Oleh : GHAZALI MAT DOM
DATUK Satim Diman (ADUN BN Puchong) dalam
mempertahankan Dr Khir Toyo menyatakan bahawa Datuk Hassan Ali (ADUN
PAS Sungai Burung) juga telah diperuntukkan tanah sebanyak 6 ekar
untuk kem latihan yang kemudiannya dijual untuk mengaut keuntungan
murah.
Ini didedahkan apabila Dr Hassan Ali menuntut
agar Datuk Dr Khir Toyo harus bertanggungjawab mengenai dakwaan
kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dibuat ke atas beliau.
Dalam memperkatakan isu ini saya berpendapat Dr
Khir Toyo selaku Menteri Besar Selangor harus menjawab tuduhan
penyalahangunaan kuasa
dan rasuah terhadapnya kerana semua tuduhan itu amat kritis sekali.
Selaku Menteri Besar, Khir Toyo bertanggung
jawab dalam mengemukakan fakta sebenar dan sekiranya butiran yang
terdapat dalam tuduhan Lutfi itu benar maka beliau perlu menjelaskan
mengapa ia boleh berlaku. Penjelasan ini mesti dimaklumkan kepada
rakyat Selangor.
Saya meminta
Khir Toyo menjawab dakwaan rasuah itu kerana isu ini bukan
sahaja melibatkan kuasa-kuasa pentadbiran negeri Selangor tetapi
juga melibatkan maruah Umno sebagai parti politik yang memerintah.
Rakyat melihat senario ini dan rakyat pasti mahukan jawapan dari
kepimpinan mereka.
Setakat jawapan membiarkan Badan Pencegah
Rasuah menyiasat hanya akan menimbulkan keresahan pendokong Umno.
Kita bimbang akan timbul polemik ia menjadi satu kesalahan moral,
walaupun undang-undang tidak menghukumnya salah.
Ambil contoh salah satu tuduhan yang
dikemukakan Lutfi, iaitu yang
menyatakan pemberian tanah kepada beberapa orang anak muda yang
berusia dalam lingkungan awal 20-an. Isu yang boleh di simpulkan
keatas insiden ini ialah :
- Benarkah
pemberian tanah tersebut berlaku?
- Apakah
ia sah di bawah kuasa yang ada pada Menteri Besar?
- Andai
kata ia memang di bawah bidang kuasanya, dan Menteri Besar tidak
melanggari mana-mana peruntukan sedia ada, maka persoalan salah dari segi moral mula di kemukakan.
- Apakah
motif pemberian tanah kepada anak-anak berusia 20 tahun itu?
- Kenapa
anak-anak muda ini wajar diberi tanah-tanah tersebut dan apakah
justifikasi di sebalik pemberian tanah itu?
- Secara
umumnya, apakah syarat penganugerahan tanah di Selangor, dan
apakah Menteri Besar Selangor berhak menganugerahkan tanah
kepada sesiapa saja mengikut kehendaknya?
- Siapa
sebenarnya anak-anak muda ini dan siapa pula di belakang mereka?
Ini adalah antara persoalan tanggungjawab moral
dan kemungkinan satu kesalahan moral telah dilakukan oleh Menteri
Besar sendiri. Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu, tetapi lagi
lama kes ini diperap, maka lebih banyak andaian akan timbul.
Saya menjangka jika andaian seumpama itu terbit,
ia akan melukakan Umno dan ahli-ahli Umno di peringkat akar
umbi.
Ini tidak mengambil kira rakyat yang mana sudah
bertahun-tahun memohon rumah-rumah kos rendah misalnya tetapi belum
berjaya. Saya yakin di negeri Selangor sahaja terdapat ratusan ribu
mereka yang telah berjasa kepada negara dan negeri Selangor yang
sepatutnya dianugerahkan tanah.
Dipetik dari laman web Umno-reform