Tangkap penunjuk perasaan: PAS kesal polis tidak sensitif dengan Iraq?


 Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, tindakan pihak keselamatan menahan pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 29 Mac lalu memperlihatkan pasukan tersebut tidak ada perasaan sensitif terhadap keadaan yang berlaku di Iraq. 

Beliau berkata, demonstrasi yang diadakan di bangunan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada hari itu diadakan secara aman dan tidak ada sebarang kerosakan dan kekacauan yang berlaku. 
"Jika pasukan keselamatan memantau tunjuk perasaan secara aman dan bukan melakukan provokasi, keadaan tentu lebih selesa 

"Di sebalik provokasi pun demonstrasi berjalan dengan penuh disiplin tanpa perlu pasukan keselamatan ini bertindak tidak profesional, "katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hadi menegaskan, pasukan keselamatan sepatutnya mempamerkan nilai moral yang tinggi dalam menghadapi situasi tersebut. 

Selain itu, beliau kesal kerana pihak berkuasa hanya memberikan permit kepada komponen Barisan Nasional untuk mengadakan demonstasi antiperang. 

"Sikap membenarkan komponen parti tersebut berdemonstrasi mempamerkan sikap tidak ikhlas serta 'double standard' yang diamalkan mereka," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen 

Beliau menambah, PAS konsisten menyatakan pendirian untuk menyampaikan mesej kepada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya serta tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan yang cuba menghalangnya. 

"PAS telah menunjukkan sikap perpaduannya dengan bersama-sama kerajaan meluluskan usul yang dibawa oleh Perdana Menteri di parlimen, mengutuk pencerobohan AS dan sekutunya terhadap Iraq 

"Memorandum bersama Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda BN juga diserahkan sebagai menyatakan perasaan simpati terhadap rakyat Iraq,"katanya. 

Sabtu lalu, Gabungan Antiperang Rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan KLCC bagi mngutuk serangan Amerika dan sekutunya terhadap Iraq di perkarangan KLCC. 

Bagaimanapun, perhimpunan tersebut berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan penangkapan pihak polis ke atas orang ramai termasuk pimpinan parti politik termasuk Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali dan 16 yang lain. 

Perhimpunan antiperang tersebut bermula pada pukul 2.30 petang dengan beberapa upacara termasuk ucapan beberapa pemimpin parti politik dan NGO, persembahan pentomin, ucapara melepaskan burung merpati, mengedarkan deklarasi antiperang dan risalah memboikot barangan Amerika serta laungan mengutuk Amerika, Presiden Bush, Tony Blair dan sekutunya yang menceroboh Iraq.