Oleh : S.Husin Ali
Perang pencerobohan di Iraq
semakin zalim. AS menggunakan senjata-senjata bahaya yang membunuh
kanak-kanak, orang perempuan serta orang tua, dan memusnahkan harta
benda. Bush memang gila perang dan penjenayah perang.
Mengapakah
Bush sanggup hendak bertindak sebegini gila? Pertama, beliau hendak
menaikkan populariti agar boleh dipilih semula sebagai presiden
untuk satu penggal lagi. Kedua, beliau hendak memastikan kedudukan
AS sebagai kuasa besar dunia yang tunggal dan tidak boleh dicabar
bertambah kuat. Ketiga, beliau berazam hendak menjatuhkan
Presiden Saddam dan menggantikan beliau dengan seorang boneka.
Keempat, beliau hendak memperkukuh penguasaan AS ke atas
minyak di Iraq. Kelima, beliau hendak menjamin perubahan imbangan
geo-politik di Timur Tengah akan menguatkan lagi kedudukan
Israel di rantau itu.
Berikutan
kejatuhan Uni Soviet dan negara-negara Eropa Timur, AS mulai tegak
sebagai kuasa besar tunggal dalam dunia. Sepuluh tahun lalu,
semasa perang pertama ke atas Iraq dilancarkan, Presiden Bush (tua)
mengumumkan pembentukan sebuah “New World Order” (atau
susanan baru dunia). Pada masa yang sama, Pentagon telah
mengemukakan sebuah kertas dasar, yang menyatakan bahawa selepas
kejatuhan regim komunis di dunia, ancaman yang dihadapi oleh AS
ialah dari gerakan Islam dan apa yang digelarnya sebagai “rogue
state” (negara bajingan), terdiri antara lain dari Korea
Utara dan Cuba.
Peristiwa
11hb September memberikan Presiden Bush peluang untuk melaksanakan
kertas Pentagon yang sudah menjadi dasar AS itu. Golongan yang
beliau tuduh sebagai “pengganas Islam” dipersalahkan. Pada
mulanya Bush semacam mengisytiharkan perang salib yang baru terhadap
Islam (walaupun beliau berusaha keras untuk menjelaskan bahawa yang
dimaksudkannya hanya golongan pengganas dan semua negara yang
melindungi mereka). Dalam suasana kesedihan dan kemarahan rakyat
Amerika, Bush berjaya menaikkan popularitinya.
Mula-mula
Bush mengisyiharkan kempen perangnya terhadap pengganas antarabangsa,
terutama Usama bin Ladin dan gerakan al-Qaeda. Selepas itu AS
menyerang Afghanistan dan mengganti pemerintahan Taliban
dengan sebuah pemerintahan boneka di bawah Presiden Karzai. Kita
tidak menyetujui banyak dasar Taliban, akan tetapi apakah hak AS
untuk menggantikan pemerintahan dengan kekuatan sejatanya? Bukankah
ini perbuatan yang boleh dilakukan hanya oleh sebuah negara
pengganas? Sekarang Bush hendak mengulangi di Iraq apa yang
dilakukannya di Afghanistan.
Bush
telah mengumumkan juga apa yang disebutnya sebagai “axis of
evil” (paksi kejahatan), terdiri teruama sekali dari negara Iraq,
Iran dan Korea Utara. Setelah gagal menangkap Usama dan Muhamad Omar
(ketua Taliban) atau memusnahkan al-Qaeda, Bush mengalih perhatian
kepada Iraq, yang dituduh bermacam termasuk bekerjasama dengan Usma
dan membantu pengganas antarabangsa. Seperti biasa, beliau
mengemukakan tuduhan serta fitnah saja, tanpa mengemukakan bukti
yang kukuh.
Bush
merancang untuk mencapai berbagai-bagai matlamat, seperti tersebut
di atas, dengan tindakan ke atas Iraq. Salah satu matlamat besarnya,
dan mungkin terbesar sekali, ialah untuk menguatkan kedudukan
Israel. Negara Zionis ini, yang kini mempunyai simpanan 200 peluru
berpandu nuclear, merupakan negara paling banyak mempunyai senjata
pemusnahan awam di seluruh Timur Tengah. Selain itu ia dipimpin oleh
Sharon, seorang yang sudah berkali-kali terbukti sebagai pengganas.
AS
telah membuang undi veto untuk membatalkan lebih 70 resolusi Majlis
Keselamatan terhadap pencerobohan Israel terhadap Palestin. Israel
sendiri tidak mematuhi semua resolusi yang sudah diluluskan,
termasuk resolusi 242 pada tahun 1967, yang mengarahkan supaya
Israel berundur dari semua bumi Arab yang didudukinya.
Mengapakah AS tidak menghiraukan perkara ini? Mengpa menumpu kepada
keingkaran Iraq saja? Seterusnya, mengapakah AS mahukan hanya
senjata Iraq dimusnahkan? Mengapakah mereka tidak mengambil apa-apa
langkah untuk memusnahkan senjata pemusnahan awam yang
dimiliki Israel?
Israel
di bawah Sharon bukan saja menyerang bahkan menduduki bumi Palestin.
Dalam proses itu ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa terbunuh
dan banyak bangunan serta harta benda persendirian musnah. AS tidak
berdetuk atau berdetik pun. Bush membiarkan saja Sharon melakukan
segala keganasan yang tidak berperikemanusiaan. Tiada usaha untuk
menyekat beliau. Tiada usaha untuk memusnahkan senjata pemusnahan
awam milik Israel. Mengapakah sikap dwi-standad (double standards)
Bush dan AS ini?
Sharon
menyokong bahkan menggesa supaya Bush meneruskan serangan terhadap
Iraq dan mengulingkan Saddam. Selepas itu beliau berharap, AS akan
bertindak terhadap Iran pula. Beliau mengetahui semua ini akan
menguatkan lagi kedudukan Zionis Israel dan melemahkan rakyat
Palestin. Rancangan Sharon dan Israel pada masa ini ialah untuk
menghancurkan sama sekali rancangan untuk membentuk negara Palestin
dan menghalau rakyat Palestin beramai-ramai ke tempat lain, seperti
Jordan.
Dilihat
dari semua segi, nyatalah bahawa perang untuk menundukkan Iraq
adalah berkaitan rapat dengan rancangan bersama Imperialisme dan
Zionisme hendak meluaskan dan mengukuhkan kuasa di Timur
Tengah dan akhirnya di seluruh dunia. Sekarang ini tidak ada kuasa
besar lain yang boleh mengimbangi mereka. Penentangan China, Jerman,
Perancis dan Rusia terhadap perang ini adalah sangat baik. Tetapi
tidaklah diketahui sejauh mana dan selama mana penentangan mereka
akan berterusan. Pada analisa terakhir gerakan raksaksa rakyat di
seluruh dunia, termasuk di AS, Britain dan Spanyol, yang akan dapat
menggagalkan niat jahat AS serta sekutu-sekutunya.
***********************************************
Artikel
ini telah disiarkan didalam "SUARA PRM"Akhbar Parti Rakyat
Malaysia dalam 3 bahasaBahasa Malaysia, Inggeris dan Mandrin
berlangganlah dengan RM50/tahun (26 keluaran) Hantar wang pos
atas nama R Publishing Services
19A
Jln 3/23B, Taman Danau Kota,53300 Setapak.Kuala Lumpur