Selangor lubuk pusat hiburan haram.

Oleh : Wartawan Khas 

“Orang-orang politik di Selangor berhentilah bercakap. Tidak guna kalau banyak cakap tapi banyak yang kosong. Kesalahan di depan mata pun masih tidak dapat dibanteras, bayangkan yang dilakukan secara sulit?” – Ku Seman Ku Hussain 

Baru-baru ini pihak berkuasa di negeri Selangor ada membuat kenyataan melalui media dan sekaligus memberi perangkaan berapa jumlah pusat hiburan haram yang terdapat di negeri Selangor.

  Jangan terkejut! Di Selangor ketika ini ada 226 buah pusat hiburan haram, yang menawarkan khidmat tidak bermoral, termasuk pelacuran. Ini angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sendiri.

  “Maknanya angka ini benar, tetapi tidak diberitahu bagaimana mereka boleh melepaskan pusat hiburan haram hingga mencapai jumlah yang begitu banyak.” Tulis seorang kolumnis budaya terkenal, Ku Seman Ku Hussain, dalam majalah Massa, 8 Februari. 

  Ada lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang mencatatkan jumlah pusat hiburan haram paling tinggi. PBT tersebut ialah Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Klang, dan Majlis Perbandaran Kajang.

  Berbanding dengan pusat yang haram itu 226 buah, manakala yang beroperasi secara sah pula, yakni mempunyai lesen dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam peruntukan undang-undang berkenaan, ialah sebanyak 97 buah.

  “Adakah ini menunjukkan ada main kongkalikong dalam menangani pusat hiburan haram di Selangor?” tanya penulis tersebut.

  Penulis senior di syarikat yang Datuk Zainuddin Maidin atau Zam (Timbalan Menteri Penerangan) pernah menjadi bossnya dulu, begitu bimbang dengan apa yang sedang terjadi di negeri yang diperintah oleh Datuk Dr Mohd Khir Toyo itu.

  “Ini bukan yang samar-samar, tetapi telah jelas melanggar undang-undang,” katanya. “Tetapi pihak tertentu masih lagi berkokok sana sini seolah-olah membanteras pusat hiburan itu tugas yang sangat sukar dan berat.”

  Lalu beliau pun membuat cadangan: “Lebih baik dipercepatkan kerja membanteras, sebelum rakyat bertanya kuasa yang sebenarnya dipegang oleh siapa? Pihak berkuasa, atau tuan punya kelab hiburan haram?”

  Menurut Ku Seman, “Kerana tidak bertindak tegas maka tuan punya pusat hiburan haram tidak berasa gentar.” Lalu beliau pun membuat komentar yang agak keras. Katanya, “Ini barangkali dikata orang cakap tidak serupa bikin. Ingat ini bikin wayang atau apa?”

  Nampaknya penulis senior dalam sebuah kumpulan akhbar besar yang pro-kerajaan pun pandai juga marah-marah seperti gitu.

  Dilaporkan juga, oleh pihak berkuasa sendiri, sebanyak 1,722 serbuan telah pernah dibuat ke atas pusat-pusat hiburan tersebut. Dalam serbuan-serbuan itu mereka telah berjaya menahan seramai 1,842 orang wanita, yang didapati terlibat dalam kegiatan pelacuran.

  “Apakah ini bukan suatu yang membimbangkan rakyat? Adakah kebimbangan rakyat tidak menjadi kebimbangan kerajaan, kerana ini akan mencetuskan sekian banyak masalah sosial kepada generasi hari ini?” Tanya lagi penulis senior kumpulan akhbar Utusan Melayu itu.

  Di pusat hiburan haram, pelacur-pelacur berselindung di sebalik jawatan yang disebut sebagai “pegawai perhubungan pelanggan”, atau GRO.

  “Memanglah tidak ada jawatan pelacur, tetapi ada GRO,” kata Ku Seman. “Garis pemisah antara GRO dengan pelacur sangat nipis, dan semacam tidak ada sempadan langsung.”

  Tentulah mustahil pihak-pihak berkuasa di Selangor itu tidak tahu akan wajah dan hakikat sebenar di sebalik istilah GRO itu. Maka memanglah di Selangor boleh dikatakan tidak ada pusat pelacuran, dan yang ada cuma pusat khidmat GRO.

  Tetapi pihak berkuasa itu sendiri yang mengatakan mereka telah menahan hampir 2,000 orang wanita yang terlibat dengan pelacuran.

  “Kalau mahu bermain dengan istilah, teruskanlah,” kata Ku Seman lagi. “Tetapi pada masa yang sama kena juga fikir suara-suara daripada rakyat kelas biasa yang mengukur keseriusan pemimpin mereka menangani barah sosial di negeri Selangor.”

  “Bagaimana kalau mereka bertanya, sudah boleh mengira jumlah pusat hiburan haram kenapa tidak mengambil tindakan sekaligus?”

  Mengikut wartawan seni dan hiburan ini lagi, ada ura-ura pihak berkuasa hendak menaikkan kadar kompaun kepada pemilik pusat hiburan haram, daripada RM25,000 sekarang ini kepada RM250,000.

  “Secara teorinya memang baik,” komen beliau. “Sekurang-kurangnya menggerunkan orang yang buat salah untuk membayar kompaun. Tetapi persoalan utamanya pihak berkuasa semacam tidak mengambil tindakan, dan seolah-olah membiarkan pusat hiburan haram bebas membiak.”

  Maka kadar denda RM25,000 ataupun RM250,000 itu sebenarnya bukanlah isunya. Isunya ialah samada pihak-pihak berkuasa itu mahu mengambil tindakan ataupun tidak mahu.

  Mereka ada sekurang-kurangnya dua undang-undang yang boleh dilaksanakan, iaitu Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995, dan Undang-Undang Kecil Peruntukan Mengenai Lesen Bersama 1992.     “(Undang-undang itu) tidak bermakna apa-apa kalau tidak dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” tegas Ku Seman. “Undang-undang bukan hiasan, ia mesti digunakan untuk kepentingan rakyat.”

  Tetapi apa yang berlaku di Selangor, tegasnya lagi, “dua peruntukan undang-undang ini tidak digunakan untuk membanteras pusat-pusat hiburan haram di negeri itu.”

  Mereka sendiri tahu ada sedemikian banyaknya pusat-pusat maksiat di Selangor. Soalnya, bagaimanakah pusat-pusat maksiat itu boleh membiak subur sebegitu rupa? Kalau pihak berkuasa mahu mengambil tindakan, sudah tentu pusat-pusat maksiat itu tidak boleh membiak.

  Antara tindakan yang boleh diambil berdasarkan dua peruntukan undang-undang berkenaan ialah memotong bekalan elektrik, memotong bekalan air, merampas dan menyita serta menghadapkan tuan punya ke mahkamah.

  “Adakah terlalu sukar untuk memotong bekalan elektrik dan air?” tanya beliau dengan nada yang kecewa.

  Lalu beliau pun menyeru: “Orang-orang politik di Selangor berhentilah bercakap. Tidak guna kalau banyak cakap tapi banyak yang kosong. Kesalahan di depan mata pun masih tidak dapat dibanteras, bayangkan yang dilakukan secara sulit?”