Keadilan -PRM edar topeng demi kesedaran SARS

Oleh Skchua

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia memberitahu orang ramai bahawa ‘sehingga kini belum ada kes yang dilaporkan’ tentang keadaan penyakit Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) di Malaysia, Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia mula melancarkan gerakan menyedarkan rakyat dengan mengedarkan topeng pernafasan dan risalah.

Hampir 10 orang, di bawah diketuai Ahli MPT Parti Keadilan Ng Lum Yong dan Naib Presiden PRM Lee Sang, mengedarkan topeng dan risalah keluaran Kementerian Kesihatan di sekitar Dewan Perhimpunan Cina Selangor kerana mempertimbangkan laporan 65 kes disyaki SARS sudahpun mencapai tahap yang amat membimbangkan.

“Saya mendapat 200 keping risalah rasmi yang berbahasa Melayu daripada kementerian pada 10.30 pagi ini. Risalah 2-muka-surat dengan jawapan kepada 12 soalan ringkas ini merupakan satu-satu jenis risalah yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan untuk membuat penjelasan kepada rakyat. Maklumatnya banyak menimbulkan salah faham ketika dibaca,” tegas Ng semasa mengadakan perjumpaan pemberita.

Lee pula menegaskan mustahaknya menubuhkan satu jawatankuasa kerja khas untuk menangani wabak SARS dan sebarang penyebaran maklumat kementerian mesti menggunakan risalah dalam 3 bahasa yang digunakan oleh rakyat Malaysia. 

Ng menegaskan kempen penyebaran risalah dan pendidikan patut dilakukan di sekolah.

“Masalah sekarang adalah kementerian langsung tidak menggalakkan, ataupun tidak mewajibkan, rakyat memakai topeng untuk mengelakkan penyebaran wabak SARS. Kami akan menuntut penjual-penjual topeng penafasan menaja topeng-topeng kepada gerakan kesedaran kami.”

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat PRM Lim Yoke Hwa, apa yang boleh rakyat lakukan sekarang hanyalah ‘selamatkan diri sendiri’ dengan mengurangkan aktiviti luar rumah dan memakai topeng apabila keluar. 

Dia berharap jangan Kementerian Kesihatan mengulangi kesilapan lewat-ambil-tindakan terhadap wabak Virus Nipah 4 tahun dahulu yang mengakibatkan kematian lebih daripada 100 warga.

“Kementerian Kesihatan amat bertanggungjawab besar dalam bagaimana menyelesaikan masalah SARS ini. Kerajaan perlu segera melancarkan mekanismenya,” tegas Lim.

Antara pemimpin yang turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa Pusat PRM Tai Ching Tat dan Naib Pengerusi Wanita Keadilan Karen Goh.