Oleh
Fathi Aris Omar
Reformasi
1998 bukan sahaja persaingan Anwar Ibrahim-Mahathir, bukan juga
krisis politik dalaman Umno atau pemimpin kerajaan sahaja. Ia
krisis kebangsaan. Ia membongkar kebusukan mendalam negara ini,
pemimpinnya, institusinya, ruang awamnya, masyarakatnya dan "tokoh-tokohnya".
Memang era
reformasi melahirkan kecenderungan berpihak. Setiap orang memilih
untuk menjadi pro-reformasi (atau Anwar) atau pro-kerajaan (atau
Mahathir). Tetapi itu keputusan politik, bukan keputusan
intelektual, keputusan jujur untuk mencari kebenaran yang lebih
tinggi dan luas.
Ruang
intelektual tidak dilihat. Ia ditinggalkan kosong oleh kita semua,
termasuk apa yang dikenali oleh aktivis serta penyokong reformasi
itu sendiri; misalnya, menakrif dan memahami "gejala"
reformasi itu sendiri. Ia diabaikan oleh pemikir bangsa kita.
Tidak rancak wacana yang melihat di luar percaturan kuasa, watak
Anwar-Mahathir.
Tidak wujud
penggalian (dan perjuangan) tentang hal-hal bersifat bukan politik
secara langsung. Semuanya mahu dirumuskan dalam percaturan ini.
Memang ada tema-tema baru dibawa ke muka masyarakat tetapi masih
awal serta kasar dan cetek perbincangannya.
Tema-tema
lama, misalnya kelesuan siswa, budaya intelektualisme, kualiti
kuliah di kampus, budaya membaca tidak dimasukkan bersekali dalam
kerangka besar "reformasi".
Perjuangan
politik hari ini, di luar kerajaan, seolah-olah perjuangan "pembebasan"
daripada penindasan, suara revolusi yang perlu perubahan regim dan
kuasa semata-mata. Isu-isu lain tertangguh kerana dibaca sebagai
kesan sampingan kongkongan politik.
Penunjuk
penting
Ada kesan
besar dan menarik daripada era reformasi sejak 1998. Peminat
politik makin besar, bahan bacaannya lebih tinggi edarannya. Saya
masih ingat jumlah edaran Harakah melonjak naik daripada
60,000 naskhah kepada sekitar 300,000 sewaktu kemuncak krisis
politik itu.
Kini
edarannya sekitar 200,000. Begitu juga majalah Tamadun.
Dulu terdapat majalah Dunia Islam (seakan-akan Tamadun),
edarannya sekitar 5,000 naskhah tetapi Tamadun boleh
dicetak sekitar 50,000 (di puncak krisis hingga lebih 100,000).
Pendek kata
ada kegilaan atau euphoria luar biasa terhadap politik. Begitu
juga majalah Detik atau mingguan Eksklusif atau
buku-buku politik (sehingga 50,000 naskhah), tidak termasuk karya
satira Shit (lebih 100,000). Jumlah ini satu penunjuk
penting perubahan politik -- pada hemat saya "krisis" --
yang terjadi dan membawa dampaknya hingga ke hari ini.
Tetapi, cuba
renung kembali tema-tema yang terungkap dalam helaian-helaian
terbitan ini. Apakah ia mencerminkan kemajuan buah fikir dan
peningkatan daya intelektualisme masyarakat kita?
Ada tema
baru, yang segar, khususnya melalui penerbitan berbahasa Melayu
ini tetapi tema-tema utama yang sama penting tidak terungkap.
Idea-idea seperti kebebasan berkumpul, kemerdekaan badan kehakiman,
hak asasi dan kebebasan media (antaranya) menunjukkan semacam 'kemajuan.'
Orang Melayu
akan terasa kesan kemasukan tema baru ini. Ia memperkaya kosa kata
dan slogan tetapi bukan inti debatnya. Bukan analisa penting atau
pembedahan penyakit dalam masyarakat.
Keyakinan
Peningkatan
jumlah naskhah ini tidak mencerminkan tema-tema utama yang
dibincangkan di peringkat kebangsaan. Sama ada tentang wawasan
negara bangsa dalam era globalisasi atau kritik tentang kelemahan
kita sendiri.
Sepanjang
1985-1995, dekad pertama saya bergiat sebagai aktivis pelajar dan
juga penulis, wujud tema-tema lain dan tema-tema inilah yang tidak
disampaikan sekarang secara terang dan tersusun.
Secara
tersirat dalam analisa persaingan politik, tema-tema ini turut
terselit. Tetapi semuanya itu tersedut dalam usaha menyalahkan
sistem bobrok yang didukung oleh Barisan Nasional atau Mahathir.
Dalam tempoh
itu, 1985-1995, media arus perdana seolah-olah ada "keyakinan"
untuk menyemak diri, untuk membuka perbahasan yang agak "kritikal"
kepada kerajaan dan institusinya. Setidak-tidaknya kritikan umum
dan sindiran.
Soal siswa
lesu, soal nota kuliah pensyarah "kuning" kerana tidak
pernah berganti, soal akademia yang semakin lesu (antaranya)
menjadi tema utama media perdana dan dimasukkan dalam
seminar-seminar kebangsaan. Pensyarah agak rancak menulis,
termasuk yang dilihat tidak begitu suka membodek pemimpin atau
dasar kerajaan tertentu.
Rustam A
Sani misalnya pernah cuba melihat lain sedikit dasar "budaya
penyayang" yang sedang dipromosi kerajaan ketika menulis
dalam majalah Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS),
selain kolum dalam Dewan Masyarakat. Bukunya tentang
kecendekiaan dan pembentukan bangsa menjadi naskhah nipis di
tangan penerbit Kumpulan Utusan.
Kawalan
Kritik
tentang ekonomi, bahasa, pembangunan dan kedudukan orang Melayu
menjadi tema yang baik. Kampus masih lagi dilawati pengkritik
kerajaan dan ahli politik pembangkang. Usaha menganjurkan forum
tidak banyak mendapat karenah Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Tetapi
krisis politik 1998 menghilangkan semua keyakinan diri media arus
perdana dan institusi-institusi kerajaan. Semuanya dikawal dengan
penuh cemburu, sampai boleh disebut "cemburu buta"!
Semua wacana yang dilihat menyinggung asas-asas kebijakan
pemerintah (baca: Mahathir dan Umno) tidak lagi dimasukkan, walau
sepatah kata.
Di tempat
ini, media perdana serta institusi kerajaan, diisi pula propaganda
murahan dan rendahan untuk mengukuhkan hegemoni dan kooptasi
kepemimpinan kerajaan. Umno memang tidak ada budaya berfikir
bijaksana. Oleh itu, kebodohan ini sengaja dilimpahkan melalui
media massa dan institusi-institusi kawalannya.
Seorang dua
pensyarah yang sanggup menjual kebijaksanaan serta kejujuran
akademik ditonjolkan sebagai mengukuhkan hegemoni ini. Tokoh-tokoh
lama dalam establishment, yang jarang bersuara, tiba-tiba muncul
semula. Apabila disemak, mereka semua mempunyai sejarah kerjaya
dan hubungan peribadi dengan tokoh-tokoh kepercayaan Umno.
Individu
lain tidak muncul. Sebahagian besar dicurigai menyimpan bau Anwar
atau disyaki "orang pembangkang". Memang keghairahan
kelompok ini untuk tidak bersama kerajaan (juga Mahathir) sangat
jelas.
Jika tidak
menyertai pembangkang, di kalangan kelompok kecil, mereka
berterus-terang tidak senang dengan apa yang terjadi terhadap
Anwar dan layanan umum kerajaan dalam hal-hal kebebasan.
Ketakutan
Oleh itu,
wujud semacam bantahan senyap dengan cara tidak mendukung
kebobrokan kerajaan, mungkin juga kerana takut dikutuk orang ramai
yang sedang menggila menghentam kerajaan waktu itu. Tenaga
kolektif pemikir bangsa ini akhirnya tidak bersuara secara terbuka.
Tetapi
tenaga ini tidak pula disalurkan untuk memantapkan penerbitan
alternatif. Terasa sekali jurang tenaga jama'i bijak pandai ini
sebelum dan selepas 1998, khususnya tempoh 10 tahun yang saya
nyatakan tadi.
Akhirnya,
sama ada pentas politik atau wacana media alternatif, tidak terasa
ada suara bijak pandai Melayu. Secara diam-diam barangkali mereka
memainkan peranan menyokong gerakan Anwar atau pembangkang. Boleh
jadi juga mereka membungkam ketakutan. Pendek kata mereka tidak
bersuara walaupun dengan nama pena.
Oleh itu,
wujud kitaran kerendahan hujah dan kesempitan wacana media arus
perdana yang dilengkapi oleh media alternatif. Semuanya sarat
dengan propaganda politik sebelah pihak.
Kupasannya
cetek dan ingin memenangkan pihak sendiri. Tiada renungan jujur
krisis ini. Kita seolah-olah dalam suasana perang. Bersikap sedar
diri dan jujur akan dilihat sejenis "pengkhianatan"
terhadap perjuangan demokrasi dan "rakyat". Tetapi
sampai bila?
Namun,
sejenis celaka lagi muncul daripada krisis 1998, semakin ramai
dahagakan bahan bacaan, walau tidak bermutu. Lebih ramai yang
sedar politik, termasuk anak muda. Mereka ini tersesat dalam tema
baru yang bersifat sloganan, manakala tema-tema lama tidak mereka
ketahui (kerana usia muda atau baru cakna sepak terajang politik).
Pembolotan
kuasa
Analisa
tidak cukup, tidak merentasi zaman, tidak mengungkap dekad-dekad
lepas sebagai landasan menilai krisis 1998. Orang sedar kebobrokan
hari ini. Orang juga sedar ia diwarisi daripada kongkongan sedia
ada selama ini. Tetapi orang tidak sedar jenis-jenis cengkaman dan
tahap-tahapnya. Orang tidak sedar bagaimana krisis politik
tertentu, sepanjang 20 tahun pentadbiran Mahathir, melahirkan
keruwetan tertentu.
Misalnya
apakah cara beliau menangani krisis Umno selepas Musa Hitam
melepaskan jawatan pada 1986 hingga tersungkurnya gerakan Tengku
Razaleigh Hamzah pada 1995.
Orang tidak
sedar bagaimana proses pembolotan kuasa Mahathir melalui
undang-undang sejak perlantikannya pada 1981. Apakah akta-akta
yang telah dipinda pada tahun-tahun tertentu dan fasal-fasal (dalam
akta-akta itu) yang dipinda atau ditambah sehingga membentuk
budaya cengkaman kuku besi dalam kerajaan hari ini?
Generasi
muda tidak dapat mengesan naik-turun cengkaman Mahathir dan idea-ideanya
ketika berdepan dengan isu-isu tertentu. Sikapnya terhadap pasaran
bebas dan globalisasi sebelum krisis ekonomi 1997, kembang-kempis
ruang-ruang "kebebasan" tertentu sepanjang
kepemimpinannya lebih 20 tahun dalam Umno serta kerajaan.
Malah, orang
ramai tidak sedar tema-tema kerajaan (dan juga pembangkang) ketika
menghadapi saat-saat pilihanraya umum sejak 1982 hingga 1995.
Kecetekan cerita, fakta dan analisa tentang hal-hal ini wujud
ketara di kalangan aktivis muda, siswa dan demonstran yang paling
setia pada "gerakan reformasi".
Dalam
masyarakat yang kurang minat menulis, merakam sejarah dan membaca
seperti Malaysia, menyelami tempoh masa dua dekad pemerintah
Mahathir ini sama seperti usaha menyediakan 10 tesis PhD!
Aktivis
reformasi
Malah,
mereka tidak sedar kecetekan inilah punca gerakan reformasi itu
sendiri gagal, sempit, tidak berkembang atau tertangguh
kemajuannya. Mereka tidak sedar kejahilan menguasai hal-hal ini
meninggalkan ruang hampagas dalam benak masing-masing untuk
menilai "kezaliman" Mahathir.
Kemahafiraunannya
tidak membentuk sosok yang jelas dalam minda aktivis muda dan
siswa -- golongan muda yang diharapkan untuk membawa perubahan (sekali
lagi!).
Mereka tidak
dapat melihat "garis peraturan" yang membentuk kawalan
itu. Apakah yang mendorong sindrom bisu di kalangan anggota
masyarakat, misalnya? Kenapa siswa serta generasi muda tidak
"minat" berpolitik atau berpengetahuan atau membaca (sesuatu
di luar bidang pengkhususannya)?
Bahkan,
kenapa wujud "kebangkitan" orang ramai yang tidak aktif
berpolitik sebelum ini (1998), juga masih lagi satu misteri, gagal
terjawab di kalangan aktivis reformasi itu sendiri.
Soalan
"apa itu reformasi" diungkap samar-samar, gagal
dihuraikan dan dimengertikan, apatah lagi dipersetujui bersama (sekurang-kurangnya
di kalangan penyokong reformasi) walau kegiatan kepembangkangan
serta demonstrasi masih setia diikuti.
Kita
menyertainya atas sebab peribadi -- bukan sesuatu yang lebih
bermakna di luar proses diri, suatu proses sosial, politik,
ekonomi, atau agama di pentas masyarakat. Tafsiran serta
falsafahnya tidak jelas dan sangat lompong.
Tidak
responsif
Sekali imbas,
ia nampak terbuka, lalu terdedah untuk ditafsirkan oleh sesiapa
sahaja. Tetapi sesiapa pun tidak menafsirkannya! Pembabitan kita
dengan reformasi menjadi ruang kosong yang misteri.
Gerakan
reformasi yang mendadak, 'reactionary', tidak tersusun akibat
krisis yang sifatnya luar biasa membingungkan (serta keras) ini
menolong melahirkan "tokoh-tokoh" baru (dan muda) dalam
politik kepembangkangan. Nama mereka menjulang tinggi kerana
sejarah demonstrasi, keberanian dan penindasan kerajaan. Tetapi,
masa depan bukannya di tangan mereka ini.
Isu-isu yang
menggelegak pada 1998-99 tidak surut-surut selepas pilihanraya
umum ke-10, malah ia membuka lebih besar kebobrokan kerajaan BN
serta Mahathir. Kerajaan ini langsung tidak responsif melihat
penghakisan jumlah undi dalam pilihanraya itu.
Malah, ia
melihat itu semua penunjuk untuk mengetatkan lagi apa-apa yang
boleh menjadi lubang kritikan terhadapnya. Gerakan reformasi,
aktivisnya dan generasi muda bersamanya, berdepan lagi dengan
tekanan baru yang dramatik dan penuh perasaan.
Kerajaan
tidak membuka ruang dalam media arus perdana untuk tema-tema
pembangunan bersama diwacanakan. Media alternatif masih juga
dengan kelemahan asas ini. Generasi muda, tunas baru perubahan,
terjerumus lagi dalam kancah kesegeraan untuk menangani kenyataan
buruk ini.
Budaya
politik
Kocak keruh
air tidak pernah dibiarkan tenang jernih. Mereka tidak sempat
merenung ke belakang dan menjernih sudut pandang; untuk melihat
gambaran besar. Ruang inilah yang kosong, tidak terisi.
Ada
kesedaran baru untuk membawa semula "reformasi" dalam
konteksnya yang lebih jujur: untuk memperkasa rakyat, untuk
mengkritik budaya politik, untuk memecah dominasi ahli politik,
untuk membina ruang awam, untuk melihat ke dalam dan diri sendiri
(kehidupan bernegara dan bangsa).
Tetapi usaha
ini masih sangat awal dan terbatas. Umumnya pembangkang dan
aktivis reformasi melihat dunia politik Malaysia dalam kerangka
fikir 1998,-1999. Mereka tidak dapat keluar daripada tabiat benak
yang sudah lazim ini. Apatah lagi mereka menyimpan agenda untuk
menguasai suasana politik menjelang pilihanraya umum akan datang.
Usaha-usaha majalah Aliran Monthly (beberapa edisi mutakhir),
beberapa tulisan saya (yang mengkritik pembangkang) dan diskusi
dengan teman-teman penulis-aktivis seni budaya dilihat asing,
bukan dilihat sebahagian proses melanjutkan reformasi politik yang
jujur dan tulen. Reformasi dalam erti kata yang asli, bukan
"Re-for-ma-si" sebagai gerakan Anwar sejak dipecat (dan
rentetan peristiwa) lima tahun lepas.
Nota: Penulis
mengalu-alukan maklum balas daripada pembaca berhubung tulisan ini,
kemungkinannya untuk diterbitkan menjelang September sempena ulang
tahun kelima 'Gerakan Reformasi'. Sila hubungi penulis di mailto:faomar3@yahoo.co.uk