Oleh
Suria Janib
JIM dalam
siaran akhbar pada 11 April 2003, mendesak Menteri Dalam Negeri (MDN)
membebaskan segera enam tahanan aktivis reformasi yang ditahan di
bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)
Mereka yang ditahan
ialah Saari Sungib, Dr Badrulamin Bahron, Chua Tian Chang, Lokman
Noor Adam, Hishamuddin Rais dan Mohamed Ezam Mohd Nor. Pada 10
April lalu genap dua tahun mereka ditahan.
Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia (JIM) mendakwa tidak ada dakwaan yang dibuat ke atas
tuduhan kononnya mereka memudaratkan keselamatan negara. Tambahan
lagi, pihak mahkamah telah memutuskan penahanan ke atas mereka
adalah berniat jahat (mala fide) dan diisytiharkan tidak sah.
JIM menggesa Menteri
berkenaan mematuhi undang-undang dan menghormati keputusan
mahkamah. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip
demokrasi dan menjamin kedaulatan undang-undang, tindak tanduk MDN
boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan
keadilan di negara ini.
Naib Presiden Umno, Tan
Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April 2003, dalam sidang akhbar di
pejabatnya, menyebut ISA semakin diperlukan selepas peristiwa
serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001. Pendirian ini
menurut JIM pihak kerajaan sengaja mengambil kesempatan ke atas
tragedi itu dan menggunakan kuasanya menahan rakyat yang menentang
kezaliman dan ketidakadilan.
Tempoh penahanan yang
dilanjutkan dan tanpa bicara menurut JIM sebagai zalim kerana
menganiaya tahanan dan keluarga tahanan. Ia jelas menindas dan
mencabul hak asasi manusia.
JIM turut mengesali
sehingga kini pelbagai aduan diajukan kepada Suhakam, Menteri
Dalam Negeri, Lembaga Penasihat dan Sidang Parlimen tetapi tidak
dihiraukan oleh pihak kerajaan. Sebagai negara demokrasi yang
mengaku menghapuskan keganasan dan memperjuangkan keadilan,
penahanan di bawah ISA dianggap bertentangan dengan amalan
berkenaan.
Justeru, JIM berhasrat
agar semua tahanan itu dibebaskan dengan segera tanpa syarat atau
mereka dihadapkan ke mahkamah. Dan, keputusan mahkamah perlu
dipatuhi dan dihormati, sesuai dengan fungsi dan kuasa institusi
kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Pendirian SUHAKAM yang mencadangkan ISA
dimansuhkan kerana ia mencabuli hak asasi rakyat, JIM berharap
kerajaan akan menerima cadangan itu. Ia merupakan hasrat sebenar
rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara...sumber
siasah online