Oleh
:Lee Ban Chan
Pada 18
April lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk
membatalkan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi
bagi kesalahan liwat.
Hakim
Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, pada 8 Ogos 2000, menjatuhkan
sembilan tahun penjara terhadap Anwar dan manakala Sukma pula
dikenakan hukuman enam tahun penjara serta empat sebatan.
Kes rayuan
itu didengar oleh Hakim Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Hashim Mohd
Yusof dan Datuk Richard Malanjum. Sehari sebelum keputusan sebulat
suara itu dibuat, Parti Keadilan melahirkan "kebimbangan
banyak pihak mengenai kemungkinan campur tangan politik untuk
memastikan Anwar kekal di dalam penjara".
Dalam
kenyataan akhbar oleh timbalan presiden Keadilan, Abdul Rahman
Othman, nampaknya parti itu masih menaruh harapan agar pemimpin
mereka akan dibebaskan. Lantaran itu, penyokong Anwar sekali lagi
diingatkan supaya memahami kata-kata Anwar: "Masa itu adalah
penyembuh terbaik dan saya (Anwar) tidak menyimpan sebarang dendam."
Malah Abdul
Rahman turut menganalisa perbezaan cabaran tahun 2003 dengan
cabaran tahun 1998.
Menurutnya
"cabaran semasa menuntut kita untuk menyatukan segala tenaga,
membina kesepaduan dan kekuatan negara," kerana "tanpa
kita sedari konflik global kini menenggelamkan konflik domestik.
Sikap asyik dengan konflik domestik mengundang risiko yang tinggi
ke atas masa depan negara".
Keputusan
politik
Menurut
beliau lagi, Anwar yang bebas diyakini mampu menyumbang secara
berkesan ke arah kestabilan politik negara dan antarabangsa.
Sayang sekali, sikap berkompromi Parti Keadilan tersebut hanya
merupakan tepukan sebelah tangan, dan keputusan Mahkamah Rayuan
pada 18 April lalu sekaligus menghancurkan impian Parti Keadilan
untuk menyambut kebebasan Anwar.
Nampaknya
musuh Anwar masih belum bersedia untuk menerima beliau pada masa
ini, sungguhpun suasana politik sekarang jauh berbeza daripada
suasana politik tahun 1998.
Di pihak
yang lain, Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam kenyataan
bertarikh 19 April, dengan tegas menyeru rakyat Malaysia supaya
membuang segala khayalan dan angan-angan mengenai pembebasan Anwar.
Menurut
parti itu, perjuangan politik atau gerakan pro-demokrasi tidak
boleh dibina semata-mata atas harapan Anwar dibebaskan.
Keseluruhan sistem perlu dirombak semula. Hanya sesudah
keseluruhan sistem dirombak semula, barulah suatu sistem yang
lebih demokratik, yang menghormati hak-hak dan kebebasan rakyat
dapat dibentuk.
Sebelum
keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan, pihak yang terbabit
terutamanya parti pembangkang sudah mengetahui kes Anwar adalah
kes politik, oleh itu keputusannya akan merupakan keputusan
politik juga, ini adalah kenyataan dalam bidang kehakiman negara
kita sekarang, yang terpaksa kita hadapi sama ada suka atau tidak.
Dengan lain
perkataan, Anwar akan terus ditahan di penjara melainkan beliau
sanggup tunduk dan mencapai sesuatu "tawar-menawar"
dengan musuh politiknya.
Drama
empat babak
Memang baik
jika Anwar dapat dibebaskan. Namun Anwar yang "berpatah-balik"
ke pangkuan Umno, tentunya bukan Anwar yang akan dialu-alukan oleh
gerakan reformasi atau Barisan Alternatif (BA) yang masih
menganggap Umno sebagai musuh ketat politik mereka.
Ada pihak
yang masih menaruh harapan terhadap kebebasan kehakiman yang
didakwa terus terhakis dalam kes Anwar sendiri. Mereka terlalu
cepat melupakan bagaimana konspirasi politik sudah terdedah dalam
proses perbicaraan. Mungkin ada baiknya diberikan beberapa contoh
sepertimana yang telah dikemukakan oleh peguam Anwar.
"Cerita
Zainur Zakaria - Satu Drama dalam 4 Babak" (The Zainur
Zakaria Story - A Drama in 4 Acts) yang disebarkan oleh Kempen
Bebaskan Anwar (FAC), bagi saya, adalah satu dokumentasi yang amat
berkesan untuk mendedahkan bagaimana pegawai kehakiman telah
terlibat secara mendalam dalam konspirasi politik untuk
menganiayai Anwar.
Dalam Babak
pertama disiarkan surat Manjeet Singh Dhillon, peguam
Nallakaruppan, yang dihantar kepada Peguam Negara Mohtar Abdullah
bertarikh 12 Oktober 1998.
Surat
tersebut mendedahkan bagaimana Datuk Abdul Gani Patail telah
diperalatkan oleh "Pejabat Peguam Negara" "untuk
menggunakan hukuman mati di bawah seksyen 57 ISA, sebagai alat
tawar-menawar "untuk memeras bukti palsu yang melibatkan lima
wanita (tiga sudah berkahwin dan dua belum) seperti yang
dikehendaki untuk digunakan terhadap Anwar.
Pemalsuan
Dalam Babak
kedua, Manjeet Singh Dhillon membuat Akuan Berkanun pada 9
November 1998 berhubung perkara itu dan kisah seterusnya, di mana
pihak Peguam Negara, melalui Datuk Patail dan Azahar bin Mohamed (Ketua
Bahagian Pendakwaan) meminta "sesuatu yang lain" (merujuk
kepada bukti palsu yang melibatkan lima wanita seperti yang
tersebut di atas) selain mengaku salah jika pihak peguam negara
menukar pendakwaannya terhadap Nallakaruppan di bawah Akta Senjata.
Nallakaruppan
tidak dapat memuaskan permintaan pihak Peguam Negara kerana dia
enggan berbohong.
Babak ketiga
membayangkan bagaimana Zainur Zakaria dihukum penjara tiga bulan
atas dakwaan "kesalahan menghina mahkamah" kerana ingin
membuat permohonan berasaskan Akuan Berkanun Manjeet Singh Dhillon
tersebut.
Beliau
enggan meminta maaf kepada mahkamah sepertimana yang didesak oleh
Hakim Ariffin Jaka (gambar) yang menegaskan bahawa
Nallakaruppan hanya "diminta untuk memberi bukti", bukan
"diminta untuk memalsukan bukti" seperti yang dituduh
oleh Zainur Zakaria.
Dalam babak
keempat pula disiarkan petikan-petikan hakim Mahkamah Persekutuan
yang membatalkan hukuman terhadap Zainur Zakaria.
Hakim Abdul
Malek Ahmad, antara lain, telah berhujah: "Isu utama ialah
tingkahlaku dua pendakwa daripada pasukan pendakwaan cuba
tawar-menawar untuk memalsukan bukti tambahan untuk digunakan
terhadap pelanggan perayu, sebagai pertukaran meringankan hukuman
mati yang akan dihadapi oleh Dato Nallakaruppan."
Notis
Alibi
Berikutnya,
beberapa contoh lagi yang dikemukakan oleh peguam Anwar untuk
membuktikan perbicaraan Anwar adalah perbicaraan yang silap kerana
tidak selaras dengan semangat perundangan dan kehakiman.
Misalnya
mengenai Notis Alibi. Anwar dan Sukma (gambar) pada
mulanya didakwa meliwat Azizan di Tivoli Villa pada suatu hari
dalam bulan Mei tahun 1992. Maka Anwar menfailkan Notis Alibi
untuk membuktikan pada masa itu Tivoli Villa masih dalam pembinaan,
belum siap lagi, oleh itu perkara liwat tidak mungkin berlaku di
sana pada bulan berkaitan.
Pendakwa
bukan terus membuang kes itu tetapi masa liwat pula diubah menjadi
pada satu malam di antara 1 Januari 1993 dan 31 Mac 1993.
Untuk
mencabar tarikh baru ini Anwar perlukan 10 hari untuk menfailkan
Notis Alibi baru seperti yang dikehendaki undang-undang, tetapi
permohonan Anwar ini ditolak oleh hakim dengan alasan perbicaraan
harus dimulai tanpa tundaan lagi.
Menurut
peguam Anwar, hakim tidak berkuasa untuk menolak permohonan Anwar
untuk menfailkan Notis Alibi yang merupakan hak beliau sebagai
pembela mengikut prosedur undang-undang.
Dakwaan
konspirasi
Berkaitan
dengan saksi, peguam Anwar tidap puas hati dengan hakim kerana
didakwa bersikap sewenang-wenangnya dalam membuat keputusan sama
ada saksi terbabit boleh atau tidak boleh dipercayai tanpa melalui
proses sewajarnya, umpamanya sapina orang yang terbabit untuk
memberi penjelasan.
Misalnya
dalam testimoninya, Raja Kamaruddin Raja Wahid (lebih dikenali
sebagai Raja Kommando) telah mendedahkan beliau telah diundang
untuk mengambil bahagian dalam satu konspirasi untuk menumbangkan
Anwar. Menurutnya, perjumpaan itu diadakan di pejabat Aziz
Shamsuddin, setiausaha politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dalam
perjumpaan tersebut, menurut Raja Kamaruddin lagi, Aziz telah
mengesahkan bahawa Ummi Hafilda Ali dan Azizan telah dirasuah
untuk memalsukan dakwaan salahlaku seks terhadap Anwar, iaitu
Anwar telah meliwat Azizan.
Namun,
pendakwa enggan mensapina Aziz ke Mahkamah untuk membuktikan sama
ada testimoni Raja Kamaruddin itu benar atau palsu, tetapi
sebaliknya membuat keputusan bahawa testimoni Raja Kamaruddin itu
tidak boleh dipercayai, tanpa diberi sebarang bukti yang
diperlukan.
Tetapi,
menurut peguam Anwar, pendakwa tidak pernah mensyaki
kebolehpercayaan "saksi utamanya" Azizan, tidak kira apa
sekalipun bukti yang dikemukakan oleh pihak pembela Anwar.
Testimoni
Azizan
Misalnya,
apabila ditanya kenapa menunggu lima tahun baru membuat tuduhan
Anwar telah meliwatnya, jawab Azizan, dia berbuat demikian demi
kepentingan agama dan maruah. Namun, sebelum perbicaraan terbabit
selesai, Azizan ditangkap dan dijatuh hukuman kerana salahlaku
seks. Namun, mahkamah tidak mengambilkira semua itu.
Cubalah anda
baca testimoni Azizan berikut:
Fernando:
Saya kemukakan kepada kamu, kerana Dato Seri Anwar tidak membuat
apa-apa terhadap kamu, maka kamu terus melawatnya dari tahun 1992
sehingga tahun 1997. Jika tidak, kamu akan menjauhinya.
Azizan: ia,
itu benar.
Soalan yang
sama diulangi sekali lagi.
Azizan: ia,
itu benar, tetapi saya tidak faham perkataan "tidak membuat
apa-apa".
Fernando:
Dato Seri Anwar tidak meliwat kamu. Itulah sebabnya kamu terus
melawat keluarganya dari tahun 1992 sehingga tahun 1997.
Azizan: Saya
setuju bahawa beliau tidak meliwat saya. Itulah sebabnya saya
terus melawatnya dari tahun 1992 sehingga tahun 1997.
Pendakwa
tidak puas dengan jawaban Azizan, lalu ditanya sekali lagi: "Adakah
Dato Seri Anwar meliwat kamu setelah September 1992?"
Jawaban
Azizan yang jelas dan tidak dapat diragukan ialah: "Selepas
September 1992, Dato Seri Anwar tidak pernah meliwat saya sehingga
hari ini."
Kepada
sesiapapun, tidak usahlah mereka mereka yang terlatih dalam bidang
perundangan dan kehakiman pun, testimoni Azizan itu jelas dan
tidak dapat diragukan, dan ini sudah lebih daripada mencukupi
untuk membatalkan segala hukuman Anwar atas kesalahan meliwat
Azizan.
Bagaimanapun,
keputusan Mahkamah Rayuan adalah sebaliknya, dan permohonan lisan
peguam Anwar agar pelanggannya dibenarkan ikatjamin juga ditolak.
Malah ikat jamin terhadap Sukma yang dibenarkan Hakim Mahkamah
Tinggi sebelumnya, juga ditarik balik!
Kononnya
keadilan bukan saja harus dilakukan, tetapi juga harus dilakukan
secara jelas dan tidak dapat diragukan. Dalam pengertian ini, di
manakah keadilan untuk mangsa-mangsa konspirasi politik Umno/Barisan
Nasional(BN) seperti Anwar dan tahanan-tahanan politik yang lain?