Perang Ke Atas Iraq:Siapa Yang Untung

Oleh Haris Zalkipli

Kelompok sayap kanan pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS) George W Bush gagal mencari alasan dan bukti yang kukuh untuk menjustifikasi serangan ke atas Iraq. Sebaliknya, bukti menunjukkan rancangan kempen ketenteraan pentadbiran Bush diselubungi pelbagai kepentingan sekelompok kecil pemilik kuasa. 

Walaupun berusaha sedaya-upaya untuk tidak mendedahkan korporat dibelakang penggubalan dasar tenaga baru Washington tidak lama dulu, hubungan rapat Naib Presiden Dick Cheney dengan Halliburton Company tidak dapat disembunyikan lagi dalam perancangan melibatkan Iraq hari ini. Akhbar The San Francisco Chronicle 9 Mac lalu melaporkan syarikat Kellogg, Brown and Root (KBR), bahagian kejuruteraan Halliburton telah menerima kontrak Pentagon bagi pemulihan kemudahan minyak Iraq yang dijangka musnah akibat peperangan. 

Laporan The Guardian 12 Mac pula menunjukkan kemungkinan wujud konflik kepentingan kerana Cheney masih menerima bayaran pampasan sebanyak AS$100 ribu hingga AS$1 juta setahun dari syarikat yang diterajui pada 1995 hingga 2000 itu. Sebelum itu, pada 10 Mac, akhbar The Wall Street Journal mendedahkan pentadbiran Bush bakal menganugerahkan kontrak awal untuk projek pembinaan semula Iraq bernilai AS$900 juta kepada beberapa syarikat Amerika terpilih. Kontrak ini bermakna kemusnahan Iraq akibat serangan AS, termasuk semasa Perang Teluk 1991 dulu, membuka jalan untuk syarikat Amerika terpilih mendapat peluang perniagaan. 

Menurut Journal, syarikat tersebut termasuk Halliburton dan empat syarikat pembinaan lain; Bechtel Group Incorporated, Flour Corporation, Parsons Corporation dan Louis Berger Group, telah dijemput oleh US Agency for International Development (USAID) - dengan menggunakan peruntukan kecemasan bagi membolehkannya memilih syarikat dikehendaki - untuk mengemukakan cadangan bagi kontrak pembinaan semula yang disifatkan sebagai program pembangunan semula mirip Marshall Plan untuk Eropah selepas Perang Dunia ke-2 dulu. 

Rancangan pembinaan semula peringkat awal itu termasuk membina hospital, masjid, kemudahan bekalan air, jalan raya, fasiliti bekalan elektrik dan sekolah. USAID menjangka projek itu melibatkan pemasangan 550 generator diesel dalam masa 60 hari dan pemulihan bekalan kuasa sehingga 75 peratus dari tahap tahun 1991 dalam tempoh 18 bulan. Kontrak dalam pendidikan melibatkan memperbaiki 3,000 buah sekolah dan pembekalan peralatan kepada 12,500 buah sekolah, sambil latihan disediakan untuk guru oleh universiti AS. USAID juga merancang untuk mendapatkan syarikat untuk memulihkan lapangan terbang terbesar negara itu dan mencetak buku sekolah. 

Pemerhati berpendapat syarikat berkenaan berusaha untuk memperolehi kontrak berkenaan bagi membuka peluang mendapatkan kontrak yang lebih besar; pembinaan semula industri minyak Iraq. Ia juga dilihat sebagai satu cara untuk memperoleh keuntungan dari sumber minyak negara itu, yang hasilnya bakal digunakan untuk membayar kos perang dan pelbagai rancangan pembangunan semula. "Apa yang menimbulkan keresahan ialah ada di antara kontrak ini mungkin bukannya bantuan sebenar, tetapi akan memaksa Iraq membayar untuk kerja yang dilaksana," tegas Anthony Cordesman, pakar Timur Tengah dari Center for Strategic and International Studies. 

Di Kongres dan negara sekutu Britain, kemarahan terhadap USAID dan kerajaan AS berleluasa berikutan kerahsiaan tinggi rancangan ini, dan pemilihan hanya sejumlah kecil syarikat dari Amerika. Nilai kontrak juga dijangka meningkat dan syarikat terbabit diberikan kontrak-kontrak untuk pembinaan lain selepas tempoh kecemasan yang ditetapkan USAID itu, terutama jika pemerintah baru Iraq nanti disokong Washington. 

Sejarah politik KBR 

Kempen memerangi "terorisme" hari ini bukan kali pertama KBR menggunakan hubungan rapatnya dengan ahli politik untuk memperolehi kontrak kerajaan. Melalui hubungannya dengan Lyndon Johnson, KBR mula menjadi kontraktor penting dalam pembinaan pangkalan tentera AS di Vietnam. Syarikat ditubuhkan pada 1920an oleh George dan Herman Brown bersama Dan Root ini mula mendapat bantuan Johnson - ahli politik yang mula meningkat naik dengan bantuan kewangan KBR - dalam satu projek membina empangan pada 1937 di bawah pentadbiran Presiden Franklin Roosevelt. 

Hubungan KBR dengan Johnson semakin kukuh berikutan bantuan Johnson itu, dan KBR mula mendapat pelbagai kontrak pertahanan dari kerajaan pusat. Hubungan Johnson-Herman Brown suatu ketika dulu ialah seperti hubungan Cheney dengan KBR dan Halliburton hari ini, atau hubungan Presiden Bush dengan ketua pegawai eksekutif Enron, Kenneth Lay. Semasa berlangsung peperangan di Vietnam, KBR menjadi kontraktor utama dalam pembinaan pangkalan tentera, jalan raya dan pelbagai kemudahan lain di sana. 

Akibat hubungan rapat Johnson-KBR itu, pengarah filem terkenal Oliver Stone melalui filem JFK (1991) mendakwa syarikat itu sebagai sebahagian dari military-industrial complex yang mengatur pembunuhan Presiden John F Kennedy. "It’s a coup d'état with Johnson waiting in the wing," tegas watak lakonan Kevin Costner dalam filem itu, sambil mengemukakan kerjasama Johnson-KBR: "Johnson got $1 billion for his Texas friend Brown and Root to dredge Cam Ranh Bay in Vietnam." 

Dakwaan Stone mungkin mudah untuk ditolak akibat imej beliau yang dikaitkan dengan "teori konspirasi," tetapi hubungan rapat ini jelas dapat dilihat dalam percaturan politik pentadbiran AS hari ini. Bechtel Corp pernah mendapatkan tokoh-tokoh Republikan pentadbiran Ronald Reagan untuk mengisi jawatan-jawatan penting. Antara tokoh terbabit termasuk bekas Setiausaha Pertahanan Casper Weinberger dan bekas Setiausaha Negara George Schultz. Bechtel pernah terlibat dalam memulihkan semula lapangan minyak Kuwait selepas Perang Teluk 1991. Syarikat yang rapat dengan Republikan ini hari ini dituduh olah aktivis antiperang sebagai menunggu perang berlaku untuk mendapat manfaat darinya. 

Hanya untuk AS? 

Kontrak ini bakal membuka peluang untuk syarikat Amerika melibatkan diri dengan lebih mendalam dalam pembinaan semula Iraq. Kumpulan korporat Britain - negara yang telah menyokong usaha Washington untuk menyerang Iraq - ternyata marah dengan rancangan ini, kerana menurut mereka, Britain hanya menyumbangkan "darah" dalam menyerang Iraq, tetapi manfaat dari itu hanya diperolehi oleh segelintir syarikat Amerika. 

Projek yang bakal dilaksanakan ini dilihat berupaya menaikkan imej AS di mata rakyat Iraq. Steve Schooner, profesor undang-undang Universiti George Washington dilaporkan media sebagai berkata, syarikat-syarikat pertama yang hadir, menjalankan tugas dengan baik serta membina hubungan rapat dengan rakyat tempatan akan mendapat kelebihan untuk mendapat kontrak lain di masa akan datang. Jelas beliau, syarikat itu nanti akan menjadi jenama terkenal dan dipercayai di Iraq. 

Bagi KBR, yang telahpun menerima kontrak Pentagon, ia jelas berada di posisi terbaik untuk mendapatkan kontrak berkaitan industri minyak Iraq selepas perang nanti. Mengulas kontrak KBR ini, Michael Renner dari World Watch Institute berkata: "Saya fikir, ia sama sekali tidak mengejutkan. Wujud banyak peluang perniagaan dalam perang ini. Ia mewakili isu minyak dan tenaga yang lebih besar." Industri minyak, menurut Center for Responsive Politics, memberikan sumbangan kewangan paling banyak dalam sejarah politik Amerika kepada ahli-ahli politik Republikan hari ini. Halliburton juga baru-baru ini telah meningkatkan sumbangannya kepada AS$1.2 juta, sebahagian besarnya kepada Republikan. 

Bagaimanapun, Halliburton merupakan syarikat perkhidmatan minyak paling berkepakaran di dunia dan diiktiraf industri minyak dunia. Tetapi, hubungan rapat individu dalam kabinet Bush dengan industri minyak dan gas, termasuk Cheney dengan Halliburton dan Penasihat Keselamatan Condoleezza Rice dengan ChevronTexaco menimbulkan pelbagai persoalan, sehingga tindakan pentadbiran Bush, lebih-lebih lagi di Iraq, dilihat sebagai kesinambungan pentadbiran bapa beliau. Tambahan pula Cheney dan Rice merupakan tokoh penting dalam pentadbiran Bush Sr. Dua dari lima syarikat dipilih itu telah mendapat kontrak hasil tindakan ketenteraan di seluruh dunia. Louis Berger dan KBR kini terlibat dalam beberapa projek di Afghanistan, Asia Tengah dan pangkalan tentera AS seluruh dunia. 

Pendapatan Halliburton meningkat selepas Cheney menerajui syarikat berpangkalan di Dallas, Texas itu. Di era Cheney, berikutan peningkatan operasi di luar negara, termasuk pengendalian pangkalan tentera AS oleh KBR, pendapatan syarikat itu meningkat dari AS$5.7 bilion pada 1994 ke AS$14.9 bilion pada 1999. Hala tuju industri ini pernah dinyatakan oleh Cheney semasa beliau mengetuai Halliburton. "Kita perlu terlibat di tempat yang terdapat minyak. Saya tidak memikirkan sangat mengenainya (perubahan politik)," kata Cheney. 

Dalam kempen ketenteraan AS yang dikatakan untuk memerangi pengganas hari ini, faktor hubungan rapat politik dengan korporat seperti yang dilihat melalui kontrak pembangunan Iraq sentiasa menjadi elemen penting. Individu yang terlibat dalam kelompok pemikir yang mempengaruhi kerajaan agar menyerang Iraq dan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan akibat "perang menentang terorisme" ialah pihak yang mendapat faedah dari tindakan berkenaan. Satu contoh ialah The Project for the New American Century, yang menggesa Iraq diserang kerana mendakwa negara Arab itu merupakan ancaman kestabilan Timur Tengah. 

Antara tokoh yang terlibat dengan kumpulan ini termasuk Cheney sendiri, Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld dan Bruce Jackson, bekas naib presiden Lockheed Martin, kontraktor pertahanan terbesar AS yang semakin berjaya disebabkan dasar properang Washington. Pada masa yang sama, Jackson memegang jawatan pengerusi Committee for the Liberation of Iraq, kumpulan yang menyokong campur tangan AS di Iraq. 

Akhirnya, tindakan ketenteraan kuasa besar dunia ini hanya menguntungkan elit politik dan ekonomi mereka. Rakyat Iraq belum pasti lagi akan menikmati demokrasi. Rakyat biasa Amerika hanya menyaksikan wang cukai mereka digunakan oleh pihak berkepentingan.