Setakat mana dan setinggi mana kedudukan kongsi gelap dan samseng dalam MCA? Ini yang KDN perlu tahu. Tetapi Pak Lah tidak sesuai campur tangan atas kapasiti Pemangku Pengerusi BN dan Pemangku Presiden UMNO. 

Krisis MCA itu adalah mengulangi krisis saman Neo Yee Pan dulu. UMNO cuba campur tangan hatta Tun Ghafar Baba pernah menjadi pemangku pemimpin MCA. Ia sekadar reda tetapi krisis itu tidak selesai. 

Apa mungkin sekali lagi Setiausaha Agung BN akan sekali lagi menjadi pemangku ketua MCA? Tan Sri Muhamad Rahmat sendiri pun nampak seperti sudah bersedia untuk memimpin MCA sementara. 

Adakah Pak Lah sekarang hendak menjadi seperti Long Jaafar bagi menghadapi pertarungan dua kongsi gelap di Larut Hai San dan Gee Hin. Kiranya benar MCA sudah disertai kongsi gelap maka siatuasi di Larut di zaman Long Jaafar ada dalam MCA. 

Dua pilihan saja untuk mengatasi masalah ini. Pertama seperti yang disarankan oleh Ong Tee Kiat yang membongkar perkara itu, serahkan kepada tindakan polis. Negara tidak mahu kerajaan diperintah sama oleh kongsi gelap. 

Kedua minta MCA mencari seorang Tan Koon Swan datang untuk menyelamatkan krisis MCA. 

Ghafar gagal menyelesaikan krisis di bawah Neo dulu. Akhirnya perkara itu ditangani oleh Tan Koon Swan, seorang jutawan dan tokoh muda MCA ketika itu mengemukakan seolah-olah undi tidak percaya kepada pimpinan Neo Yee Pan. 

Koon Swan mengambil Dr. Ling Leong Sik sebagai orang kanannya menjelajah setiap perwakilan MCA untuk mengadakan perhimpunan agung tergempar MCA. Koon Swan bertanding untuk menjadi ketua dan dia menang. 

Dengan tindakan itu krisis itu selesai dan Yaa Pan pun hilang dalam politik MCA yang aktif. Koon Swan malangnya menghadapi tuduhan mahkamah di Singapura dan terpaksa menjalani hukuman penjara dan tidak dapat meneruskan pimpinan MCA. Di sinilah timbulnya Ling Leong Sik. 

Adakah lagi Koon Swan dalam MCA? Dan di manakah MCA hendak mencari Koon Swan? 

Dalam tinjauan yang kononnya pernah dilakukan di Putrajaya tentang tokoh yang popular di kalangan masyarakat Cina tidak menemui sebarang nama dari MCA layak untuk menduduki tiga tempat teratas. 

Yang tersenarai ialah Dr. Mahathir, Dr. Koh Tsu Koon dan Lim Kit Siang. Jika maklumat itu benar, nyatalah tokoh-tokoh MCA tidak dapat perhatian dari masyarakat Cina sendiri. Yang menaikkan tokoh-tokoh MCA itu ialah penyokong-penyokong UMNO. 

Bagi menghadapi pilihan raya jika MCA tidak bertemu seorang Koon Swan, mungkin ia boleh reda jika pimpinan MCA itu dijawat oleh Dr. Mahathir hingga selesai pilihan raya. Selepas bersara bulan Oktober ini beliau tentu banyak masa dan kerana dia s endiri dihormati oleh masyarakat Cina lebih dari masyarakat Melayu, mungkin ia boleh dibincangkan. 

Kiranya perlembagaan MCA menjadi halangan, demi kebaikan MCA, perlembagaan itu boleh dipinda. 

Tetapi ia bukan pilihan yang popular. Pilihan terbaiknya ialah mencari seorang Koon Swan.