Oleh : WARTAWAN CABARAN
Setelah
beberapa cadangan debat dan pertemuan antara tokoh PAS dengan
tokoh Umno tidak menjadi, akhirnya debat antara Datuk Nazri Aziz (Menteri
Pembangunan Usahawan) dengan Salahudin Ayub (Timbalan Ketua Dewan
Pemuda PAS) benar-benar jadi diadakan, pada 16 Februari lalu. Cabaran
menemui Salahuddin tiga hari selepas itu, untuk temubual ini.
CABARAN:
Pada awalnya mengapa sdr mencabar Datuk Nazri untuk berdebat?
SALAHUDIN:
Pada 10 Januari 2003 saya dijemput oleh Dewan Pemuda PAS Perak
untuk merasmikam Kempen Selamat SAR, di Markas PAS Paya Renggam,
Kuala Kangsar, dalam kawasan Parlimen Cenderoh (kawasan Datuk
Nazri). Sebelum saya bangun untuk menyampaikan ceramah kira-kira
jam 10 malam, saya telah diberikan sepucuk surat dari Datuk Nazri
yang meminta saya menghentikan pembohongan mengenai SAR, dan
seterusnya mencabar saya untuk bersumpah Quran untuk menbuktikan
kebenaran.
Dalam ceramah saya pada malam itu saya menyahut cabaran
Datuk Nazri untuk
bersumpah Quran, dengan saya meletakkan satu syarat iaitu mestilah
diadakan satu perdebatan terbuka di antara saya dan beliau, supaya
rakyat boleh mendengar segala hujah demi menyelamatkan SAR.
Datuk Nazri pada keesokan harinya (11 Januari) telah
menghubungi saya dan bersetuju dengan cabaran debat yang saya
syaratkan kepada beliau. Kami memutuskan untuk berdebat pada 16
Februari 2003 di Dewan Bahasa (DBP). Begitulah asal ceritanya.
Sebelum
hari debat, Nazri dan Pemuda Umno meminta ahli-ahli Pemuda Umno
supaya tidak hadir ke majlis tersebut. Bahkan pas masuk yang
diberikan kepada mereka pun dikembalikan. Dia dilaporkan berkata
biar dia seorang berdepan dengan penyokong-penyokong PAS. Apa
tanggapan sdr?
Memang
sikap Umno tak mahu ahli mereka mendengar hujah bagi menentukan
kebenaran. Mereka berfikiran sempit, dan memang Umno mahu
ahli-ahli begitu supaya kekal sebagai fanatik Umno. Kalau
orang-orang PAS boleh hadir untuk mendengar hujah Datuk Nazri (Umno),
mengapa pula mereka menghalang ahli Umno untuk hadir dalam
perdebatan ini? Mereka bimbang ahli-ahli Umno akan menerima
kebenaran. Ini sebenarnya yang mereka takut.
Sebelum
berdebat, apabila melihat Nazri datang dengan memakai kain pelekat
dan songkok putih, apa perasaan sdr dan apa tanggapan sdr terhadap
tindakan Nazri berpakaian demikian?
Mungkin
dia hendak tunjuk bahawa dia orang Melayu yang simpel, cara orang
kampung, walaupun dia seorang menteri. Itu stail dia dan saya tak
mahu komen.
Setelah
berlangsung perdebatan, apakah sdr berpuashati dan menganggap
tujuan sdr mencabar beliau untuk berdebat itu telah tercapai?
Saya
sebagai mewakili PAS secara rasminya telah mendedahkan segala
hujah dan maklumat bahawa kerajaan Umno/BN memang berniat,
berhasrat dan bertekad untuk menutup SAR. Ini matlamat utama saya
mencabar Datuk Nazri untuk berdebat.
Saya pulangkan dan serahkan kepada rakyat untuk menghakimi
segala hujah yang saya berikan. Bukan soal saya menang atau
popular, tetapi SAR mesti diselamatkan. Saya rasa matlamat saya
tercapai melalui perdebatan ini, iaitu saya berpeluang mendedahkan
segala konspirasi jahat Umno untuk melihat SAR berkubur.
Sdr
berpelukan dengan Nazri selepas selesai debat. Apakah itu bermakna
sdr berdua telah mencapai suatu persetujuan atau persefahaman?
Bersalaman
dan berpelukan adalah budaya orang Melayu yang bersesuaian dengan
ajaran Islam. Walaupun saya berdebat dengan beliau, tetapi beliau
bukan musuh saya.
Debat
itu berakhir dengan kedua-dua pihak menandatangani satu kenyataan
bersama yang bersetuju terhadap sesuatu. Apakah yang telah
dipersetujui itu?
Kenyataan
bersama itu adalah inisiatif pihak Dewan Bahasa (DBP), yang
mahukan institusi pendidikan Islam di negara ini dipertahankan.
Saya rasa ini satu peranan yang Dewan Bahasa cuba mainkan. Pada
pandangan saya ini satu usaha yang murni demi masa depan umat
Islam di negara ini.
Secara
ringkas, tolong nyatakan semula intipati hujah sdr yang mengatakan
kerajaan Umno/BN memang beriat dan bertekad untuk menutup SAR?
Sebenarnya
saya telah membuktikan secara langsung mahupun tidak langsung,
sememangnya kerajaan berhasrat menutup sekolah agama rakyat (SAR).
Hujah saya, pertama berdasarkan kenyataan Mahathir pada 25 Oktober,
selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno. Beliau telah membuat
keputusan memberhentikan geran perkapita kepada sekolah agama
rakyat.
Kedua, menghasut guru-guru supaya meninggalkan SAR,
sekaligus memberi tawaran untuk berkhidmat di sekolah kerajaan.
Ketiga, menanamkan suatu perasaan terhadap ibu bapa bahawa
sekolah agama rakyat (SAR) tidak mempunyai masa depan.
Keempat, tidak mengizinkan sekolah agama rakyat (SAR)
menjadi pusat peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.
Oleh demikian, inilah empat langkah disusun begitu halus,
rapi dan licik untuk memastikan SAR ini berkubur.
Secara langsung pula, saya telah membuktikan adanya surat
arahan penutupan daripada pejabat agama negeri Johor, yang
mengarahkan enam buah sekolah agama rakyat (SAR) memberhentikan
operasinya.
Saya telah kemukakan bukti, bahawa dua surat pemberhentian
telah diterima daripada enam sekolah yang berkenaan. Dan perkara
ini tidak dapat disangkal oleh Nazri dalam perdebatan tersebut.
Sememangnya kerajaan berhasrat, dan langkahnya pun telah diambil
serta merta untuk menutup SAR menerusi kerajaan negeri
masing-masing, yang diperintah oleh Umno/BN.
Dr
Mahathir mengatakan kerajan bukan hendak menutup SAR, tetapi
hendak memperbaiki mutu dan sistem pendidikan Islam di negara ini.
Apa komen sdr?
Bagi
saya ini adalah yang dicipta. Di sini saya nak kemukakan renteten
yang Mahathir pernah sebut, bahawa kerajaan tidak perlukan SAR.
Kedua, Mahathir menyebut bahawa negara ini cukup sekadar mempunyai
seorang hafiz sahaja. Ini antara isi ucapan beliau, bahawa kita
tidak memerlukan sekolah agama dan golongan ulamak.
Bila
Mahathir sebut begitu?
Ucapan
beliau di al-Azhar, Mesir. Dan lagi satu membuktikan niat Mahathir
ketika memberi taklimat Presiden kepada semua perwakilan Umno
seluruh negara dalam isu SAR, dan kenyataan beliau telah
dikeluarkan dalam akhbar Berita Minggu 16 Februari 2003.
Saya bacakan soalan yang telah dikemukakan oleh perwakilan
Umno terhadap Mahathir: “Mengapa kerajaan mengambil masa untuk
membatalkan bantuan kepada SAR, lebih-lebih lagi ketika kita
hendak menghadapi pilihanraya. Apakah tidak dapat kita tunggu
sehingga selepas pilihanraya.
“Ini kerana rakyat terutama yang fanatik kepada SAR sukar
menerimanya dan akan mengambil kesempatan daripada isu ini. Kalau
kita hentikan bantuan kepada SAR, bagaimana pula dengan Sekolah
Jenis Kebangsaan (SJK)
Cina dan Tamil yang terus berkembang maju. Kenapa kita tidak
hentikan bantuan kepada SJK ini juga?”
Secara ringkasnya Mahathir jawab begini: Walau masa mana
sekalipun, samada pilihan raya, bukan pilihan raya ataupun
menjelang pilihan raya, mereka tetapi fanatik Melayu.
Bantuan terhadap SJK pula, katanya, ini adalah sebahagian
perjanjian kita. Malahan kerjasama ini dilakukan kerana mereka
memberi sokongan dan kerjasama kepada kita. Apa akan jadi jika
kita melayan fanatik Melayu dan kita kehilangan sokongan Cina dan
India, katanya.
Hujah yang dikemukakan adalah sebagai motif politik beliau
semata-mata. Tiada bukti yang kukuh, tiada kajian menyeluruh,
sebaliknya sekadar politik panas baran, ataupun politik mee
maggi.
Dan lagi, beliau menambah, ini dilihat sebagai dendam
beliau, katanya, “Saya bercakap sebagai orang yang pernah kalah.
Pada 1969 saya fanatik Melayu, tolong orang Melayu dan cakap
sampai orang Cina benci pada saya. Tapi orang Melayu tidak sayang
juga pada saya. Akhirnya saya kalah kerana orang Cina sokong PAS.
“Jadi perlu ingat dalam politik saya sudah ada banyak
pengalaman, kita tidak akan tahu bagaimana untuk mengurus sesuatu
jika kita tidak berpengalaman.”
Di sini benar-benar memperlihat bukti dendam kesumat beliau
terhadap orang Melayu. Justeru, memang beliau berhasrat untuk
melihat SAR berkubur.
Apakah
perancangan yang akan dilakukan seterusnya oleh Pemuda PAS Pusat
dalam perjuangan menghalang kerajaan Umno/BN menutup SAR?
Pemuda
PAS Pusat telah melancarkan satu program yang diberi nama
“Jelajah SAR”. Kita turun padang bertemu dan menerangkan
kepada rakyat tentang isu ini. Dan kita akan pastikan rakyat
mendapat maklumat ini. Kita berusaha secara berterusan mempastikan
kepada rakyat bahawa Umno sememangnya ingin menutup SAR.
Kedua, kita sedang berusaha menamatkan siri kunjungan
kepada raja-raja Melayu. Kita sudah mula dengan perjumpaan bersama
Sultan Terengganu, Perak, dan Kedah akan menyusul.
Ketiga, pertemuan dengan seluruh mufti. Ini sudah bermula
dengan Mufti Negeri Sembilan, kemudian Pahang dan diikuti dengan
Johor.
Keempat, Pemuda akan mengadakan kempen Sejuta pelekat
“Selamatkan SAR”. Kita akan edarkan di tempat-tempat awam,
samada di parking kereta ataupun di shopping complex. Dalam
hal ini kita telah turun ke peringkat negeri.
Tan
Sri Murad Md Nor telah dilantik mempengerusikan jawatankuasa
mengkaji dan membuat cadangan mengenai pendidikan Islam yang baru.
Apakah sdr mempunyai sebarang harapan kepada jawatankuasa ini?
Perkara
ini telah saya jelaskan pada malam debat itu, bahawa PAS tidak
memperjuangkan SAR semata-mata atas statusquo yang ada. Kita mahu
semua pihak seperti Majlis Raja-raja Melayu, kerajaan, pembangkang,
NGO dan korporat supaya dapat menyelamatkan SAR.
Tentang kurikulum baru yang Tan Sri Murad hendak bentangkan,
saya cadangkan jika benar kerajaan berhasrat mengemaskini sistem
SAR ini, mereka perlu memastikan bahawa sembilan komponen
matapelajaran pendidikan Islam itu mesti ada. Ini untuk menjamin
ia dapat melahirkan ulamak yang telah menerima ilmu Islam
secukupnya di sekolah itu.
Komponen ini memang tidak ada dalam Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama kerajaan. Ini yang kami bersungguh-sungguh
mempertahankan SAR, kerana SAR sahaja yang memiliki sembilan
matapelajaran ini, bermula sekolah rendah, menengah rendah dan
atas, dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar. Dan
matapelajaran ini diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar.
Justeru jika kerajaan hendak mengemaskinikan sistem
pendidikan Islam maka mereka perlu pastikan perkara ini. Kerana
acuan ulamak, paling kurang mesti mempelajari matapelajaran
tersebut. Kalau tidak, mereka tidak dapat melahirkan ulamak yang
cemerlang.
Saya
terdengar di tivi Tan Sri Murad ada mengatakan Sekolah Agama
Rendah di Johor memiliki sistem yang lebih baik berbanding di
negeri lain.
Saya
akui perkara tersebut. Ini kerana di Johor mereka ada sesi petang
dengan matapelajaran Tauhid, Ibadah, Sirah, Akhlak, Tafsir. Saya
tidak menafikan memang bagus.
Menepati
sembilan komponen tersebut?
Ya,
tetapi mesti dikemaskinikan lagi. Dan cadangan terbaik tentang
matapelajaran adalah di Maahad Muhammadi, Kelantan.
Sekolah
Agama di Johor itu bukan SAR?
Asalnya
memang SAR. Bagaimanapun ia telah diambilalih oleh kerajaan negeri
dan dijadikan sebagai Sekolah Agama Negeri, dengan dibiayai
sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor, dan diletakkan di bawah
Pejabat Agama Negeri Johor.
Di sini saya sebut bahawa PAS terbuka. Perkara baik yang
dibuat oleh kerajaan tidak pernah dihalang. Tetapi jangan SAR yang
ada ini hendak dikuburkan. Itu yang salahnya.
Disamping
Sekolah Agama Negeri itu, SAR masih ada lagi di Johor?
Memang
ada, tetapi mendapat ancaman daripada pelbagai sudut. Surat arahan
telah dikeluarkan supaya ditutup. Itu bukti terang-terang bahawa
kerajaan menutup SAR.
Berbalik
kepada isu debat. Apa jadi dengan sumpah al-Quran yang dijanjikan?
Asal
ceritanya, ketika saya berceramah di Chenderoh, Nazri mencabar
saya bersumpah. Saya kata memang boleh untuk bersumpah, tetapi
dengan syarat berdebat dahulu. Ini kerana Nazri menuduh saya
berbohong tentang SAR. Maka saya bersetuju dengan syarat berdebat,
dan beliau pun bersetuju.
Asas ceritanya kerana beliau menuduh saya berbohong. Dan
beliau mengatakan kerajaan tidak mahu menutup SAR. Pada malam
tersebut saya berhujah dengan bukti-bukti kukuh tentang penutupan.
Kemudian Datuk Aziz Deraman (sebagai moderator) bertanya, saya
hendak bersumpah atau tidak. Saya bisik kepada beliau, sebenarnya
saya takut Nazri dimakan sumpah.
Kemudian Datuk Aziz beritahu kepada Nazri, dan Nazri
mengangkat kepala kepada saya, dan mengatakan terpulang kepada
saya. Memandangkan penonton pun menjerit jangan bersumpah,
maknanya saya tidak perlu bersumpah.
Bagaimana
kedudukan SAR di Kelantan dan Terengganu?
Kerajaan
negeri berterusan memberi bantuan. Di Kelantan SAR di bawah
pengurusan Yayasan Islam Kelantan, dan di Terengganu di bawah
Yayasan Islam Terengganu. Memang tiada masalah.
Tetapi
laporan akhbar mengatakan ramai pelajar yang keluar dari SAR di
Kelantan.
Mungkin
ada, ia tidak boleh dielak, sebab media massa melancarkan serangan
habis-habisan terhadap SAR. Ibubapa pun berasa takut. Guru-guru
pun ada yang keluar. Bagaimanapun, kerajaan Kelantan memberitahu,
yang keluar memang ada tetapi yang menunggu hendak masuk pun ramai
lagi. Maka tiada masalah.