Oleh :
Wartawan CABARAN
Wawancara
dengan Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz, Pegawai Agama di Istana
Negara, Kuala Lumpur.
Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz berasal dari
Pattani, dilahirkan di Perlis. Mempunyai sembilan orang adik
beradik, dia mendapat pendidikan menengah di Derma English School,
Arau, setelah tamat darjah enam sekolah rendah. Derma English
School ialah sekolah Inggeris. Ketika itu, mana ada orang Melayu
belajar sekolah Inggeris?
Dua
tahun sahaja di situ, dia bertukar ke sekolah agama-Arab Alawiyah,
kerana ayahnya tidak suka dia ke sekolah Inggeris. Pada tahun
1966, ketika berada dalam Tiga Thanawi, dia ditawarkan menjadi
peserta Tahfiz al-Quran. Selepas tamat pengajian menghafal al-Quran,
pada tahun 1969, berusia 21 tahun, dia melanjutkan pelajaran ke
Mesir, selama tujuh tahun.
Mula
bekerja pada 1 Disember 1976, di Pusat Islam. Pada 24 Oktober 1977
dia ditukarkan ke Masjid Negara, sehingga memangku jawatan Imam
Besar. Pada 16 Mac 1984 dia dipinjamkan ke Istana Negara,
sehinggalah sekarang.
“Sepatutnya
saya sudah pencen tahun lepas,” katanya, “tetapi pihak Istana
Negara tak bagi saya berhenti lagi. Maka saya pun teruskanlah. (Ketawa).”
CABARAN: Ustaz bertugas dengan Istana
Negara agak lama. Kedudukan ustaz sebagai Pegawai Istana Negara
sudah tentulah banyak perkara pahit manis boleh dikongsi. Ada
pihak mengatakan agak sukar berurusan dengan istana, terutama jika
berlaku pertembungan sesuatu perkara. Bagaimana ustaz menangani
jika berlaku pertembungan dengan pihak istana?
DATUK ABU HASAN DIN: Saya tidak
menafikan, apabila kita bertugas dengan istana, sudah tentu ada
perkaitan rapat dengan raja-raja. Bermakna tugasan kita memang
terus kepada raja. Malah saya tidak menafikan, pertembungan memang
berlaku. Bagaimanapun, semua orang istana tahu sikap saya yang
tidak akan kompromi dengan benda yang tidak betul.
Jika
benda tak betul, saya cakap tak betul. Kalau hendak marah,
marahlah! Memang saya banyak berhadapan dengan kerenah raja-raja,
sehingga hendak bergaduh. Memang saya kena hadapi semua ini.
Pernah
satu ketika tersebar cerita kononnya saya telah ditampar oleh
Sultan Johor, kerana menegur beliau. Sebenarnya kejadian tersebut
tidak wujud pun. Memang saya ada tegur. Walaupun beliau seorang
yang garang, tetapi benda salah mesti diberitahu salah.
Beliau
tanya benda hitam, kita sebut memang hitam. Takkan kita hendak
sebut putih. Itulah sikap saya. Bukan sahaja di istana, malah di
luar istana pun. Bagi saya kalau kerajaan tidak betul, saya sebut
tak betul. Umno tak betul, saya sebut tak betul. Kalau PAS tak
betul pun saya sebut. Saya bersikap tengah-tengah.
Ada pandangan mengatakan, kebanyakan
ulamak yang baik akan menjauhkan diri daripada pemerintah. Ini
bermakna golongan ulamak dan golongan umarak ini terpisah. Apa
pendapat ustaz?
Saya tidak fikir kita meminggirkan pihak
pemerintah. Saya nampak perkara salah memang saya akan sebut.
Lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan ceramah dan pendakwah.
Apabila saya menegur pemerintah tidak betul, akhirnya mereka cop
saya orang PAS (ketawa).
Saya
sebut terang-terang, saya mengundi pun tidak pernah. Banyak orang
kaitkan saya dengan Datuk Harun Din. Dia abang saya.
Saya
sekarang bertugas sebagai seorang Pegawai Istana, maka saya
menjalankan tugas berdasarkan tugasan tersebut. Saya tidak mahu
dikaitkan dengan politik. Mungkin orang kata saya ini orang
politik, sebab orang melihat saya ini kelihatan anti sikit dengan
kerajaan. Maka saya dicop orang PAS.
Kadang-kadang
saya berceramah di tempat PAS, mereka suruh saya bantai Umno,
tetapi saya kritik PAS. Oleh demikian, mereka hairan, samada saya
orang PAS atau Umno. Saya kata PAS pun tak, Umno pun tak. Dan
jangan heret saya ke dalam politik.
Berbalik tentang berlaku pertembungan
dengan pihak istana. Apakah tindakan yang dilakukan untuk mencapai
jalan penyelesaian?
Bagi saya perkara itu tiada apa-apa. Saya
hanya memperlihatkan sikap saya. Misalnya waktu Sultan Perak
menjadi Agong, isunya masalah menggunakan alat muzik di dalam
masjid. Ini kerana saya difahamkan, apabila Sultan Perak hendak
berangkat ke masjid, muzik nobat akan dimainkan di dalam masjid.
Saya
beritahu, dari segi hukum memang tidak boleh. Akhirnya beliau
marahkan saya, sampai merah-merah muka. Saya tetap bertegas dengan
hukum. Jika beliau hendak halau ke, hendak marah ke, terpulanglah.
Lama-kelamaan
beliau tidak puashati dengan jawapan yang saya berikan, beliau
terus bangun. Keluarga lain diam, saya pun diam. Bagi saya ini
pendapat saya. Kawan-kawan mengatakan saya berani, maka saya jawab
bukan soal berani. Takkan benda putih saya hendak jawab hitam.
Keesokannya
beliau tegur saya balik seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ini
kerana beliau merasakan dirinya hakim, dan setiap hujah
menggunakan logik akal.
Kali
kedua, saya bergaduh lagi dengan Sultan Perak kerana beliau hendak
merasmikan lumba kuda. Saya nasihat kepada beliau, jangan pergi.
Jawabnya, “apa salahnya.” Dan akhirnya beliau pergi juga.
Ada
beberapa kali saya bertembung dengan Sultan. Dan ramai pegawai di
sini beritahu hanya saya sahaja yang dapat menegur raja. Setakat
kena marah dan kena tengking itu perkara biasa sahaja.
Setakat ini, bagaimana hubungan ustaz
dengan semua raja-raja di Malaysia?
Hubungan saya dengan raja-raja, baik. Kalau
jumpa di mana-mana sekalipun saya tetap beramah dengan mereka.
Misalnya Sultan Johor, jika bertemu dalam apa-apa majlis, beliau
panggil dan bercakap dengan saya seperti biasa. Sultan Perak, jika
bertemu bertepuk-tepuk dengan saya. Lagipun mungkin saya merupakan
pegawai istana yang paling lama.
Pegawai-pegawai
yang lain kebanyakan telah bertukar, Cuma saya sahaja yang tidak
tukar-tukar (ketawa). Saya hendak berhenti pun jadi payah.
Tambahan pula sekarang Raja Perlis menjadi Agong, lagi sukar saya
hendak berhenti. Nanti beliau rasa kita tidak bersetuju hendak
kerja dengannya.
Ulamak tidak berpeluang mendekati umarak
sekaligus untuk menyatakan pandangan kepada mereka. Malah umarak
sentiasa meminggirkan suara ulamak.
Seperti saya sebut tadi, dalam keadaan yang
perlu ditegur akan saya tegur. Oleh kerana tugas saya di istana,
nanti jika saya campur tangan tak pasal-pasal depa mengamuk kat
saya. Tetapi setakat ini memang saya tegur, tidak kira samada
dalam ceramah atau di luar. Misalnya saya sendiri telah digam oleh
RTM sudah berbelas-belas tahun.
Sekian lama ustaz tidak pernah muncul
dalam televisyen, baru-baru ini ustaz telah
kembali menerusi rancangan Al-Kulliyyah terbitan TV3.
Nak kata saya muncul dalam TV1, mungkin tak
ada harapanlah lagi. Mungkin sudah bercerai talak tiga (ketawa).
Saya sudah sekian lama memang berkecil hati dengan mereka. Sebelum
ini sudah berkali-kali mereka memanggil saya, tetapi saya tetap
menolak. Mereka mengatakan yang gam adalah Jakim, tidak dari RTM.
Rupa-rupanya ada perbezaan antara Jakim dan RTM.
Pihak
RTM juga meminta saya untuk muncul, tetapi saya tidak mahu.
Akhirnya apabila saya muncul dengan TV3, mereka soal mengapa saya
pergi ke sana? Saya sebut kepada mereka, kalau TV3 panggil tengah
malam pun saya pergi, walaupun mereka tidak bayar wang.
Saya
terasa dendam dengan RTM, sebab mereka kata kita ni demand.
Bila masa kita demand? Bayangkan kita buat rakaman untuk
RTM, ada antara cek yang saya terima sudah 11 bulan rakaman
berlangsung. Sehingga saya sendiri tidak ingat. Buat rakaman
ketika Raya Haji, dapat wang lepas raya tahun depan.
Sebenarnya
dalam soal wang, kita tidak pernah berkira langsung. Jadi mengapa
tuduh kita demand? Dalam hati kecil saya sampai sekarang
masih terasa.
Misalnya
TV3 – bukanlah kita ni hendak duit sangat, tetapi jika mereka
kasi, kita ambil. Jika tidak beri sekalipun kita tidak minta. Saya
sudah biasa dengan TV3, sehingga sudah banyak kali TV3 datang ke
Istana Negara untuk rakaman Al-Kulliyah. Dan pihak RTM pernah
bertanya kepada saya untuk rakaman di Istana Negara. Saya jawab
tak tahu (ketawa).
Rancangan Al-Kuliyyah bulan Ramadhan
membawa sedikit kelainan. Kita melihat tokoh pemimpin pembangkang
dapat muncul di TV3. Bagaiamana mula tercetus idea sedemikian rupa?
Disebabkan saya sudah biasa dengan TV3, maka
saya tanya kepada TV3, mengapa kita tidak mahu bergilir-gilir
masuk tokoh-tokoh seperti Datuk Harun Din dan Ustaz Ismail Kamus.
Mula-mula mereka tidak bersetuju, atas alasan mereka telah digam.
Saya sebut kepada mereka, kita buat satu rancangan bercakap atas
topik agama, bukan bercakap tentang politik.
Orang
politik banyak terdiri daripada golongan ustaz-ustaz dan begitu
juga orang PAS ramai ustaz. Saya bagi idea kepada mereka. Dalam
hal ini Ustaz Alias begitu komited, lalu beliau sediakan kertas
kerja dan hantar kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Dan
akhirnya Perdana Menteri sendiri yang meluluskan kertas kerja
tersebut. Dan saya menyenaraikan nama-nama panel tersebut.
Apakah yang dicapai melalui Al-Kulliyyah?
Pertama sekali, kita hendak cuba gandingkan
orang politik antara parti pemerintah dan pembangkang duduk semeja
dan bercakap topik agama. Dan saya merasakan mereka ini adalah
golongan ilmuan.
Tidak
semestinya orang-orang biasa yang bergelar ustaz sahaja boleh
bercakap soal agama, orang politik pun boleh bercakap. Mengapa
ilmu mereka tidak diambil? Walau ditonjolkan dalam Al-Kulliyyah
sekalipun, kita bercakap soal agama.
Sebelum
ini kita berbincang soal perpaduan. Soal PAS itu adalah ideologi.
Dan kita jangan fikir tentang PAS atau Umno. Bagaimana umat Islam
bersatu, jika tidak keburukannya umat Islam yang tanggung.
Ustaz tadi menyebut umat Islam perlu
bersatu. Dalam soal perpaduan Melayu, untuk bersatu adakah kita
tidak memerlukan pembangkang?
Pembangkang memang perlu, bukan kita sebut
pembangkang berpecah. Kita memang kena bersatu. Misalnya orang PAS
Melayu-Islam, orang Umno pun Melayu-Islam.
Tetapi mereka bermusuh. Cuma dalam soal
politik, parti Umno pemerintah dan PAS pembangkang. Jika ada
perkara yang tidak betul, PAS akan membangkang .
Saya
tidak menafikan setiap parti dengan ideologi masing-masing. Ada
Umno, ada PAS, tetapi apabila bertemu berilah salam. Jangan
kata-mengata, tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah. Ini yang
menyebabkan berlaku perpecahan.
Pembangkang
sememangnya perlu ada. Adakah pemerintah akan menjalankan tugas
mereka dengan betul? Misalnya, saya sebagai seorang ustaz asyik
bercakap sahaja dan tiada siapa yang menegur. Dan tidak semestinya
setiap perkara yang saya buat, betul.
Memang
pembangkang amat diperlukan, tetapi jangan sampai bergaduh dan
bermusuh.
Dan perkembangan sekarang kita lihat semakin
teruk, serangan secara individu. Umno serang PAS dan PAS serang
Umno.
Kita
lihat perpecahan berlaku semakin teruk, dan untungnya adalah
bangsa lain. Sebenarnya saya pun tak boleh nak cakap banyak pasal
politik, sebab saya pun bukan orang politik (ketawa).
Berbalik segmen Al-Kulliyah tadi,
bagaimana ustaz melihat reaksi orang ramai?
Saya tidak menafikan ada negatif dan positif.
Ada pihak menelefon saya memuji-muji rancangan tersebut. Kedua,
kita boleh perolehi ilmu daripada kedua-dua tokoh parti yang
berbeza. Namun saya tidak menolak ada pihak memandang negatif.
Kata
mereka, mengapa dipertemukan tokoh-tokoh yang berbeza ideologi?
Saya pun jawab, apa kena-mengena dengan politik? Ini soal agama.
Saya
beritahu, soal parti, lain. Sebaliknya kita berkehendakkan ilmu
mereka. Ada suara-suara sumbang mengatakan, seolah-olah Al-Kulliyyah
memberi peluang kepada orang PAS, berbanding parti Umno. Saya
sebut, tiada kena mengena dengan parti. Misalnya tajuk perpaduan,
tiada kena mengena politik PAS dan Umno. Tengoklah macamana.
Menyentuh soal perpaduan, sebagai bekas
pelajar yang pernah menuntut di Timur Tengah, bagaimana ustaz
melihat perpaduan di sana?
Kalau bercakap perpaduan dalam konteks dunia
Islam, tidak bersatu. Apabila saya pergi ke negara Timur Tengah,
kelihatan perpecahan berlaku amat ketara. Kekuatan umat Islam
terhakis.
Cuba
kita lihat apa yang berlaku di Bosnia, Palestin, memang jelas
perpecahan. Allah SWT sudah menyebut, apabila umat Islam tiada
perpaduan maka tiada kehebatan kepada mereka. Apabila kita tiada
kehebatan maka musuh memandang kita seperti buih. Nabi bersabda,
suatu masa umat Islam begitu ramai bagaikan buih, tetapi tiada
kekuatan.
Misalnya
saya pernah pergi lawatan ke masjid al-Aqsa dan di antara bangunan
kuning dan masjid al-Aqsa, kemudian terdapat sebelas platform dan
setiap itu terdapat tempat imam.
Setiba
di sana saya solat jamak Zuhur dan Asar. Apabila tiba azan Asar,
saya melihat semua tempat mereka sembahyang, tetapi dengan imam
lain. Mereka sembahyang secara kelompok dengan imam masing-masing.
Apabila saya melihat kejadian tersebut, hati saya menjadi begitu
marah, lalu saya tanya, mengapa semua tidak sembahyang di masjid?
Ini
menunjukkan sikap dan tindakan tidak bersatu padu. Sepatutnya, apa
salahnya setelah azan Asar semua bersembahyang di masjid.
Orang
lain hanya mendengar saja bebelan saya. Cuma ada seorang anak muda
Palestin bersetuju dengan pendapat saya.
Kita
lihat dunia Arab pula, apabila Amerika serang Palestin, apa mereka
kata? Paling menyedihkan orang Islam sendiri sokong Amerika. Saudi
bijak bercakap sahaja, tetapi kemana pergi minyak mereka? Misalnya
di Malaysia kalau tak bersatu padu jadi seperti negara Arab.
Tadi ustaz menyebut kekuatan dunia Islam
dengan minyak, tetapi akhirnya orang kafir yang dapat dan
menghentam dunia Islam kembali. Bagaimana ustaz melihat perkara
ini?
Mereka tahu, umat Islam di akhir zaman memang
ramai, tetapi tiada kekuatan, berpecah-belah dan aqidah pun
tunggang-langgang. Tetapi Allah masih sayangkan umat Islam dan
diberikan kekuatan dari segi lain, seperti anugerah minyak.
Tempat
yang paling banyak minyak ialah negara Saudi, kedua Iraq, ketiga
Kuwait, keempat Emeriah. Jika keempat-empat negara ini
memberhentikan minyak ke Amerika, memang habis Amerika, sehingga
melutut mereka.
Kekuatan
sains dan teknologi, apa yang kita ada. Amerika sudah siap hala
peluru terhadap negara kononnya pengganas…
Sebenarnya perlu ada pihak yang berperanan
kepada penyatuan.
Allah telah sebut bahawasanya Allah tidak
akan mengubah nasibnya jika diri sendiri tidak mengubahnya.
Politik adalah fahaman ideologi. Kita mesti balik bersatu padu dan
bersaudara. Tidak sepatutnya perbezaan ideologi menyebabkan kita
bermusuh.
Bagaimana ada pihak telah beberapa kali
mengajak bermusyawarah atau berbincang tetapi ditolak dengan
alasan yang tidak munasabah?
Saya akui PAS memang hendak bermusyawarah
tetapi pihak satu lagi tidak mahu. Masih ego tidak tentu hala.
Saya akui memang PAS berniat baik tetapi pihak satu lagi tidak
berniat baik. Kita sebelah sahaja yang hendak memadamkan api,
sebelah lagi mencurah minyak. Saya tidak mahu bercakap dengan
mana-mana pihak.
Misalnya
satu kebakaran, saya seorang hendak padamkan minyak, sepuluh lagi
mencurah minyak. Ini yang susah. Oleh demikian, kita sama-sama
padamkan api dan sama-sama juga curahkan air.
Susah
hendak cakap, bagaimana mereka menggunakan saluran media massa.
Sebenarnya saya semakin meluat tengok, kerana teruk sangat. Saya
melihat daripada kacamata seorang agama. Memang terlalu banyak
kepincangan yang berlaku, misalnya keadilan, tidak perlulah saya
sebut, memang tiada.