Oleh
Anual Bakhri Haron
KEMUNCULAN SARS ke depan tangga setiap rumah di serata penjuru
dunia sungguh mengejutkan. Tanpa diduga ia melanda sebagai wabak.
Benarkah penyakit 'Severe Acute Respiratory Syndrome' ini lahir
sendiri, sedangkan kita sentiasa ketahui bahawa Allah jualah yang
menurunkan pelbagai penyakit dan Dia jualah yang Maha Mengubati?
"Dialah Tuhan yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu".
(Surah Al Ikhlas: Ayat 1 dan 2).
Tanpa perlukan banyak penelitian, SARS datang dalam banyak
persamaan dengan SAR. Sesungguhnya, mendera Sekolah Agama Rakyat (SAR)
adalah satu sindrom ketandusan rohani yang "severe" dan
"acute".
Dalam mesyuaratnya pada 9 hingga 14 Mac 2003, Majlis Raja-Raja
telah membuat keputusan yang "Majlis itu masih belum membuat
keputusan mengenai SAR" (Lihat Utusan Malaysia 17 Mac 2003),
sedangkan Umno telah menghentikan bantuan perkapita.
Sampai ke hari ini, keadaan masih tidak berubah. Tidak semena-mena
pula pada awal Mac 2003, dunia telah dikejutkan dengan kunjungan
SARS yang tidak diduga. Ia lebih bahaya dari virus nipah yang
menyerang khinzir di Bukit Pelandok.
Ia mengembara dengan cepat dari pintu orang Washington, warga
Jepun, Korea, Hong Kong, Singapura dan Australia. Kini ia sedang
menjengok dan mengetuk-mengetuk pintu rumah teres dan banglow di
Malaysia.
Sebagaimana Allah S.W.T. yang Berdiri Sendiri dan tidak pernah
memerlukan sesiapa juga untuk berunding dan membuat keputusanNya,
Umno pun tidak berunding dengan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
Melayu semasa membuat keputusan untuk menzalimi SAR.
Maka wabak SARS yang dihantar melalui jangkitan terkini telah
benar-benar menyesakkan pernafasan ramai manusia. Kini semakin
ramai orang bertopeng. Mereka terpaksa menekup hidung sebagai
langkah berjaga-jaga.
Bayangkan jika ini terus berkembang dan berlanjutan. SARS membawa
"deadly virus". Ketakutan terhadapnya wajar dan bersebab.
Kos pencegahan untuk membentengi serangan SARS nampaknya akan
bernilai jutaan ringgit. Duit rakyatlah itu; duit siapa lagi!
Nampaknya sedikit penjimatan yang mungkin timbul dari bantuan
perkapita yang disekat ke atas SAR terpaksa dipindahkan pula dalam
kuantiti yang lebih besar untuk menutup lubang bala yang
diturunkan oleh Allah S.W.T. melalui SARS. Inilah yang disebut
oleh Sir Francis Bacon sebagai "the remedy is worse than the
disease".
Jika ada menteri yang mahu berselindung dengan mengatakan ini
semua adalah berpunca dari faktor semula jadi dan berbentuk satu
lagi bencana alam, maka saya mahu bertanya, siapakah sebenarnya
yang memiliki alam.
Siapakah tuan yang menjadi Tuhan kepada alam ini? Jika kita
termasuk di kalangan makhluk yang mengenali Tuhannya, kita pasti
menjumpai jawapan kepada masalah ini. Jawapan kepada kemusykilan
ada tersimpan di dalam Al Quran yang disedut maksudnya melalui
nota-nota di bawah ini.
i) "Dan apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah dari
Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan)
dirimu sendiri." (Maksud sebahagian Ayat 79: Surah An Nisa')
ii) "Dan apabila kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia,
nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka
ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah
dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu
berputus asa." (Ayat 36 : Surah Ar Ruum)
iii) "Sesungguhnya apabila Kami kurniakan (merasakan) kepada
manusia sesuatu rahmat dari Kami, dia bergembira ria kerana rahmat
itu. Dan jika mereka ditimpa kesusahan disebabkan perbuatan tangan
mereka sendiri (nescaya mereka engkar) kerana sesungguhnya manusia
itu amat engkar (kepada nikmat)." (Maksud sebahagian Ayat 48:
Surah As Syuura)
iv) "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah
penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka
berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat
kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: "Sesungguhnya kami
orang-orang yang mengadakan perbaikan." (Ayat 10 dan 11:
Surah Al Baqarah)
v) "Janganlah kepercayaan kamu kepada Allah tertipu oleh tipu
muslihat diri sendiri." (Ayat 5: Surah Faathir)
vi) "Tidak akan merasa aman dari rencana maslahat Allah,
melainkan orang-orang yang mendapat kerugian." (Ayat 99:
Surah Al Araf)
vii) "Dan jika Allah murahkan rezeki kepada hamba-hambaNya,
nescaya mereka akan membuat kedurjanaan di atas muka bumi." (Ayat
27: Surah As Syura)
viii) "Demikianlah hukuman Tuhanmu, apabila Dia menghukum
penduduk-penduduk negeri yang membuat penganiayaan, sesungguhnya
hukuman Tuhan amat pedih dan keras." (Ayat 102: Surah Hud)
ix) "Barangkali yang menyangka bahawa Allah sekali-kali tiada
menolongnya (Muhammad) di dunia dan akhirat, maka hendaklah ia
merentangkan tali ke langit, kemudian hendaklah ia melaluinya,
kemudian hendaklah ia fikirkan apakah tipu dayanya itu dapat
melenyapkan apa yang menyakitkan hatinya." (Ayat 15 dan 16:
Surah Al Hajj)
Ringkasnya, kembalikanlah hak bantuan perkapita ke SAR. Lagi cepat
lagi baik. Jangan sampai Allah S.W.T. menghukum kita, baik yang
berdosa atau tidak berdosa dalam satu kadar musibah yang tidak
kuasa kita menanggungnya.
Tidak bererti sekali tersilap maka terus tersilap. Ini bukan
cerita alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Buatlah "U turn"; tiada salahnya.
Bukankah kita mempunyai ramai pemimpin yang sangat bijaksana? Bawa
bertenang dan tariklah nafas panjang-panjang. Kata cerdik pandai;
"part of the cure is to wish to be cured".