Rasuah ini bukti munafiknya Umno

Oleh : Penulis Khas

“RASUAH dan salahguna kuasa Dr Mohd Khir Toyo adalah contoh bagaimana menteri-menteri Barisan Nasional melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.”

   Kata-kata ini diucapkan Ahmad Lutfi Othman dalam satu ceramahnya di kediaman Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Saya tidak ingat lagi bila tarikhnya, tapi di sekitar waktu kes rasuah Khir Toyo mula didedahkan. Agaknya selepas akhbar Memo14 diterbitkan.

   Kisah pendedahan rasuah dan salahguna kuasa Menteri Besar Selangor yang paling muda ini memang satu kisah yang cukup menarik. Menariknya kerana ia didedahkan dengan segala butiran dokumen dan bukti yang menyokong kesahihan dakwaan. Menariknya kerana pendedahan dibuat oleh seorang individu yang menampilkan dirinya dengan penuh berani dan tanggungjawab untuk mengambil sebarang risiko yang mungkin timbul.

   Menariknya kerana selepas membuat aduan pertama kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), pengadunya Ahmad Lutfi Othman terus mengunjungi Ibu Pejabat BPR di Putrajaya dan Pejabat BPR di Shah Alam dari semasa ke semasa, mengemukakan dokumen-dokumen baru bagi menguatkan lagi dakwaannya dan agar membantu pihak BPR menjalankan siasatan.  

Bukti rasuah paling lengkap

Sejauh pengetahuan saya inilah aduan rasuah dan salahguna kuasa yang paling lengkap dengan butiran-butiran dokumen dan bukti, pernah dibuat kepada BPR. Cukup menarik kes ini. Bukan sahaja disokong dengan pelbagai dokumen dan bukti, bahkan pendedahannya dibuat secara yang begitu lengkap; dalam bentuk tulisan demi tulisan, risalah demi risalah, VCD demi VCD dan juga poster.

   Apa lagi yang diperlukan oleh pihak BPR bagi membantu mereka menjalankan penyiasatan? Ahamad Lutfi bukan sahaja bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu, bahkan dia sendiri atas inisiatifnya seorang individu, menerbitkan VCD yang secara visual menunjukkan bukti-bukti (atau sekurang-kurangnya apa yang beliau anggap sebagai bukti) secara terperinci, bagi membenarkan dakwaannya bahawa Khir Toyo telah melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan begitu rakus sekali.

   Dia mendakwa Khir selaku Pengerusi PKNS membeli tanah tapak banglo milik PKNS di Bandar Baru Bangi dengan cara menyalahgunakan kuasa; lalu VCD menunjukkan Lutfi dan kumpulannya pergi mencari lokasi tapak banglo tersebut dan menemuinya di lokasi seperti alamat yang disebut dalam dokumen rasmi berkaitan.

   Dia mendakwa Khir meluluskan tanak seluas 50 ekar seorang kepada empat orang anak muda yang antaranya mengatakan mereka tak tahu menahu pun dengan perkara tersebut; lalu VCD menunjukkan krew Lutfi pergi mencari dan menemukan rumah-rumah anak-anak muda tersebut, seperti alamat yang tercatat dalam dokumen rasminya, yang antaranya termasuk rumah seorang Pegawai Daerah (D.O).

   Dia mendakwa Khir menipu rakyat apabila dia (Khir) menghadiahkan ayam dan telur ayam yang dibelinya dari suatu perusahaan ayam di Sabak Bernam padahal perusahaan ayam yang dikatakannya itu tidak pernah wujud pun; lalu VCD menunjukkan visual Lutfi dan kumpulannya pergi ke tapak yang didakwa itu dan mendapati yang ada hanyalah satu papan tanda dan kawasan lapang yang terbiar, tetapi tidak ada sedikit pun tanda-tanda di situ pernah ada perusahaan ayam.

   Dia mendakwa Khir meluluskan projek jalan merentasi bendang di Tanjung Karang dengan harga yang berlipat ganda daripada kos sebenar; lalu VCD menunjukkan visual Lutfi dan kumpulannya melawat ke tapak kawasan jalan yang sedang dibina itu. Dan seterusnya, dan seterusnya, dan akhirnya dia menerbitkan buku.

   Apa lagi yang diperlukan? Apa lagi yang diperlukan oleh sebuah agensi pencegah rasuah negara untuk membolehkan ia mengambil tindakan ke atas orang yang didakwa apabila segala dokumen dan bukti telah dikemukakan sedemikan rupa?

   Apa lagilah yang diperlukan! Tidak ada apa lagi yang diperlukan, kerana apa yang telah dikemukakan oleh Lutfi itu pun sudah lebih daripada mencukupi. Pihak BPR bertindak atau tidak, itu adalah urusan mereka. Mereka boleh bertindak dan mereka boleh tidak bertindak. Dan sekarang jelaslah kepada kita bahawa mereka tidak mahu bertindak.

   Biarlah apa pun yang dikatakan oleh Rais Yatim, menteri yang ditugaskan untuk perkara yang berkaitan dengan ini. Dia seolah-olah mengkritik pihak kerajaan sendiri kerana tidak meneruskan pendakwaan kepada pihak-pihak tertentu, yang mungkin termasuk kes ini atau mungkin tidak. Lalu TPM Abdullah Badawi pun beri responslah seperti kebiasaan dia. Tak ada makna apa-apa. Dan PM Mahathir pun beri respons juga seolah-olah tak bersetuju dengan Rais. (Tapi percayakah kita bahawa orang seperti Rais itu berani melakukan sesuatu yang Mahathir tak akan setuju?)  

Lagi berani rasuah, lagi sayang PM

Khir Toyo pun terus seperti Khir Toyo juga. Seolah-olah tidak pernah ada pendedahan mengenai amalan rasuah dan salahguna kuasa olehnya. Lalu lahirlah kata-kata ini dalam iklan VCD skandal rasuah Khir Toyo dalam akhbar Memo21 dan Memo22:

   “Dua VCD ini membuktikan rasuah membarah teruk dalam institusi Menteri Besar Selangor. Juga membuktikan kerajaan Umno munafik dalam membanteras rasuah. Lagi berani Khir Toyo merasuah, lagi suka PM Mahathir dengan dia.”

   Demikianlah – saya melihat kes rasuah yang dibawa oleh Lutfi ini telah melalui beberapa fasa atau dimensi yang perlu diberi perhatian. Pertama, di peringkat awal, apabila Lutfi mula mendedahkan skandal ini, saya tertarik dengan satu kenyataannya iaitu seperti yang disalin di permulaan tulisan ini – bahawa kes rasuah dan salahguna kuasa ini bukan khusus Khir Toyo sahaja, tetapi merupakan “contoh bagaimana menteri-menteri Barisan Nasional melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa,” khasnya Menteri Besar dan Ketua Menteri.

   Inilah yang ditekankan oleh Lutfi di peringkat awal pendedahannya. Atau inilah aspek yang membuatkan saya jadi tertarik kepada kisah ini. Lutfi mengatakan apa yang ditemuinya dalam kes Khir Toyo adalah satu modus operandi bagaimana Menteri Besar dan Ketua Menteri Umno menggunakan kuasa jawatan mereka untuk mengumpul kekayaan buat diri mereka dan keluarga serta kroni mereka.

   Yang didedahkannya secara terperinci ialah kes Khir Toyo. Tetapi bukan Khir Toyo sahaja seorang menteri yang rakus harta. Menteri-menteri Umno yang lain pun sama sahaja. Begitulah cara mereka menipu, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa, demi mengumpul kekayaan, dan dalam masa sama mempertahankan kuasa mereka. Institusi Menteri Besar dan Ketua Menteri memang menyediakan peluang begitu untuk mereka mengumpul harta kekayaan. Dan harta kekayaan, bagi Umno, adalah sebahagian daripada kekuasaan.

   Jadi, ternampak kepada saya waktu itu, waktu saya mendengar Lutfi berceramah di kediaman Wan Azizah itu, (saya berada sebaris dengan para penceramah kerana saya dijemput membaca puisi di majlis itu), bahawa sasaran pendedahan Lutfi tidak akan terhenti dengan Khir Toyo. Sasaran sebenar beliau ialah Institusi Menteri Besar dan Ketua Menteri. Bukan sahaja Khir Toyo. Kerana sesiapa sahaja pimpinan Umno yang duduk di kerusi itu, dia akan buat cara yang sama. Sebelum Khir Toyo, Abu Hasan Omar. Sebelum itu, Ahmad Razali. Sebelum itu, Harun Idris. Semuanya rasuah.

   Apa yang berlaku di Selangor, juga berlaku di negeri-negeri lain. Saya menjangkakan selepas itu Lutfi mungkin akan mendedahkan pula rasuah dan salahguna kuasa Menteri Besar Negeri Sembilan, misalnya.

   Maka apabila VCD pertama mengenai rasuah Khir Toyo hendak disiapkan, saya memilih “Skandal MB” sebagai judulnya, tanpa menyebut nama Khir Toyo walaupun gambar muka Khir Toyo dijadikan hiasan latar. Manakala di sebelah belakangnya diletakkan gambar Lutfi berdiri di hadapan pejabat BPR, dengan dibesarkan kata-kata kenyataan oleh Lutfi: “Rasuah dan salahguna kuasa Dr Mohd Khir Toyo adalah contoh bagaimana menteri-menteri Barisan Nasional melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.”

   Kebetulan waktu itu menjelang pilihan raya kecil DUN Indera Kayangan, Perlis. Maka VCD itu pun disasarkan untuk dijual di sana, di Kangar. Dalam suasana kesibukan kempen pilihan raya di Kangar itu jugalah VCD itu dilancarkan oleh Datuk Dr Hasan Ali, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor. Lutfi juga turut berceramah sempena kempen itu, mempromosi VCD “Skandal MB” – di Kangar. 

Berebut-rebut beli VCD rasuah Khir

   Menggalakkan juga sambutan terhadap VCD “Skandal MB” di Kangar itu. Idea bahawa pendedahan kes MB Selangor itu hanya sebagai contoh bagaimana menteri-menteri BN melakukan rasuah, nampaknya diterima oleh orang ramai. Kemudian, tak berapa lama selepas itu saya menyaksikan bagaimana kisah rasuah dan salahguna kuasa MB Selangor ini boleh menjadi bahan ceramah yang menarik, di suatu kawasan di luar Selangor, iaitu di Temerloh, Pahang. Penceramahnya ialah Dr Hasan Ali (yang turut berperanan aktif membuat pendedahan di dalam VCD tersebut), Apabila diumumkan VCD “Skandal MB” ada dijual di situ, saya menyaksikan sambutan yang luar biasa daripada orang ramai. Berebut-rebut membeli VCD itu.

   Masa berlalu. Khir Toyo nampaknya semakin kukuh kedudukannya apabila Dr Mahathir melantiknya menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhamad Taib. Bukannya Mahathir hendak mengambil tindakan ke atas Khir Toyo kerana perbuatan rasuah dan salahguna kuasanya didedahkan kepada rakyat, sebaliknya Mahathir menyatakan kesukaannya pula dengan menaikkan pangkatnya. Demikianlah budaya Umno yang dibina dan dipupuk oleh Mahathir.

   Menterinya rasuah, menyeleweng, salahguna kuasa – tak mengapa. Asalkan kamu mahu dengar cakap aku, tak ada orang boleh sentuh kamu. Buatlah apa pun. Pandai-pandailah mengatur pembangunan negeri. Selagi kamu patuh kepada aku, kamu selamat. Nak rasuah serakus mana pun, kalau kamu pandai, rasuahlah. Aku tak peduli.

   Itu Dr Mahathir. Kita tak tahu dengan pasti sejauh mana BPR telah menjalankan tugas mereka dalam kes Khir Toyo ini. Kata orang, BPR menjalankan penyiasatan dan laporan hasil siasatan akhirnya diletakkan di atas meja Mahathir. Dari situ, Mahathirlah yang menentukan segala-galanya. Kalau dia tak mahu apa-apa tindakan diambil ke atas Khir, walaupun siasatan BPR menunjukkan ada bukti Khir merasuah, kes itu akan diam di situ sahaja. Habislah cerita setakat itu. Kata orang.

   Tetapi Lutfi nampaknya tak mahu diam sampai setakat itu sahaja. Dia terus dengan agendanya mencari apa-apa lagi bukti dan dokumen yang ada, dan mendedahkannya kepada rakyat umum melalui pelbagai media yang boleh digunakan… sehinggalah Khir Toyo berundur atau diundurkan dari kerusi MB Selangor.

   Dan kita pun dengan sendirinya telah memasuki fasa atau dimensi yang kedua dalam kisah rasuah dan salahguna kuasa menteri Umno di negara ini. Kenyataan awal Lutfi mengenai kisah rasuah Khir Toyo sebagai contoh bagaimana menteri-menteri Umno melakukan rasuah dan salahguna kuasa itu, kini tidak penting lagi. Saya pun tidak nampak lagi ada kecenderongan di pihak Lutfi untuk membuat pembongkaran yang sama terhadap MB-MB di negeri lain. Fasa itu telah ditinggalkan.

   Membuktikan bahawa menteri-menteri Umno dan BN yang lain juga serakus dan sejahat Khir Toyo kini tidak mustahak. Apa yang kini dibuktikan pula oleh kisah ini ialah betapa munafiknya pimpinan Umno dalam janji-janji mereka hendak membela rakyat, khususnya membanteras rasuah dan salahguna kuasa. Munafik! Apa lagi kata yang lebih sesuai daripada munafik!

Budak kemaruk kuasa

   Sedemikian nyata dan terang bukti-bukti ditunjukkan oleh Lutfi bahawa Khir Toyo Menteri Besar Selangor itu seorang budak kemaruk kuasa yang mengamalkan segala bentuk rasuah – pimpinan Umno sedikit pun tidak peduli. Seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Para pemimpin Umno yang lain pun, selain daripada Dr Mahathir, tidak ada yang berkata apa-apa mengenai kes Khir Toyo yang begitu mencemarkan itu. Semuanya menerimanya dengan senang hati.

   Itulah yang dibuktikan oleh kisah ini, dalam fasa atau dimensinya yang kedua. Maka apa pula tindakan Lutfi selanjutnya? Pendedahan sudah dibuat. Tetapi pihak kerajaan (Dr Mahathir) tidak peduli.

   Kalau pihak kerajaan (Dr Mahathir) tidak peduli, apakah pihak rakyat juga sama tidak peduli? Soalan ini membawa kita masuk ke fasa (dimensi) yang kini. Inilah persoalannya yang paling mustahak sekarang. Apakah rakyat, khususnya rakyat Selangor, peduli dengan kisah rasuah dan salahguna kuasa Menteri Besar mereka ini?

   Tidak ada siapa yang boleh memberi jawapannya kecuali rakyat Selangor sendiri. Kita mengharapkan rakyat Selangor akan menolak Khir Toyo. Ini harapan kita.  Dalam fasa kedua dulu kita mengharapkan Dr Mahathir akan menolak atau menyingkirkan Khir Toyo. Dr Mahathir tidak bertindak seperti yang kita harapkan. Memanglah. Dr Mahathir bukan di pihak kita, maka normallah dia tidak bertindak mengikut apa yang kita harapkan. Kita jangan kecewa. Kita tinggalkan fasa itu.

   Itu tidak penting lagi sekarang. Apa yang paling mustahak sekarang ialah rakyat. Apakah rakyat kini berada di pihak “kita”, atau rakyat masih berada di pihak Dr Mahathir seperti dalam pilihanraya umum 1999 dulu?  

Tolak rasuah tolak Khir

Di pihak “kita”? “Kita” itu siapa? Ini satu lagi persoalan yang perlu diberi perhatian. Kita bercakap mengenai kisah rasuah dan salahguna kuasa Khir Toyo Menteri Besar Selangor. Yang membongkar dan mendedahkan kisah ini dan membawanya ke BPR ialah Ahmad Lutfi Othman, seorang aktivis media.  Pihak pimpinan Barisan Alternatif Selangor, didahului oleh Dr Hasan Ali, turut sama mengambil isu ini dan menyebarkannya ke kalangan rakyat, pada peringkat awalnya dahulu. Tetapi akhir-akhir ini mereka agak kurang kelihatan.

   PAS telah mengisytiharkan tema perjuangan mereka menjelang pilihanraya umum ke-11 ini ialah “Tawan Selangor”. KeADILan pun demikian juga – “Tawan Selangor”. Tawan Selangor ertinya tolak Khir Toyo dan tolak Umno. Saya melihat senjata yang paling berkesan untuk menggembleng sokongan rakyat ke arah “tolak Khir Toyo dan tolak Umno” ialah kisah rasuah dan salahguna kuasa yang terus dipersembahkan oleh Lutfi ini. Maka dalam perspektif ini saya mengharapkan pimpinan PAS, KeADILan, PRM dan DAP dapat bergabung bersama dengan Lutfi, bagi memberi makna kepada perkataan “kita” yang saya persoalkan di atas tadi – “Apakah rakyat kini berada di pihak ‘kita’?”

   Sama ada parti-parti politik yang empat ini mahu bergabung usaha dengan dia atau tidak, Lutfi akan tetap dengan agendanya berusaha menolak pemimpin yang rasuah dan salahguna kuasa seperti Khir Toyo itu, dengan cara dia sendiri. Itu Lutfi. Saya melihat dia menyediakan bahan yang cukup baik untuk disambut oleh pimpinan parti-parti politik yang berkaitan. Dia boleh membantu perjuangan BA untuk menawan Selangor. Tidak ada sebab mengapa BA tidak boleh memanfaatkan ‘produk’ Lutfi itu, bagi mencapai matlamat bersama untuk “Tolak Khir Toyo dan tolak Umno”.   Yang paling mustahak sekarang ialah rakyat. Pedulikan Mahathir. Tinggalkan dia. Fokus kita ialah rakyat. Apakah rakyat akan bersama kita menolak pemimpin yang rasuah dan salahguna kuasa dalam pilihanraya akan datang? Kita bukanlah sekadar bertanya, tetapi kita akan mempastikan jawapannya ialah “ya”.