Persaraan Dr Mahathir:Pemimpin Umno Takut Beri Komen

Oleh Mageda Muda ( Wartawan siasah )

Beberapa pemimpin UMNO enggan membuat kenyataan sama ada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad perlu meneruskan hasrat melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Oktober ini kerana tidak mahu menanggung risiko. 

“Kalau kami menyokong supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri tetapi beliau tetap berhenti penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengambil tindakan kerana mengganggap kami tidak menyokongnya,” kata mereka. 

Mereka berkata, jika membuat kenyataan dibimbangi akan menjejaskan masa depan mereka di dalam UMNO apabila Pak Lah mengambilalih kepimpinan negara pada bulan Oktober nanti. 

Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin enggan membuat sebarang komen kerana bimbang orang-orang Pak Lah memandang serong kepadanya. 

“Saya tidak boleh komen kerana risikonya besar. Biarlah mereka yang menentukan kerana tugas saya ialah di peringkat bahagian sahaja iaitu merampas kerusi Parlimen Pokok Sena di dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi .

Beliau jelas tidak mahu mengulas panjang kerana enggan sebarang kenyataannya bakal mengundang risiko daripada pihak-pihak tertentu. 
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin meminta ahli UMNO menghormati keputusan Dr Mahathir dan pada masa yang sama tidak memperkecilkan kemampuan Pak Lah sebagai Perdana Menteri. 

“Dr Mahathir memberi jasa yang banyak kepada negara sementara itu kita perlu memberi peluang kepada Pak Lah untuk membuktikan kebolehannya pula,” katanya sambil menambah biarlah Perdana Menteri bersara dengan senang hati. 

Bekas Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Fauzi Abdul Rahman yang kini wakil rakyat kawasan Beserah, Kuantan ketika diminta mengulas memberi jawaban `tidak tahu, hanya Allah yang tahu.’ 

Ketua Puteri Wanita Terengganu, Nordiana Shafie berkata, ahli UMNO perlu mengelak daripada membicarakan isu-isu panas seperti persaraan Dr Mahathir kerana boleh memecahbelahkan parti. 

“Kalau kita kata Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri selepas mengumumkan persaraan pada Oktober ini, Pak Lah akan kecewa. Dr Mahathir pula mungkin mengecop kita tidak lagi menyokong beliau. 

“Tidak mustahil kalau Pak Lah jadi Perdana Menteri orang-orang yang sebelum ini membuat kenyataan memperlekehkannya akan memberi kesan yang buruk seperti tidak terpilih sebagai calon pilihanraya atau diketepikan daripada pucuk pimpinan utama parti. 

“Jalan yang paling baik sekarang ialah tidak membuat sebarang komen. Kita tunggu bulan Oktober ini, barulah membuat kenyataan,” katanya lagi. 

Seorang exco kerajaan negeri Selangor yang enggan namanya disiarkan berkata, jika membuat kenyataan masa depannya untuk bertanding di dalam pilihanraya umum akan datang menjadi tidak menentu. 

Menurutnya, ini kerana jika tersalah kem sudah tentu namanya akan disenaraihitamkan oleh pucuk pimpinan parti. 

“Saya terpaksa mengambil pendirian tutup mulut bagi memastikan diri saya selamat menjelang persaraan Dr Mahathir pada bulan Oktober nanti,” katanya lagi. .