Oleh
Nik Abdul Aziz Nik Mat
SEJAK Saddam menduduki kerusi Presiden pada tahun 1968, beliau yang mengetuai Parti Baath didokong oleh Russia. Setelah tersungkur, kini muncul seorang dengan nama Ahmad Chalabi, seorang pemimpin pembangkang yang disokong oleh AS pula.
Chalabi dengan kuatnya menyakini bahawa AS sahaja yang mampu mentadbir Iraq dan rakyat Iraq semuanya bodoh.
Demikian juga di Afghanistan. Sebelum ini, ada seorang manusia bernama Babrak Karmal yang telah ditaja menjadi Presiden. Itu di tahun 1979. Kini boneka yang dinaikkan ialah Hamid Karzai yang dibawa dari Amerika.
Indonesia juga turut mengalami nasib yang sama. Sewaktu menghalau penjajah Belanda, pemimpin Masjumi dijemput bersama oleh golongan nasionalis. Apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, para Ulama Masjumi dimusuhi dan ditangkap.
Malaysia pun turut menyaksikan peristiwa yang sama. Bila 13 Mei meledak, pemimpin PAS dijemput untuk itu dan ini. Bila segar bugar, PAS ditendang dan kena cop anti nasional. Perjuangan menuntut kemerdekaan yang didokong oleh alim ulama di awal kebangkitan menentang penjajah Inggeris berakhir dengan kemerdekaan negara.
Pemimpin nasionalis diangkat dan Dr Burhanudin disingkirkan. Sebagaimana Saddam yang memusuhi ulama-ulama dari Puak Kurdis dan Syiah, sebegitulah juga pemimpin Umno yang menindas para ulama dan pejuang Islam dari PAS.
Pernah kita melihat bagaimana Saddam menyebut perkataan "saya akan mati syahid" semasa Baghdad diberi ultimatum sebelum diserang. Beliau menyeru rakyatnya untuk berjihad. Apabila terdesak, biasanya pemimpin nasionalis Islam akan menggunakan apa sahaja termasuk seruan-seruan jihad dan mati syahid.
Bagaimana boleh kita percaya akan seruan syahid Saddam dan pemimpin-pemimpin lain jika dalam tempoh yang sedemikian lama mereka mengkhianati agama dan ulama? Jika ini berlaku di Iraq, mustahilkah ia berulang di Malaysia?
Pokok masalahnya di sini ialah telah diisytihar Malaysia sebagai negara Islam. Jika setakat negara dipimpin oleh pemimpin yang cuma beragama Islam tetapi melihat tanah airnya sebagai entiti-entiti terpisah dalam sebuah Negara Bangsa (nation state) dalam kerangka kebangsaan, maka kita sudah kehilangan punca, pangkal dan hujungnya.
Seperti yang disebut oleh Pemangku Presiden PAS dalam wawancara eksklusif dengan Berita Minggu Ahad lalu, Islamlah yang akan menyelamatkan bangsa Arab, bukan nasionalisme Arab yang menyelamatkan bangsa Arab.
Demikianlah juga walau di mana. Empayar Abbasiyyah di Baghdad runtuh kerana berpunca daripada mereka meninggalkan Islam dan memuja nafsu. Jika orang bertanyakan saya soal iktibar dari peristiwa kejatuhan Baghdad di tangan AS bulan lepas, saya akan cepat-cepat menghubungkannya dengan faktor yang sama.
(i) Pemimpin Islam yang tidak yakin dan meninggalkan Islam.
(ii) Pemimpin Islam yang sekular dan cuma menggunakan Islam secara istiadat, ibadat yang khusus dan tidak menggunakan Islam sebagai dasar pemerintahan yang tegak, serta dilaksanakan dengan menyeluruh.
(iii) Pemimpin Islam yang mencampur adukkan Islam dalam acuan kebangsaan lalu mencelarukan rakyat dalam petak-petak hidup perkauman di bawah dasar "divide and rule".
Jika ada seruan-seruan untuk bersatu, ia cuma dibina di atas kepentingan nasionalisme negara bangsa dan kecintaan terhadap tanah air. Inilah pun yang cuba dan telah dibuat oleh Saddam.
Sesiapa yang menentang atau mempunyai pandangan yang berbeza dengannya telah dihukum sebagai pengkhianat. Akhirnya apa yang terjadi ialah dalam suasana mendesaknya perpaduan dan penyatuan untuk menentang pencerobohan kuffar, penduduk Iraq tetap berpecah.
Ini berpunca dari asas penyatuan yang celaru. Bangsa adalah pengenalan kaum. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Ia tidak lebih daripada kurnia Allah S.W.T. dan tidak sekali-kali boleh dijadikan asas suci untuk menyatu padukan rakyat. Penyatuan ada di dalam Islam.
Ia ada tersedia di dalam Al Quran. Penyatuan akan berlaku jika masing-masing kembali kepada Islam. Baik kita di Malaysia atau umat Islam di seluruh dunia.
Dalam gelombang pertama pembebasan dari semua kuasa penjajah, baik Perancis, Inggeris, Jerman, Belanda, Jepun atau Amerika di serata dunia, kemerdekaan yang dicapai adalah berasaskan kesempadanan geopolitik dengan meneguhkan faham nasionalisme untuk kemunculan negara bangsa-negara bangsa secara individu.
Diperkenalkanlah pendidikan sekular dan pemimpin tempatan yang nasionalis sekular untuk menggantikan mereka. Hasilnya muncullah kuasa-kuasa pemerintahan dari pemimpin beragama Islam tetapi sekular dan nasionalis baik di Iraq, Saudi, Syria, Sudan, Turki, Kuwait, Iran, Indonesia dan Malaysia.
Mereka tidak lebih dari menjadi proksi. Pemimpin-pemimpin ini kelihatan merdeka, berautonomi, berdaulat dan jelas kesempadanan geografinya tetapi masih dikongkong oleh faham bangsa yang sempit dan terjajah pemikiran dalam serba serbi.
Mereka hidup dalam semangat kerja sendiri demi
kecemerlangan negara bangsa yang terhad. Semangat ukhuwah hampir tiada langsung.
Bagaimana kita boleh bayangkan semangat hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud "perumpamaan orang-orang mukminin dalam saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengadu sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam" boleh diamalkan?
Bila Palestin disembelih, Arab-Arab jirannya sibuk di sidang, kemudian minum-minum dan mengutuk tukang sembelih. Saya pun tidak tahu. Kenapa keadaan cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit ini tidak terjadi?
Nampaknya seluruh ilmu dan tuntutan amal di dalam ilmu hanya tinggal di dalam kitab. Ia tersekat sesampainya di tebing sempadan negara saudara kita yang juga umat Islam.
Inilah bencana sekularisme dan nasionalisme yang disemai kira-kira 80 tahun dulu oleh Mustapha Kamal Ataturk sedang membuahkan hasil yang terlalu pahit. Dia telah mengurung Islam yang luas itu dalam rungkup saji agenda pemimpin politik berkepentingan.
Akhirnya Saddam yang 'ghaib' dari bumi Baghdad telah dipijak dan diheret patungnya oleh rakyatnya sendiri. Amerika akhirnya memecahkan tembelang niatnya. Walaupun Saddam telah digulingkan dan Iraq telah dibebaskan, Kongres masih berkira-kira untuk mengekalkan kehadiran Amerika selama lima tahun lagi di Baghdad. (Lihat NST 22 April 2003).
Bagaimana boleh kita bayangkan umat Islam yang menghuni satu perlima dari permukaan bumi boleh diam dalam selimut bendera kebangsaan masing-masing ketika heboh melihat teman seIslamnya disembelih hidup-hidup selama 25 hari.
Bagaimana tergamak negara-negara Teluk yang bersempadanan dengan Iraq boleh membenarkan pelabuhan dan lapangan terbangnya dijadikan pangkalan hadapan untuk melancarkan serangan kepada saudara-saudaranya di Baghdad, Mosul dan Basra.
Ini semua telah berlaku. Di mana peranan OIC yang dianggotai oleh 52 negara-negara umat Islam yang merupakan hampir separuh dari anggota Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Kedua-kedua Pengerusi OIC dan NAM adalah pemimpin beragama Islam.
Saya melihat ode baru Islam sebagai sebuah entiti besar yang bertenaga dan berpengaruh perlu dimunculkan segera. Setiap pemimpin di negara-negara umat Islam perlu kembali kepada Islam sepenuhnya.
PAS telah berbuat demikian sejak puluhan tahun yang lalu. Umno masih sekular. Umno masih nasionalis. Umno masih mengajak rakyat untuk bersatu di atas motto "Keranamu Malaysia" dan "Aman Malaysia". Dari seruan itu pun kita sudah tahu betapa sempitnya kandungan penyatuan.
Memanglah bersatu dan berpadu itu penting tetapi dengan apa, untuk apa dan kerana siapa? Ini lebih penting diteliti terlebih dahulu. Kita perlu bertanyakan soal ini kerana ia soal 'survival' niat kita yang mesti dibangunkan "kerana Allah".
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai." (Maksud sebahagian Ayat 103: Surah Ali 'Imran)
Ini dasarnya. Saya ingat Jakim dan Ikim tidak ada masalah untuk menghuraikan maksud "tali Allah" yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. sebelum kita diseru untuk bersatu dan jangan bercerai-berai.
Jika tidak, saya khuatir kita akan sentiasa lemah dan tetap tidak akan mampu untuk berdepan dengan mana-mana jua pencerobohan asing. Jangan sampai setelah terdesak, baru keluar seruan dari pemimpin Umno supaya rakyat berjihad sampai ke titisan darah yang terakhir dan mati syahid. Itu pun mungkin "keranamu Malaysia"!