'Nazri Aziz Menduga Lautan Bergelora

Oleh Aman Rais

Kempen untuk menentukan siapa bakal menjadi orang nombor dua Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) selepas bulan Oktober ini nampaknya semakin rancak.

Ketua Umno bahagian Chenderoh merangkap Menteri Perusahaan Awam, Datuk Mohd Nazri Aziz telah memulakan sepak mula itu.

Beliau secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Datuk Najib Tun Razak sebagai calon timbalan perdana menteri apabila Pak Lah menjadi orang nombor satu negara. Beliau berpendapat Najib calon paling layak kerana merupakan pemimpin paling kanan selepas Pak Lah.

Sokongan terbuka Nazri itu telah "mengocakkan" ketenangan yang wujud menjelang persaraan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada hujung bulan Oktober ini. Pelbagai reaksi diberikan dan komen yang paling menarik pastinya datang daripada Datuk Dr Rais Yatim.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, melantik seorang Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu kemestian.

Katanya, perlembagaan negara tidak mewajibkan jawatan itu diwujudkan atau diisi segera. Beliau menegaskan perlantikan orang nombor dua dalam kerajaan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri, terpulang kepada budi bicaranya.

Kebingungan

Semua orang tahu Dr Rais adalah "orang kuat" Pak Lah. Mereka berdua mempunyai sejarah persahabatan yang panjang. Dr Rais pernah "membakar jambatan" ketika bersama Pak Lah dalam team B apabila menentang team A yang diketuai oleh Dr Mahathir pada tahun 1990 dulu.

Oleh itu di dalam "kebingungan" orang ramai memikirkan siapa penyokong Pak Lah di dalam parti dan kerajaan sekarang, dengan mudah para pemerhati politik menuding jari menunjukkan kepada Dr Rais sebagai penyokong setia beliau.

Malah ada yang menyatakan bukannya suatu yang memeranjatkan jika Dr Rais dipilih sebagai timbalan perdana mentri!

Oleh itu, kenyataan Dr Rais itu telah melemparkan satu pertanyaan baru ke dalam minda ahli-ahli Umno. Kini mereka terfikir Pak Lah mungkin akan mengulangi tindakan Dr Mahathir yang tidak serta merta melantik timbalannya sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Dr Mahathir mengambil masa hingga tiga bulan sebelum mengumumkan Pak Lah sebagai pengganti Anwar. Itupun beliau lakukan selepas mendapat pelbagai tekanan dan munculnya pelbagai spekulasi serta tanggapan buruk terhadap tindakannya itu.

Mungkinkah Pak Lah mengulangi taktik Dr Mahathir itu? Pemerhati politik menjangkakan beliau tidak akan berbuat begitu kerana tindakan tersebut hanya akan memanaskan suhu politiking dalam Umno.

Disambut dingin

Ia akan mewujudkan pelbagai spekulasi dan akhirnya membawa ketidakstabilan kepada parti serta kerajaan. Gejala ini mahu dielakkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana pilihanraya umum 2004 semakin hampir.

Jadi siapakah yang akan dipilih oleh Pak Lah? Najib, Dr Rais atau Tan Seri Muhyiddin Yassin. Inilah tiga nama yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi nombor dua itu. Pak Lah sebenar berada dalam dilema.

Dr Mahathir pada tahun lalu telah menyebut nama Najib sebagai calon paling sesuai untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu.

Kenyataan terbuka Dr Mahathir itu bagaimanapun disambut dingin oleh Pak Lah. Beliau tidak mengiakan pendapat Dr Mahathir itu sebaliknya berjanji akan menamakan calon timbalan perdana menteri selepas pilihanraya kecil Pendang.

Namun sudah sekian lama pilihan raya kecil itu berlalu, Pak Lah masih membisu mengenai siapa bakal timbalannnya. Pak Lah nampaknya tidak cepat melatah, tidak tergesa-gesa untuk menamakan siapa bakal orang nombor duanya.

Memang itulah tindak yang sebaik-baiknya. Pak Lah tidak perlu tunduk pada tekanan. Beliau mempunyai masa yang banyak untuk membuat keputusan Pak Lah mahu membuktikan kepada rakyat dan ahli-ahli Umno bahawa apa yang diputuskannya adalah keputusannnya sendiri, bukannya sesuatu yang dibayangi oleh Dr Mahathir.

Masalah baru

Namun semakin hampir hari persaraan Dr Mahathir, semakin kuat tekanan ke atas Pak Lah untuk menamakan bakal orang nombor duanya. Keengganan Pak Lah menyambut baik cadangan Dr Mahathir dilihat sebagai penolakan beliau terhadap Najib. Pak Lah dikatakan lebih berminat pada Muhyiddin dan Dr Rais.

Siapa yang akan dipilih oleh Pak Lah suatu yang kritikal. Tersilap pilih, buruk padahnya. Umno boleh berpecah belah sekali lagi kalau orang yang dipilih oleh Pak Lah tidak diterima oleh majoriti ahli Umno.

Berat tekanan yang dihadapi oleh Pak Lah sekarang, menolak Najib bererti akan mengundang masalah ke dalam Umno. Difahamkan orang-orang Najib sedang kuat melobi sekarang untuk memastikan "boss" mereka terpilih.

Jika Pak Lah memilih Najib, masalahnya tidak selesai juga kerana beliau tentunya tidak senang berkerjasama dengan saingan politiknya. Tentunya beliau berasa kurang selesa duduk sebelah menyebelah dengan orang yang tidak begitu disenanginya di dalam kabinet dan parti.

Kalau senario ini berlaku, kemungkinan ia akan mengganggu kelancaran pentadbiran dan pengurusan kerajaan serta parti. Sukar untuk membayangkan satu kompromi dapat dilakukan antara Pak Lah dan Najib.

Tengku Razaleigh

Memilih sama ada Muhyiddin atau Dr Rais juga tidak menyelesaikan masalah Pak Lah. Sebaliknya ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar. Persaingan merebut jawatan dalam parti dijangka akan semakin ketara.

Team Najib tentunya tidak akan berdiam diri jika pemimpin dari Pahang itu diketepikan. Ini akan mewujudkan politiking hebat dalam pemilihan jawatan tertinggi Umno pada tahun depan. Silap haribulan, senario team A lawan team B pada tahun 1990 dulu akan berulangi kembali.

Kalau perebutan ini berlaku, adakah Najib akan melawan Pak Lah untuk jawatan presiden parti atau sekadar merebut jawatan timbalan presiden bagi mengukuhkan kelayakannya untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Kalau Najib merebut jawatan nombor dua dalam parti, bagaimana dengan jawatan nombor satu?

Adakah jawatan nombor wahid dalam Umno itu akan dimenangi Pak Lah secara percuma atau akan berlaku pertandingan? Kalau berlaku pertandingan untuk jawatan presiden, siapa akan menentang Pak Lah?

Jangan terkejut dalam kegawatan politik Umno itu, tiba-tiba muncul Tengku Razaleigh Hamzah untuk berganding bahu dengan Najib untuk menyaingi team Pak Lah.

Segalanya mungkin dalam Umno. Jambatan yang dibakar boleh dibina semula menjadi lebuh raya dan yang sudah mati boleh hidup semula untuk menjilat ludah sendiri. Gelora dalam Umno sudah bermula. Nazri telah memulakan sepak mula bagi satu "perlawanan" yang panjang dan sengit.