Bebaskan Segera Refomasi 6.

Oleh Lee Ban Chen

Pada 10 April lalu, genaplah dua tahun penahanan enam aktivis Reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka ialah Mohamed Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Dr Badrulamin Bahron dan Lokman Noor Adam.

Mereka patut dibebaskan segera, kerana ia bukan saja permintaan ahli-ahli keluarga mereka dan desakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), tetapi juga merupakan saranan Suhakam dan Lembaga Penasihat ISA dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 6 September 2002.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memekakkan telinga terhadap rayuan dan tuntutan keluarga mereka serta badan bukan kerajaan terbabit dan ini tidak menghairankan dan sudahpun menjadi pengetahuan umum.

Tetapi tindakan sekaligus menyanggah saranan Suhakam dan Lembaga Penasihat ISA dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan, adalah sesuatu yang sukar difahami jika mereka masih mengakui bahawa negara kita mengamalkan sistem demokrasi berlandaskan pemerintahan perundangan.

Pada 10 April lalu, tatkala berjumpa dengan wakil GMI, pesuruhjaya Suhakam Profesor Hamdan, antara lain, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir kerana "belum putus asa lagi terhadap Suhakam" yang tidak dapat memenuhi tuntutan GMI selama ini, sungguhpun badan hak asasi manusia itu telah cuba sedaya-upayanya.

Menjaga maruah

Apabila diminta supaya Suhakam campurtangan agar ISA 6 dapat dibebaskan, beliau kesal kerana suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Uganda umpamanya di mana ianya boleh mengeluarkan arahan dan atau perintah yang harus dikuatkuasakan supaya kejadian yang bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dapat segera diperbetulkan.

Seandainya Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk membetulkan kejadian yang bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan saranannya juga tidak diambil endah, malah diketepikan begitu sahaja jika bertentangan dengan kepentingan politik BN, maka penubuhan Suhakam hanya merupakan "window-dresser" atau pameran tingkap semata-mata untuk menipu rakyat yang memperjuangan hak asasi manusia.

Jika perkara sekecil saranan atau campurtangan supaya Reformasi-6 dibebaskan selepas sudah dua tahun dalam tahanan, diketepikan berkali-kali, maka di manakah fungsi, maruah dan kewibawaan pesuruhjaya Suhakam yang dilantik oleh Kerajaan untuk menjaga hak asasi manusia di negara kita? Lebih baik Suhakam dibubarkan saja!

Sepertimana penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin bahawa KDN tidak terikat dengan syor Lembaga Penasihat ISA untuk membebaskan tahanan aktivis Reformasi, maka lembaga itu hanyalah alat untuk menghiasi penahanan ISA tanpa perbicaraan di mahkamah.

Lantaran itu, pada tahun 60-an dan 70-an, tahanan politik ISA telah memboikot Lembaga Penasihat kerana ia bukanlah mahkamah yang mempunyai bidangkuasa untuk membebaskan tahanan politik ISA. Ia merupakan alat pemerintah untuk melemahkan semangat juang para tahanan supaya tunduk kepada tekanan dan keperluan politik pemerintah.

Letak jawatan

Tiga puluh tahun sudah berlalu, Lembaga Penasihat masih memainkan peranannya sebagai alat perhiasan demokrasi palsu kerajaan, tanpa sebarang bidang kuasa selaras dengan lunas-lunas perundangan dan prinsip hak asasi manusia.

Jika demikian halnya, kenapa ia tidak dibubarkan saja? Mungkin sudah tibanya masanya bagi anggota Lembaga Penasihat ISA meletak jawatan bagi menjaga maruah dan kewibawaan masing-masing.

Jika Suhakam dan Lembaga Penasihat ISA tidak mempunyai bidangkuasa untuk membebaskan Reformasi-6, masakan Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi Malaysia, juga tidak berkuasa untuk membebaskan mereka? Jawabannya seolah-olah 'ia'.

Pada 6 September 2002, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penahanan 60 hari pertama mereka di bawah seksyen 73(1) ISA adalah tidak sah dan mala fide (berniat jahat).

Namun, mereka tidak dibebaskan tetapi sebaliknya dinasihat oleh para hakim terbabit supaya membuat permohonan perintah habeas corpus yang baru untuk mencabar kesahan arahan penahanan dua tahun yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut seksyen 8, ISA.

Berdolak-dalik

Sikap "berdolak-dalik" dan ketidak-konsisten hakim-hakim Mahkamah Persekutuan tersebut memperlihatkan sesuatu yang tidak kena, mungkin juga akibat tekanan politik yang nyata atau tersembunyi, kerana mengikut logik yang mudah, jika penahanan 60 hari pertama itu tidak sah dan mala fide, maka penahanan seterusnya atas arahan Menteri Dalam Negeri mengikut seksyen 8, ISA juga tidak mungkin sah, sebab ia berasaskan punca maklumat yang sama.

Reformasi-6 tidak mengarah peguam mereka untuk membuat permohonan habeas corpus yang baru, mungkin untuk membantah kekecutan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan kerana tidak berani membebaskan mereka sungguhpun telah memutuskan bahawa penahanan mereka oleh polis selama 60 hari pertama di bawah seksyen 73(1), ISA itu adalah tidak sah dan mala fide.

Mungkin juga mereka sedar bahawa akibat pindaan 1989 ISA, di mana keputusan Menteri Dalam Negeri sudah tidak tertakluk kepada sebarang bentuk kajian semula kehakiman. Dengan lain perkataan, keputusan Menteri adalah subjektif dan mutlak, sekalipun mala fide (seperti kes reformasi-6 ini), mahkamah tidak dapat berbuat apa-apa.

Nyata sekali, kuasa mutlak Menteri yang tidak boleh dikaji semula oleh mahkamah telah menghakis kuasa imbangan kehakiman terhadap kuasa pentadbiran, dan sekaligus menjejaskan asas sistem demokrasi yang berlandaskan pemerintahan perundangan selaras dengan prinsip hak asasi manusia.

Padahal, kuasa mutlak yang sama juga diberi kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Akta Pertubuhan 1966, dan pada Dis 2002, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menolak permohonan pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas apa yang dinamakan "rahsia keselamatan negara" yang kononnya tidak boleh dizahirkan di mahkamah demi kepentingan negara.

Kepentingan politik

Apa yang dinamakan "rahsia keselamatan negara" itu didedahkan oleh PSM sebagai "tipu-helah", kerana parti itu mendakwa telah ditawarkan oleh pihak peguam negara supaya mencari penyelesaian di luar mahkamah.

Caranya ialah pihak PSM menarik kes terbabit dan memohon semula kepada Pendaftar pertubuhan, dan pihak peguam negara berjanji akan bercakap dengan pendaftar agar permohonan baru pendaftaran PSM diluluskan.

Dalam keadaan begini, kewujudan apa yang dinamakan "rahsia keselamatan negara"itu memang boleh diragui. Jika "rahsia keselamatan negara" itu tidak boleh dizahirkan secara terbuka, kenapa ia tidak boleh dikemukakan dalam "bilik hakim" tanpa diketahui orang ramai?

Kenapa dakwaan Menteri itu tidak boleh dikaji semula secara objektif oleh hakim yang arif? Siapa boleh jamin Menteri berkenaan, sebagai manusia biasa juga, tidak akan berdusta untuk kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional? Atau untuk menutup kesilapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) di bawah Kementerian jagaan beliau?

Jika pemimpin Umno dan kerajaan BN tidak mengakui kuasa mutlak yang diberikan kepada menteri berkenaan adalah bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hak asasi manusia, malah mereka kelihatan seronok menikmati kuasa mutlak itu untuk menjamin kepentingan parti dan kerajaan mereka, maka prospek pendemokrasian sistem perundangan negara kita adalah malap sekali.

Mansuhkan ISA

Kerana tiada bersemangat demokrasi dan tidak menghargai prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, maka mereka tidak segan untuk mengulangi apa yang dinamakan "kepentingan keselamatan negara" dan "kepentingan rakyat majoriti".

Baru-baru ini Abdullah suka mencontohi Pemikiran Dunia Pertama, entah pemberian "kuasa mutlak" kepada menteri itu dapat digolongkan sebagai Pemikiran Dunia Pertama atau Pemikiran Dunia Ketiga ala Malaysia?

Jika tidak berani bertanggungjawab untuk membebaskan Reformasi-6 seperti saranan Suhakam dan Lembaga Penasihat ISA, dan sepertimana keputusan Mahkamah Persekutuan, apakah yang dapat diharapkan sangat terhadap Abdullah Badawi yang bakal menjadi Perdana Menteri negara kita?

Terutamanya mengenai saranan terbaru Suhakam supaya ISA dimansuh dan digantikan dengan "undang-undang komprehensif baru yang mengambil pendirian keras terhadap ancaman keselamatan negara (termasuk keganasan) dan pada masa yang sama, juga digubal selaras dengan prinsip hak asasi manusia."

 Ehsan:Malaysiakini