Basra penting bagi AS

Oleh HARIS ZALKAPLI

Dalam usaha Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyerang Iraq, Presiden George W. Bush mengemukakan dengan yakin bahawa tindakan ini adalah demi kebaikan rakyat Iraq, kestabilan Asia Barat dan keselamatan dunia. Tetapi, segala tindakan Washington, sebelum dan semasa konflik ini berlangsung jelas menunjukkan agenda lain yang lebih penting bagi kuasa besar dunia itu yang jika terlaksana akan turut menjejaskan negara sekutunya. 

Jelas sekali Iraq lebih banyak kaitan dengan politik minyak dan perluasan empayar AS daripada senjata pemusnah dan apa yang dikatakan kempen menentang terorisme oleh pentadbiran Bush. Washington mengambil kesempatan daripada suasana antiterorisme pasca-11 September hari ini untuk melaksanakan serangan ke atas Iraq. Dan Iraq bukanlah satu-satunya medan AS memperluaskan empayarnya.

Sekurang-kurangnya setahun sebelum tentera bersekutu memulakan serangan ke atas Iraq, AS telah bersedia memastikan keselamatan bekalan minyaknya yang dijangka terjejas berikutan perang tersebut. Seluruh dunia, termasuk Afrika dan Amerika Latin terlibat dalam usaha memastikan keselamatan bekalan ini. 

Pada 13 September 2002, Bush dalam lawatannya ke Afrika sub-Sahara telah bertemu 11 pemimpin negara di benua itu, antaranya Chad, Cameroon, Congo-Brazzaville dan Gabon.

Agenda perbincangan utama ialah bekalan minyak dari Afrika dan perang Iraq. AS semakin banyak mengimport minyak dari negara-negara Afrika sub-Sahara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama dari Algeria dan Angola. Menurut laporan tenaga terbaru Pentadbiran Bush, AS yang hari ini mengimport 8.5 juta tong minyak sehari akan lebih bergantung kepada bekalan minyak dari luar, termasuk Afrika. 

AS ingin memastikan keselamatan bekalan minyak dari Afrika terjamin sekiranya peperangan di Iraq menjejaskan bekalan dari negara Arab, pembekal utama minyaknya; Arab Saudi dan Kuwait. Persediaan ini berdasarkan jangkaan bahawa pengeluar minyak Arab mungkin mengehadkan pengeluaran dan mengurangkan bekalan minyak global. 

Banyak negara pengeluar minyak Afrika sub-Sahara seperti Angola, Cameroon, Congo-Brazzaville, Equatorial Guinea, dan Gabon bukan ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) dan tidak akan terlibat dengan apa-apa peraturan pertubuhan itu. Persediaan ini juga bermakna AS akan cuba mempengaruhi politik negara-negara tersebut agar tidak berlaku perkara yang menjejaskan kepentingannya. Pergolakan politik di Nigeria sentiasa menjadi ancaman kepada aliran bekalan minyak. 

Usaha membina hubungan baik Washington ini sebahagian dasar tenaga pentadbiran Bush yang menganjurkan pengukuhan hubungan dengan negara-negara pembekal minyak. Afrika sub-Sahara, terutama Angola, merupakan salah satu rantau yang paling pesat pembangunan minyaknya, dengan setiap negara pengeluar semakin meningkatkan produksi. 

Syarikat-syarikat minyak AS juga semakin banyak terlibat dalam projek pembangunan industri minyak di Afrika. Selain syarikat Belanda/Britain Royal Dutch/Shell, multinasional utama dalam industri minyak Nigeria ialah ChevronTexaco iaitu pengeksport minyak kelima terbesar kepada AS. 

ChevronTexaco dan ExxonMobil merupakan syarikat utama dalam projek saluran minyak Chad-Cameroon, untuk membawa bekalan minyak Chad ke pelabuhan-pelabuhan Cameroon di Laut Atlantik. 

Bagaimanapun, usaha memastikan bekalan ini bukan hanya melibatkan membina hubungan baik tetapi juga persediaan ketenteraan, elemen penting dalam perancangan kuasa AS. Dalam lawatan bulan September itu, Bush turut bertemu pemimpin Sao Tome e Principe, Presiden Fradique de Menezes untuk berbincang mengenai keselamatan Afrika Barat. 

AS berhasrat mendirikan pangkalan tentera laut di negara itu, sebuah negara pulau di luar pantai Afrika Barat, untuk memperkukuh keselamatan rantau itu demi kepentingan minyaknya. 

Washington turut terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Venezuela pimpinan Presiden Hugo Chavez bermula Disember tahun lalu. Dasar baru Chavez menilai semula pembahagian keuntungan daripada produksi minyak negara itu oleh syarikat minyak multinasional AS tidak disenangi pentadbiran Bush yang rapat dengan industri minyak. Mogok umum untuk menjatuhkan Chavez dipelopori kelas atasan negara itu mendapat sokongan Washington, walaupun secara kurang terbuka berikutan kegagalan tindakan pertama sebelum itu. 

Selari dengan dasar tenaga barunya, AS dijangka tidak akan menghentikan cubaan menguasai negara pembekal minyak keempat terbesar dunia itu. Tambahan pula Venezuela ialah ahli paling berpengaruh OPEC, pertubuhan yang dikatakan ingin dikurangkan pengaruhnya oleh AS. Disebabkan kepentingan bekalan minyak Venezuela, pentadbiran Bush hanya memulakan perang Iraq selepas produksi minyak negara Amerika Latin itu pulih berikutan terhentinya mogok. 

Tindakan ketenteraan AS di Iraq hari ini juga dilihat ramai pihak sebagai satu usaha melemahkan OPEC. Baru-baru ini, Naib Presiden Venezuela, Jose Vicente Rangel menyatakan perang Iraq digunakan oleh AS dan Britain untuk menekan pertubuhan pengeluar minyak dunia itu. Jelas beliau, perang itu menggugat kepentingan OPEC. 

Dengan menggunakan alasan perang menentang terorisme, pentadbiran Bush juga telah meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Colombia, satu lagi negara pengeluar minyak Amerika Latin. Kepentingan AS yang tergugat di Colombia ialah operasi syarikat minyaknya, Occidental Petroleum. 

Saluran paip minyak syarikat ini sentiasa menghadapi serangan puak-puak pemberontak. Washington meningkatkan bantuan ketenteraan kepada negara Amerika Latin ini antaranya bagi meningkatkan perlindungan ketenteraan untuk fasiliti minyak Occidental Petroleum.

Akibat dilanda kekurangan bekalan Januari lalu, AS telah meningkatkan importnya dari negara musuhnya sendiri - Iraq. Ia juga dilakukan sebagai persediaan untuk menyerang negara itu. Import dari Iraq ditingkatkan dua kali ganda kepada lebih satu juta tong sehari untuk menampung kekurangan itu. Ini membuktikan kepentingan Iraq dalam bekalan minyak dunia. 

Dengan menawan Iraq yang mempunyai rizab sekurang-kurangnya 112.5 bilion tong, AS berharap cengkamannya terhadap bekalan minyak terbesar dunia akan tercapai, sekali gus memperkukuhkan kekuatannya berbanding negara-negara maju lain yang lebih bergantung kepada minyak Asia Barat. Dengan rizabnya yang besar, Iraq satu-satunya negara yang boleh menjamin bekalan sekiranya bekalan dari Arab Saudi terjejas. 

Menurut Michael Klare, Profesor Kajian Keamanan dan Keselamatan Dunia dari Kolej Hampshire dalam tulisannya Januari lalu, ekonomi negara lain akan dapat dipengaruhi Washington sekiranya sumber penting dunia ini dapat dikuasai. Matlamat inilah yang menyebabkan negara seperti Perancis, Rusia dan Jerman menentang keras tindakan ketenteraan pentadbiran Bush di Iraq. 

Syarikat minyak Perancis, Rusia dan beberapa negara lain telah menandatangani kontrak cari gali minyak di Iraq. Negara berkenaan bimbang Iraq pasca-perang akan dikuasai AS dan korporat negara itu akan memonopoli peluang perniagaan di Iraq, terutamanya minyak. Pemilihan syarikat pembinaan dan eksplorasi minyak AS seperti Halliburton, Bechtel dan Louis Berger baru-baru ini untuk membangunkan semula Iraq selepas perang menunjukkan kebimbangan mereka memang berasas. 

Akibat kepentingannya yang juga melibatkan minyak, Basrah menjadi sasaran pertama tentera bersekutu pimpinan AS untuk ditawan. Bandar ini, yang terletak berhampiran sempadan Kuwait dan Iran merupakan satu pintu masuk strategik Iraq dari Teluk. Selain Basrah, Umm Qasr juga menjadi matlamat penting tentera bersekutu. Pelabuhan di sini akan membolehkan bekalan melalui laut dibawa masuk ke Iraq. Basrah dan Umm Qasr ialah bandar penting dalam industri minyak Iraq bagi Semenanjung Faw di selatan negara itu. 

Untuk mengelakkan tentera Iraq daripada membakar telaga minyak di kawasan ini, tentera bersekutu cuba menguasai sekitar 1,000 telaga minyak di Semenanjung Faw dan pelabuhan Basrah dan Umm Qasr. Selain kedudukan strategik, minyak paling berkualiti Iraq juga banyak terdapat di telaga minyak sebelah sini. 

Matlamat ini menyebabkan tentera bersekutu terpaksa memulakan operasi ketenteraan di darat, tidak seperti perang tahun 1991 dulu. Tentera bersekutu juga berharap penduduk Syiah yang menjadi majoriti di sebelah selatan dan kurang senang dengan pemerintahan Saddam Hussein akan memudahkan tugas mereka. 

Alasan Bush dan sekutu ternyata palsu. Sekiranya senjata pemusnah menjadi sebab utama, hari ini bala tentera AS dan sekutunya pasti telah berlabuh di Semenanjung Korea dan bersiap sedia untuk berperang. Tetapi tindakan seperti ini - yang akan mengundang campur tangan ketenteraan China, negara yang berkepentingan perdagangan kepada AS - tidak selari dengan matlamat Washington. Hampir mustahil AS, sebuah kuasa dunia akan berperang bukan untuk menguasai sumber penting dunia.