Mengapa Ketua Kerajaan tidak atasi sekatan laksana syariat ?


Konflik dan polemik mengenai Penyeragaman Undang-Undang Syariah (streamlining the Shariah Laws) di Malaysia masih diperbincangkan dewasa ini sama ada di forum-forum politik, kaca-kaca televisyen, dada-dada akhbar, perbicaraan-perbicaraan di Mahkamah Syariah mahupun di kalangan rakyat terbanyak tentang keikhlasan, kesungguhan dan ketelusan Kerajaan Pusat dalam menyelesaikan perbezaan bidangkuasa di antara negeri-negeri di bawah Persekutuan Malaysia. 

Sejak daripada pindaan Artikel 121 1A Perlembagaan Persekutuan yang dipercayai dimulakan usahanya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia) yang memperuntukkan bidangkuasa mengenai undang-undang Syariah dan tidak boleh diganggu gugat (secara teknikalnya) oleh Mahkamah Sivil, maka idea dan isu penyeragaman ini terus diperkatakan walaupun hangatnya sekali-sekala berdasarkan isu-isu semasa dan keadaaan politik dalam negara. 

PERUNDANGAN ISLAM 

Penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM) yang diketuai oleh Dato’ Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai satu badan penyelaras dan latihan kehakiman Mahkamah Syariah Malaysia juga dilihat oleh rakyat sebagai usaha sementara Kerajaan Pusat untuk meredakan pertikaian (dispute) dan konflik perundangan (legal conflict of interest) di antara perundangan Islam dalam negeri-negeri Persekutuan Malaysia yang tampaknya tidak dapat diselesaikan dalam jangkamasa terdekat. 

Sebagaimana yang kita maklum, Undang-undang Syariah atau Sistem Perundangan Islam merupakan satu-satunya sistem perundangan yang bersifat sejagat dan menyeluruh, yang sesuai digunakan melampaui sempadan geografi, masa dan kumpulan ras-etnik. 

Ianya mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia, yang meliputi hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekeliling, yang terdiri dari tiga komponen utama iaitu Hudud, Qisas dan Ta’zir. 

Sumber utama kepada sistem perundangan Islam ialah Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasulullah S.A.W., Ijma’ dan Qias serta diikuti pula oleh sumber-sumber lain seperti al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, Amal Ahli Madinah, Sadd al-Dzaraie’ dan sebagainya. 

Tetapi, pada hakikatnya apa yang dinamakan sebagai undang-undang Islam di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai penduduk majoriti Islam, (yang mutakhirnya diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam oleh bakal mantan Perdana Menteri) hanyalah merujuk kepada undang-undang individu dan keluarga (personal and matrimonial law) bagi orang-orang yang menganut agama Islam seperti harta berwasiat dan tak berwasiat, perkahwinan, perceraian, pertunangan, maskahwin, nafkah, penjagaan anak, pembahagian harta dan amanah bukan khairat dan seumpamanya, seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 74(2) Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut artikel ini, Badan Perundangan Negeri iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. 

Sekali imbas, kita telah dapat melihat bahawa apa yang dinamakan sebagai undang-undang Islam di Malaysia, adalah jauh tersasar dari prinsip perundangan Islam yang sebenarnya, khususnya hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan jenayah Syariah. 

Penulis ingin mengambil contoh dari segi kesalahan penzinaan, sudahlah tidak semua negeri memperuntukkan hukuman yang sebenar bagi kesalahan zina, (kecuali negeri Kelantan dan Terengganu yang telah mewartakan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah walaupun perlaksanaan dan penguatkuasaannya dihalang oleh Kerajaan Pusat atau agensinya seperti Polis Diraja Malaysia PDRM); hukuman yang dikenakan hanyalah undang-undang 356 iaitu maksimumnya 3 tahun penjara, denda RM5,000 atau 6 kali sebatan. 

Contohnya di negeri Kedah, hukuman ke atas penzina ialah denda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

Padahal kalau kita lihat, apa yang diperuntukkan oleh Syariat Islam yang sebenar tentang penzinaan ialah hukuman rejam sampai mati bagi penzina ‘muhsan’ (yang sudah berkahwin) dan 100 kali sebatan serta buang negeri bagi penzina ‘ghaira muhsan’ (yang belum pernah berkahwin). 

Justeru itu, dimanakah Islamnya ‘undang-undang Islam’ yang diamalkan di negeri-negeri di Malaysia, kalau hanya mengenakan hukuman denda mahu pun penjara. 

Maka jelas, sebagaimana pendapat orang ramai bahawa undang-undang seperti ini masih belum layak dipanggil dengan nama undang-undang Islam, kerana kalau kita melabelkannya dengan nama undang-undang Islam, bermakna kita menggubal dan mencipta undang-undang berdasarkan kemahuan dan kehendak kita sendiri, kemudian di’cop’kan dengan nama Islam, padahal ia sudah pun termaktub secara jelas dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. 

UNDANG ISLAM 

Kalau beginilah keadaanya, maka tidak adalah bezanya kita dengan kaum Yahudi yang dilaknat Allah, kerana telah meminda dan mengubah ayat-ayat Allah sesuka hati mereka dan kemudian mendakwa bahawa ia adalah dari Allah, seperti firman Allah yang bermaksud, "Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis kitab (Taurat) dengan tangan mereka (lalu mengubah hukum Allah dengan rekaan-rekaan mereka) kemudian mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah". (al-Baqarah: 79) 

Hari ini kita dimomokkan lagi dengan penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia, di mana hampir kesemua pemimpin negara begitu ghairah bercakap tentang penyeragaman undang-undang Islam di setiap negeri, kononnya supaya perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia akan lebih bijaksana sepertimana slogan sebuah parti politik pembangkang yang baru merombak barisan kepimpinannya di Pantai Timur iaitu ‘Menegakkan Islam Secara Bijaksana" walaupun salah seorang pemimpin kanannya yang baru dilantik adalah tulang belakang dalam menentang perlaksanaan undang-undang jenayah Islam (Hudud & Qisas) melalui proses mahkamah. 

Tidak terkecuali juga, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri (de facto Menteri Undang-Undang) yang turut memberikan komen supaya majlis agama dan jabatan agama menyerahkan bidangkuasa mereka kepada Kerajaaan Pusat sedangkan dahulunya beliaulah yang menentang campurtangan luar dalam sistem pengasingan bidangkuasa (separation of powers) sepertimana dalam tesis kedoktorannya. 

PENYERAGAMAN 

Apa yang pasti, idea ini dihangatkan kembali oleh akhbar-akhbar hanya selepas berlakunya perbezaaan di antara bidangkuasa dua buah negeri yang melibatkan persoalaan perlaksanaan penghakiman dan perintah sebelah pihak (ex-parte order) mengenai penguatkuasaan Undang-undang Syariah yang melibatkan penjagaan anak dan keesahan penceraian baru-baru ini. 

Yang menariknya, isu penyeragaman ini dinyahcaskan setelah berlakunya pertikaman lidah di akhbar arus perdana antara seorang menteri wanita dengan Menteri Besar sebuah negeri di utara Malaysia mengenai kemudahan berpoligami yang akhirnya bakal mantan Perdana Menteri terpaksa masuk campur untuk meredakan ketegangan yang boleh menjejaskan imej politik parti pemerintah. 

Apa pun yang berlaku, idea penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia perlu diberi perhatian oleh semua pihak, kerana ia sekurang-kurangnya menunjukkan suatu petanda baik bahawa kerajaan sudah mula mengiktiraf peranan syariat Islam walaupun rakyat umumnya mempertikaikan keikhlasan dan kejujuran mereka. 

Apa yang diharapkan terutamanya selepas kenyataan terbaru untuk mempercepatkan proses penyeragaman ini oleh bakal mantan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat bersama dengan Peguam Negara dan kementerian serta jabatan yang terbabit; adalah benar-benar ikhlas dalam usaha untuk menyeragamkan syariat Islam di negara ini dan supaya tidak dianggap sebagai satu "self-fulfilling prophecy" dan juga bukan semata-mata kerana desakan politik serta muslihat sementara menjelang pilihanraya umum yang bakal ditempuhi kelak. 


PERCANGGAHAN 

Namun, persoalan yang mungkin timbul ialah mengapa kita perlu menyeragamkan undang-undang Islam, mengapa wujudnya percanggahan syariat Islam bagi negeri-negeri di Malaysia, sedangkan undang-undang Islam itu berasal dari sumber yang satu yang tidak boleh dipertikaikan lagi kebenarannya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. 

Persoalan kedua ialah, apakah sebenarnya model ukuran (yardstick) yang akan digunakan untuk mengukur seragam atau tidaknya undang-undang Islam bagi semua negeri di Malaysia? Apakah model diasaskan dari sebuah negeri, kemudian negeri-negeri lain perlu mengikutinya? Tidak dapat dinafikan, sememangnya perundangan Islam mestilah berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. dan sumber-sumber primer yang dinyatakan di atas tadi. 

Ini bermakna semua negeri perlu menepati prinsip perundangan Islam yang sejati, bukan rekaan-rekaan yang dilabelkan dengan nama Islam, maka dengan itu tidak akan timbul lagi percanggahan di antara negeri. 

Sekiranya ini gagal dipatuhi oleh kerajaan dalam menyeragamkan syariat Islam, maka pastinya percanggahan demi percanggahan akan terus berlaku, dan yang paling kita takut ialah percanggahan intelek kita dengan apa yang telah difardhukan secara jelas oleh Allah, kerana ianya akan pasti mengundang malapetaka dan azab yang amat menyiksakan sama ada secara terang atau tersembunyi. 

SISTEMATIK 

Pada dasarnya kita mungkin boleh bersetuju dengan penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia. 

Dan sememangnya usaha ini telah lama dinanti-nantikan dan kita mengharapkan supaya kerajaan ikhlas dan benar-benar bersedia untuk melaksanakan perundangan Islam yang sewajarnya. 

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengetepikan sebarang motif politik, apatah lagi kalau ianya hanya sekadar untuk menutup mulut mufti-mufti dan para ulama’ yang dianggap boleh menggugat kepentingan kerajaan. 

Penyeragaman ini kalau dilaksanakan mengikut kaedah yang betul, ianya pasti akan memberi impak dan manfaat yang besar terhadap perkembangan hukum-hakam dalam Islam dan sistem pentadbiran keadilan (adminstration of justice) secara Islam di Malaysia, walaupun ianya hanya meliputi sebahagian kecil dan terpencil dari apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam iaitu menjadikan Islam sebagai cara hidup (Ad-Deen). 

Sepertimana kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini, penyeragaman ini janganlah disempitkan fokusnya kepada undang-undang kekeluargaan (ahwalu syakhsiyyah) dan beberapa peruntukan undang-undang yang bersabit dengannya; tetapi hendaklah meliputi secara komprehensifnya termasuklah undang-undang jenayah termasuklah hudud, qisas dan ta`zir untuk mendidik dan mengekang nafsu jahat manusia. 

Untuk rujukan, semasa pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah (sistem pemerintahan khalifah Islam terakhir yang berpusat di Turki) telah wujud undang-undang tatacara jenayah dan sivil secara teratur dan sistematik. 

RUJUKAN 

Sebagai contohnya kejayaan Perdana Menteri Turki Mehmet Ali Pasha pada waktu itu telah mengkodifikasikan (codified) satu sistem undang-undang sivil Islam yang dipanggil Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah ataupun The Mejelle yang memperincikan soal muamalat Islam seperti Mudharabah, Musharakah dan Muzaraat, undang-undang Tort Islam, hak negara, umum dan perseorangan serta berlandaskan Kaedah-Kaedah Fiqh (Qawaidh Fiqhiyyah) yang merupakan penterjemahan perlaksanaan secara realiti undang-undang Islam yang diambil daripada semangat asal dan roh Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah. 

Untuk mewujudkan keseragaman dan keselarasan undang-undang Islam di Malaysia, supaya ia dapat mengangkat martabat dan manhaj syariat Allah di bumi ini, persoalan ketiga yang perlu penulis utarakan ialah tentang wujudnya percanggahan di antara undang-undang Islam dan undang-undang sivil. 

Di negara kita, kedudukan undang-undang Islam adalah terlalu kabur dan seringkali apabila berlakunya percanggahan di antara keduanya, undang-undang sivil perlu diterima pakai dan undang-undang Islam akan terbatal setakat mana ia bercanggah. 

Ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kita dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan, untuk memperjelaskan kedudukan undang-undang Islam, supaya sekatan dan halangan yang boleh menghalang kemurnian perlaksanaan undang-undang Islam dapat dimansuhkan. 

Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana bahagian Persekutuan. 

Peruntukkan ini dijelaskan lagi dengan kebebasan beragama melalui Artikel 11(1) bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. 

Walau pun Artikel 3(1) menyebut agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi ianya hanya ditafsirkan sebagai meliputi upacara-upacara rasmi dan keagamaan dan tidak mempunyai kesan dari perspektif undang-undang. 

UPACARA RASMI 

Dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwaraya [(1988) 2 MLJ 12], Tun Dato’ Dr. Salleh Abbas (Ketua Hakim Negara pada waktu itu) sewaktu menyampaikan penghakiman mahkamah berkata: "Agama Islam dalam artikel 3 hanya meliputi upacara-upacara rasmi semata-mata", tambahnya lagi: "kita terpaksa mengetepikan perasaan peribadi (sebagai muslim) kerana inilah undang-undang negara kita, sekular. 

"Sehingga undang-undang ini dipinda, kami (mahkamah) tidak mempunyai pilihan, selain dari meneruskan apa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. 

"Pendapat yang mengatakan bahawa Islam sepatutnya menjadi agama yang memberi kesan kepada undang-undang, tidak perlu diketengahkan di dalam mahkamah, tetapi perlu diketengahkan melalui seminar, forum, orang-orang politik dan Parlimen". 

Begitulah hakikat kedudukan Islam di Malaysia. 

Malah Artikel 4(1) memperuntukkan bahawa "Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini, hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu". 

Peruntukkan ini menjelaskan lagi bahawa walau pun Islam disebut sebagai agama Persekutuan, tetapi ia tidak boleh mengatasi peruntukan-peruntukan perlembagaan yang lain, dan ini ternyata bercanggah dan tidak selari dengan kehendak Islam. 

Lebih menyedihkan kita, Artikel 160 pula yang memberi tafsiran tentang ‘undang-undang’, perkataan Islam tidak di masukkan, apa yang ditakrifkan sebagai undang-undang hanyalah common law, adat dan kelaziman serta undang-undang bertulis yang lain. 

Di samping itu juga, terdapat satu lagi akta yang menyempitkan peranan undang-undang Islam dan perlaksanaannya iaitu Akta Undang-undang Sivil (Civil Law Act) 1956. 

Melalui Seksyen 3 dan 5 akta ini, ia telah memberikan kedudukan yang istimewa kepada ‘common law’ Inggeris dan memperkecil serta menafikan peranan luas undang-undang Islam. 

AKTA 

Mengikut akta ini, jikalau tidak ada peruntukan lain dibuat oleh mana-mana undang-undang bertulis mahkamah hendaklah mentadbir dan mengenakan undang-undang Common Law Inggeris dan Kaedah Ekuiti yang ditadbirkan di England pada 17 April 1956. 

Ianya perlu dimansuhkan jika kerajaan benar-benar berhasrat untuk melihat keseragaman undang-undang Islam menjadi kenyataan. 

Di antara akta-akta lain yang perlu diberi perhatian ialah: 

1.Seksyen 112 Akta Keterangan (Evidence Act) 1960, berhubung dengan tempoh kandungan bagi memastikan bahawa anak yang baru dilahirkan adalah sah di sisi undang-undang (presumption of legitimacy of a child), dan juga Seksyen 100 akta yang sama, berhubung dengan pentafsiran pemilikan harta pusaka (interpretation of wills), perlu dikecualikan daripada dikenakan ke atas orang Islam. 

2.Seksyen 4, Akta Mahkamah Kehakiman (Court of Judicature Act) 1964, yang memperuntukkan bahawa jika berlaku percanggahan di antara mana-mana undang-undang (termasuk Islam) dengan akta ini, maka peruntukan akta ini perlu diterima pakai.Peruntukan ini perlu dimansuhkan. 

3.Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (Guardianship of Infants Act) perlu dikecualikan daripada diterima pakai ke atas orang-orang Islam. 

4.Akta Pemegang Amanah (Trustee Act) 1949. Perkataan ‘wakaf’ perlu dikecualikan daripada definisi ‘amanah’ (trust) di bawah akta ini. Begitu juga dengan Seksyen 4, Kanun Tanah Negara 1965. 

5.Seksyen 51, Akta Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, perlu dipinda bagi membolehkan pihak yang memeluk Islam, mempunyai hak untuk memohon kepada mahkamah bagi membatalkan perkahwinannya sebelum Islam. 

Apa yang dapat penulis rumuskan di sini, kerajaan yang mempunyai kuasa melalui Parlimen untuk menggubal, memansuh dan meminda mana-mana peruntukkan undang-undang, perlu memberikan perhatian yang sewajarnya bagi menghapuskan sekatan-sekatan, halangan-halangan dan kesamaran yang wujud, seandainya mereka benar-benar ikhlas ingin memanifestasikan hasrat penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia. 

Keseragaman undang-undang Islam pada hemat penulis, tidak harus dilihat dalam kepompong bidang kuasa badan Perundangan Negeri yang terlalu kecil dan terbatas, tetapi ia juga perlu dilihat dalam konteks bidang kuasa yang ada pada Kerajaaan Persekutuan yang mempunyai kuasa Legislatif melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Secara khulasahnya, keseragaman undang-undang Islam perlu dilihat dari perspektif, pertama dan paling penting ialah seragamnya undang-undang yang dinamakan sebagai Islam itu dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W. 

Kedua, keseragaman undang-undang Islam di setiap negeri yang membentuk komponen Persekutuan secara kumulatif dan terakhir, keseragaman undang-undang sivil dengan perundangan Islam dan tuntutan Syariat Allah yang Maha Perkasa. 

Jika tidak, idea penyeragaman undang-undang Islam ini hanyalah sebagai satu `state of utopia’ ataupun suatu mitos, mainan politik dan retorik semata-mata.