Mungkinkah Selesai Masalah ?

Oleh Pauh Janggi dan Sam Ahmad

"Hanya satu golongan masyarakat lagi yang boleh memusnahkan budaya politik wang dan rasuah, iaitu golongan penulis." Ini pendapat Sdr Ahmad Lutfi Othman. Adakah ini benar atau hanya satu ungkapan yang dicipta untuk memberikan kita harapan sahaja. 

Kebanyakan kita kurang pandai menterjemahkan ayat sastera atau persuratan yang berbelit-belit tapi mempunyai maksud yang tersirat. Mungkin kita telah banyak sangat diracuni oleh majalah-majalah songsang perosak minda yang mudah didapati di mana-mana. 

Berbeza dengan ayat sastera atau penulisan esei biasa, majalah-majalah songsang ini lebih mudah difahami selain dari mengutarakan isu-isu ringan dan gossip artis yang sebenarnya tidak melibatkan rakyat terbanyak. 

Kita imbau semula sejarah. bagaimana usaha mendapatkan kemerdekaan negara. Bagaimana usaha yang telah dilakukan oleh penulis zaman pra merdeka? Kebanyakan penulis zaman itu, menulis hasil penulisan mereka berkaitan dengan kemerdekaan. Mereka juga pencetus semangat rakyat dan memperjuangkan kebangkitan ke arah kemerdekaan hanya dengan tulisan mereka. 

Adakah situasi seperti ini masih lagi wujud sekarang? Adakah penulis dapat mengeksploitasikan bakatnya demi untuk perjuangan bangsa dan negara? Kalau pun ada penulis yang berbakat, adakah karya yang dihasilkan setandingkan dengan penulis-penulis zaman sebelum merdeka? 

Sesetengah penulis sengaja berkias dalam menulis karyanya. Tidak menuju ke arah maksud beliau menulis. Kenapa? Mungkin kerana bagi penulis, lebih baik hasil penulisan itu ditulis begitu disebabkan tekanan atau demi kepentingan sesuatu perkara. 

Jika dilihat pada zaman sebelum merdeka dahulu, akibat ancaman dari pihak penjajah, penulis-penulis ini telah menghasilkan suatu tulisan yang maksudnya tersembunyi disebalik unsur-unsur jenaka dan cinta. Ia kemudian diolah secara sinis dalam bentuk satira yang boleh buat pembaca tidak faham dengan apa yang mahu disampaikan. 

Walaubagaimanapun, tumbuhnya akhbar, risalah dan majalah juga pada zaman sebelum perang, dapat membuktikan bahawa peranan penulis juga adalah besar. Melalui akhbar dan lain-lain media cetak jugalah kita dapat menyaksikan hasil penulisan, penulis ulung seperti Ishak Hj Mohamad, Hj Abas Taha, Za'ba, Said Zahari dan A. Samad Ismail (sekadar menyebut beberapa nama) mula tersebar sebagai agen perubahan menuntut kemerdekaan. 

Dan hasilnya, mereka ini ada yang sesetengahnya ditangkap oleh pihak imprealis dan dikenakan pelbagai tekanan dan ancaman. Mereka bukan setakat menulis. Malah mereka juga mengaturkan gerakan menuntut kemerdekaan. 

Kalaupun ada penulis yang begitu sekarang, mampukah mereka menulis seperti penulis terdahulu. Perjuangan mengisi kemerdekaan tidak pernah akan selesai. Penulis kini seharusnya menyambungkan usaha penulis terdahulu. Tapi, mampukah mereka menyambung perjuangan ini? Mampukah mereka memperjuangkan hak rakyat? 

Mampukah mereka mangatur gerakan? Terlalu banyak soalan. Terlalu banyak persoalan. Terlalu banyak ragu-ragu. Dan terlalu banyak was-was. Tanggungjawab besar ini terletak ditangan penulis. Cuma penulis sahaja yang boleh lakukan! 

Seperti yang saudara Ahmad Lutfi katakan, cuma penulis sahaja sekarang ini satu golongan yang boleh menghapuskan politik wang. Tapi, mampukah penulis sekarang menghadapi risiko seperti penulis-penulis yang terdahulu? 

Sebagai seorang rakyat yang memperhambakan diri dalam sebuah sistem demokrasi, mampukah penulis ini menghasilkan karya yang tajam dan berterus terang hingga boleh menggugat kedudukan mana-mana pihak yang mengamalkan rasuah dan politik wang? Dan mampukah penulis ini menyenaraikan kebobrokan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemegang kuasa? 

Peranan dan tanggungjawab menulis amatlah besar. Tambah lagi dalam melalui zaman-zaman kesenangan enak dibuai cerita-cerita indah. Tapi mesti diingat, ketika musim-musim indah seperti inilah, Dinasti Tsar di Rusia yang sedang sibuk minum air anggur di dalam gelas emas dan perak, tumbang dipukul revolusi komunis. Dan ketika musim-musim indah ini juga Shah Iran yang duduk di takhta jatuh dilanggar pengaruh Revolusi Rakyat Iran pimpinan Ayatullah Khomeini. 

Kejatuhan imprealis-imprealis ini yang terdiri daripada bangsa sendiri juga memerlukan peranan penulis. Das Kapital hasil penulisan Karl Marx, memainkan peranannya di Rusia. Risalah-risalah dan tulisan-tulisan berbau revolusi juga tersebar dengan meluas di Iran. Sama seperti peranan al-Imam, Saudara, Idaran Zaman, Panduan, Lidah Benar dan Novel Hikayat Faridah Anum di Tanah Melayu sebelum merdeka. Menjadi suara penentang kepada ketidakadilan dan penjajah yang menyekat kebebasan rakyat. 

Penulis harus bangkit semula dan berperanan seperti seorang penulis. Menulis bukan hanya untuk cari makan, tetapi lebih dari itu lagi!