Oleh
Anual Bakhri Haron
"UMNO
pengganas? Tak adalah." Demikian penafian yang dibuat oleh seorang muda di kedai kopi simpang, Jalan Kampung Sireh sehari selepas Pengarah Jabatan Bomba Negeri, Zamri Ibrahim ditinju dan dibelasah oleh beberapa pemuda dari 'parti keris bersilang'. Bila? 9 April 2003.
Di mana? Sebuah kedai kopi di Jalan Long Yunus. Kenapa? Bagaimana? Untuk menjawab kenapa dan bagaimana, maka ia sedang dalam siasatan polis. Soal siapa yang bersalah di sini tentu tidak berbangkit. Ini kerja mahkamah.
'
Bagaimanapun, apabila insiden ini turut dihadiri oleh seorang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan merangkap Ketua Bahagian Kota Bharu yang sekaligus seorang peguam maka ini besar masalahnya. MasyaAllah!
Ketika ditanya mengenai perkembangan kes pukul seorang pegawai Bomba Negeri yang tersenior itu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman berkata, "pihaknya belum menerima laporan kes berkenaan. Belum lagi... perkara kecil saja tu." (Lihat Berita Harian - 22 April 2003).
Saksikanlah bagaimana berselambanya reaksi seorang "Ketua Turus" penjawat awam apabila kes melibatkan pemimpin Umno. Walau apapun alasan, yang jelas di sini ialah KSN telah kelihatan kurang bersifat bapa. Anak buahnya ditinju, sampai hati beliau boleh menganggapnya sebagai perkara kecil.
Jika takdirnya, pemimpin PASlah yang sebaliknya terlibat, barangkali berbeza pula reaksinya. "Go to the rock bottom of the case and let no stone unturned,". Begitulah barangkali bunyi arahannya.
Berbalik kepada soal Umno dalam tempoh sebulan ini, terlalu banyak mereka telah melukai hati rakyat Kelantan dan mengerdik agamanya. Belum pun lagi berkuasa, Umno telah mengangkat kolar baju, menyinsing lengan dan meninju seorang yang amat berpangkat di Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Itu belum lagi berkuasa. Kalau takdir diberi kuasa, maka selamatlah! Pemimpin PAS berada di Kota Darulnaim sebagai Kerajaan Negeri sebaliknya belum pernah lagi berbuat demikian dalam tempoh 13 tahun berkuasa sebagai parti yang memerintah.
Walaupun diberikan kuasa, tidak pernah satu ketika pun kelihatan unsur kesamsengan melampau seperti yang telah disaksikan dalam insiden biadap di Jalan Long Yunus pada 9 April 2003 itu.
Apa yang sibuk dilakukan oleh PAS ialah memulihkan adab, menyuburkan akhlak dan adat resam yang tidak biadap untuk berkembang. Ilmu adalah terasnya. Taqwa kepada Allah S.W.T. dan Hari Akhirat adalah asasnya. Islamlah dasarnya.
Peristiwa mengemukakan cek yang tidak boleh ditunaikan bernilai RM20,000.00 seperti yang telah dibuat oleh MTRK terhadap MPKB adalah satu lagi insiden. Ia adalah amalan penipuan yang terang-terangan.
Ini berlaku semasa mereka memohon permit untuk mengadakan pertunjukan kereta berhias pada 12 April 2003 yang lalu. Sudahlah begitu, MTRK yang dipimpin oleh orang Umno itu tidak berpegang kepada ikrarnya.
Permit yang dipohon yang membawa ikrar untuk mematuhi kehendak Enakmen Kawalan Hiburan 1998 telah dikhianati. Di hari perarakan dan pementasan sebenar, MTRK yang sinonim dengan Umno telah memuatkan persembahan penyanyi, penghibur dan penari wanita yang mendedahkan aurat.
Jangan cuba sesiapa nafikan kenyataan ini kerana ia berbukti dalam bentuk VCD dari awal hingga ke akhir. Di sini jelas Umno telah mengemukakan cek tendang.
Umno telah melanggar Enakmen yang sedang berkuatkuasa. Umno telah melanggar ikrar. Umno yang tidak menghormati prinsip keluhuran perlembagaan negeri. Memerhatikan semua perkembangan ini, tahulah rakyat Kelantan khususnya dan masyarakat Malaysia amnya bahawa Umno sudah kembali ke zaman purba.
Segala peraturan yang boleh membawa kepada cara hidup yang rukun menjadi bercelaru apabila mendapat campur tangan Umno. Umno sudah tidak menghormati nilai-nilai sivil yang boleh membawa masyarakat kepada akhlak. Tidakkah membelasah Ketua Jabatan itu hina? Tidakkah mengemukakan cek yang bermasalah itu satu bentuk penipuan? Tidakkah tidak menepati ikrar itu munafik?
Tidakkah mencabar dan melanggar Enakmen Kawalan Hiburan 1998 itu tidak menghormati undang-undang? Tidakkah menaikkan penari dan penyanyi ke pentas dengan aurat yang terdedah itu melanggar hukum Allah?
Umno sesungguhnya terlekat. Dia memerlukan bomoh untuk berjampi bagi mengeluarkan tulang yang terlekat di kerongkongnya!