Oleh
Nik Abdul Aziz Nik Mat
SEBAGAIMANA kenyataan akhbar yang telah saya keluarkan pada 8 April 2003 dan menjadi bahan berita di akhbar-akhbar perdana keesokan harinya, pendirian kerajaan negeri adalah cukup jelas. Ia berbunyi:
"Pada asasnya hiburan ini benda yang harus. Tiada halangan untuk mengadakan perarakan kereta berhias bagi memeriahkan lagi sambutan Keputeraan KDYMM Al Sultan Yang Ke 53 ini."
Bagaimanapun, jika perarakan kereta-kereta berhias ini disertai dengan nyanyian dan tarian artis wanita, ia akan bercanggah dengan Enakmen Kawalan Hiburan 1998. Enakmen ini berkuatkuasa ke atas semua orang. Ia adalah suatu undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
"Jika pihak yang terlibat masih mahu meneruskan juga perarakan kereta berhias, segala elemen yang bercanggah dengan Enakmen Kawalan Hiburan 1998 hendaklah ditiadakan.
Buatlah permohonan kepada MPKB mengikut prosedur. Jika tiada percanggahan, InsyaAllah kita luluskan. Saya berharap semua orang bekerjasama untuk melahirkan sebuah negeri yang aman dan sejahtera."
Masalah mula kelihatan berbangkit apabila MTRK melanggar janjinya. Berpegang kepada ikrar, MPKB telah meluluskan permit setelah dilihat permohonan bertulis MTRK tidak mengandungi persembahan yang berlawanan dengan Enakmen 1998 itu.
Bagaimanapun, MTRK tidak mematuhi ikrarnya. Diantara apa yang bertentangan di dalam pertunjukan pada malam 12 April 2003 itu:-
i) Mengemukakan cek yang tidak dapat ditunaikan berjumlah RM20,000.
ii) Mengadakan persembahan yang melibatkan artis-artis wanita dalam sebuah pertunjukan awam.
Seperti yang saya tegaskan, enakmen ini berkuatkuasa kepada semua orang. Saya tidak dapat menyekat beberapa laporan polis yang menjadi hak setiap warganegara untuk mendakwa sesiapa sahaja dalam hal ini.
Kini ia telah menjadi kes polis dan mungkin berakhir di mahkamah jika didapati kes yang berkepentingan awam ini ada asas "prima facie"nya yang mencukupi.
Melihatkan kehadiran MTRK di Kelantan samalah seperti melihat satu pertubuhan yang amat berminat dengan hal-hal yang menimbulkan kontroversi.
Saya melihat begitu. Cubalah perhatikan. Setiap kali majlis yang diberi nama Majlis Tindakan Rakyat Kelantan ini mencampuri apa jua urusan, ia berakhir dengan kekecohan dan keresahan.
Mungkinkah ia sengaja bergerak untuk dengan sengaja pula menimbulkan kontroversi? Jawapannya boleh dicari jika kita mengenali MTRK dengan menjejaki kesan-kesan aktiviti peninggalannya. Marilah kita lihat sedikit profil pengerusinya. Dari segi rekod berpolitik, beliau pernah aktif dalam Berjasa, Umno, kemudian Semangat 46 dan kini dalam Umno pula.
Sewaktu menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas, beliau telah terjebak dalam krisis Pindaan Perlembagaan pada tahun 1993 yang amat menyentuh hati nurani seluruh penduduk di Kelantan. Orang ini telah tergamak menyebut bahawa:
"Umno tidak membela sesiapa yang menuntut takhta Kelantan tetapi mahu mengemukakan pandangan berdasarkan fakta sejarah supaya semua rakyat faham."
"Soal siapa menjadi raja Kelantan tidak timbul. Umno cuma membangkitkan perkara ini supaya takhta Kelantan diserahkan kepada pewaris yang sah berdasarkan fakta sejarah dan undang-undang."
"Selain Tengku Ibrahim, ada lagi waris keturunan Almarhum Tengku Ahmad Panglima Raja yang dikatakan akan menuntut takhta Sultan Kelantan." "Mengikut sejarah, Tengku Ahmad Panglima Raja adalah orang yang paling berhak menaiki takhta itu pada 1944, dan bukannya Tengku Ibrahim yang kemudian bergelar Sultan Ibrahim."
"Allahyarham Sultan Ibrahim ialah ayah kepada Allahyarham Sultan Yahya Petra, iaitu ayah kepada Sultan Kelantan sekarang." (Lihat Berita Minggu 11 April 1993)
Demikianlah sikap beliau 10 tahun yang lalu dalam memberi layanan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan. Kini beliau telah membawa sikap yang berlainan pula. Bagi beliau barangkali menukar pendirian terhadap Al Sultan adalah semudah menukar baju pagoda.
Kita lihat pula MTRK semasa terlibat dalam sebuah konsert di Hotel Diamond Puteri sempena sambutan Hari Keputeraan Al Sultan Kelantan beberapa tahun yang lalu. Sekali lagi ia mencetuskan sebuah demonstrasi berikutan dari berlakunya perlanggaran ke atas Enakmen Kawalan Hiburan yang sama.
Sekurang-kurangnya tiga orang telah disumbat ke dalam lokap. Malah, jika kita kembali kepada sejarah bagaimana Kelantan di bulan Oktober 1976 yang dibawa ke dalam huru hara sehingga MAGERAN diisytiharkan, Pengerusi MTRK yang ada sekarang inilah yang menjadi dalangnya. Ini dapat dirujuk dalam mana-mana buku politik.
Sejarah beliau sesungguhnya penuh dengan kekacauan dan selalu dihubungkan dengan punca ketidak stabilan.
Kes yang ketiga ialah semasa Dewan Undangan Negeri Kelantan membuat pindaan Perlembagaan Negeri pada 3 Rabiul Akhir 1422 / 25 Jun 2001 semata-mata untuk menyelaraskannya dengan pindaan yang telah dibuat diperingkat Persekutuan di tahun 1993.
Walaupun pindaan ini telah selamat dilakukan tetapi MTRK turut melibatkan diri dengan satu perarakan yang kononnya hendak dimulakan dari Bangunan Umno menuju ke Kota Darulnaim pada 25 Jun 2001.
Kemudian apabila dilihat tiada sambutan, MTRK telah berhimpun di tepi longkang kaki lima cucur atap bangunan-bangunan di Jalan Sultan Ibrahim sambil membuat bising, sebelum menyerahkan memorandum. Kali ini lain pula sikap dan haluan kompasnya.
Sekali lagi MTRK menukar baju sambil kelihatan melompat-lompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Apapun hal, MTRK telah mengesahkan kehadirannya untuk menggawatkan keadaan dan mencetuskan suasana yang tidak tenteram.
Saya tidaklah pula cemas dengan mereka malah kadang kala lucu menyaksikan perangainya. Cuma kadang kala tersinggung juga dengan kedangkalan para pemimpinnya.
Keadaan menjadi semakin melucukan apabila MTRK memutuskan untuk menyiapkan replika seekor burung raksasa daripada daun getah. Dia dibuat, disobek, dicat dan diberikan nama Petalawati. Diaraknyalah burung mati itu ke serata muka bumi.
Ini berlaku pada bulan April 2002. Punyalah khurafatnya pemikiran MTRK itu terbukti apabila Sahibul Samahah Dato' Mufti Kelantan mengeluarkan Fatwa berbunyi: Persembahan Artis "Menyentuh tentang penyanyi wanita, pada asalnya irama dan lagu, senikata yang indah tidak ada unsur-unsur yang tidak baik adalah harus.
Apa yang merubah hukum asal itu ialah perkara yang mendatang (Aridi) iaitu yang boleh menimbulkan fitnah, wanita yang tidak menutup aurat, pergaulan yang di luar batasan itulah yang mendatangkan hukum haram." Perarakan Replika Burung Petalawati"
i) Perarakan yang menerapkan unsur pemujaan adalah khurafat dan boleh membawa kepada terjejasnya aqidah;
ii) Keraian dan perarakan yang bersifat sedemikian wajar dielakkan sama ada dari segi penganjuran dan penyertaan;
iii) Kalaupun keraian dan aktiviti sedemikian tidak mengandungi unsur khurafat dan syirik tetapi perkara berkenaan tidak memberi sebarang kesan positif kepada mereka yang terlibat dengannya atau kepada yang menyaksikannya maka hukumnya adalah termasuk di bawah perkara al-Lahwu yang makruh dan perlu dielakkan demi pertumbuhan dan pembangunan iman individu serta masyarakat;
iv) Apatah lagi sekiranya kegiatan berkenaan memberikan kesan negatif dan mudarat kepada agama dan dunia seperti wujud unsur pembaziran yang tidak sewajarnya maka hukumnya adalah haram." (Lihat Petikan Fatwa Dato' Mufti Kelantan bertarikh 27 Muharam 1423 - 10 April 2002).
Jika pada perarakan burung petalawati pada 14 April 2002 itupun, itulah kedudukan fatwanya maka fatwa yang sama juga boleh dikiaskan dalam perarakan kereta berhias yang telah berlangsung pada 12 April 2003, empat hari yang lepas.
Apa yang terkandung dalam perarakan tersebut mengulangi apa yang berlaku sebelumnya. Di sana ada penyanyi wanita yang mendedahkan aurat. Di sana juga ada sebuah bahtera rakyat yang mewakili MTRK.
Bahtera itu mengukir patung seekor kuda atau kaldai yang diarak berbelas batu di sekeliling bandar. Berikutan daripada itu tidak kurang dari tiga laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak; semuanya membawa nada bantahan rakyat yang sungguh gelisah dengan gelagat MTRK dan para pemimpinnya.
Sebagaimana yang telah saya tegaskan, MTRK adalah satu badan yang sengaja mahu menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Pemimpinnya asyik berfikir ke arah menyumbangkan sesuatu yang boleh mengeruhkan suasana. Seakan-akan MTRK ini tidak boleh duduk dalam kejernihan.
Sifat tabienya menyamai 'anak berudu' yang suka hidup dalam kekeruhan. Seolah-olah apa sahaja yang menjadi kehendak enakmen dan menjadi Undang-Undang Negeri mahu dicabar. Negeri ini berdaulat. Kerajaan ini dipilih secara sah melalui proses demokrasi.
Negara kita mempunyai institusi polis yang mengawal ketenteraman awam. Kita amat percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Kita ada "rule of law". Kita mahu hidup dalam keadaan rukun dan sentosa.
Enakmen Kawalan Hiburan 1998 telah mendapat restu YB Dato' Mufti dan tidak menimbulkan sebarang syak akan kesahihannya. Ia menepati Hukum Islam. Tidak syak lagi yang MTRK telah mempermain-mainkan Enakmen tersebut yang telah diwartakan kuatkuasanya setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan.
Saya kira rakyat akan lebih menghormati jika MTRK mengambil usaha-usaha positif dalam kempen anti dadah. Mungkin juga tindakan MTRK boleh ditumpukan kepada kempen kebersihan.
Kerja-kerja amal seperti mencuci sungai dan membersih longkang adalah di antara kerja-kerja mulia yang barangkali boleh dipertimbangkan oleh majlis tersebut. Paling tidak, cuba-cubalah tonjolkan diri dalam kerja-kerja amal gotong royong untuk membersihkan kubur.
Saya ingat MTRK akan menjadi lebih popular dan tidaklah sangat akan melunturkan imej Umno. Tiada lain yang dapat saya berikan makna dalam menilai sumbangan MTRK melainkan melihat kehadirannya hanyalah tidak lebih dari mahu merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat pelbagai kaum di Kelantan.
MTRK yang kononnya mewakili rakyat amat songsang sekali tindak tanduknya. Rakyat mana yang majlis itu wakilipun saya tidak tahu. Yang pasti ialah pilihan raya 1999 telah memilih 41 wakil rakyat dari PAS.
Ini menandakan majoriti terbesar suara rakyat telah diwakili oleh 41 daripada 43 wakil-wakil rakyatnya. Enakmen yang diluluskan di tahun 1998 telah membawa mandat rakyat. Ia satu bentuk "endorsement".
Ia berkuatkuasa di atas kehendak rakyat yang diwakili oleh persetujuan wakil-wakil rakyatnya di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Apa lagi? Tanpa terlalu mengatur cara berfikir rakyat, saya dengan ini menyerahkan isu ini untuk direnungi oleh seluruh rakyat dengan sedalam-dalamnya.
Kita mahu bersama dengan Islam. Membangun bersamanya dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Mari kita perhatikan gerak geri MTRK dalam tindakan-tindakan mereka yang selanjutnya.
Dari mana mereka datang, untuk apa mereka hadir dan ke manakah arah yang akan dibawanya. Biasanya apa yang karut akan ditolak. Hanya yang benar akan bertahan, kekal dan tetap.
Ini selaras dengan maksud Al Quran berbunyi "Adapun buih itu akan hilang; dan apa yang menimbulkan manfaat sahajalah yang kekal di muka bumi." (Lihat Surah Ar Ra'd: Ayat 17). PAS tiada masalah. Kita ada arah dan haluan yang cukup jelas. Biarkan Umno dengan Umnonya. Biarkan! Biarkan