Sekolah Agama Rakyat Menjana Gelombang Kebangkitan Rakyat

Oleh Pendokong SAR

Latar Belakang Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah lama subur di negara ini sejak zaman pemerintahan British lagi. Tidak banyak yang diketahui tentang perkembangan SAR dan hanya muncul berita mengenainya apabila berlaku tragedi seperti kebakaran yang mana diberi liputan meluas oleh pihak media atas sebab-sebab yang sukar difahami. Walaubagaimanapun tiba-tiba isu SAR hangat diperkatakan apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberhentian per kapita Kerajaan Persekutuan kepada SAR. 

Alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri hanyalah rekaan beliau yang sehingga kini tidak stupun dapat dipertahankan. Setakat yang diketahui, hanya Dr Mahathir sahaja yang memilih untuk menjadikan SAR sebagai mangsa bagi menghapuskan segala bentuk pengaruh Islam yang dikatakan bertentangan dengan fahaman Islam yang beliau anuti. 

Isu ini tidak pernah dibangkitkan oleh ketiga-tiga Perdana Menteri sebelum Dr Mahathir. PAS adalah satu-satunya tempat untuk rakyat menyandarkan harapan terutama dalam hal yang menyentuh secara langsung paksi kehidupan mereka. Dalam isu SAR ini, tidak ada sebuah badan politik atau bukan politik yang mempunyai organisasi, jentera, tenaga manusia, rangkaian sistem pengurusan di berbagai peringkat, logistik dan kepimpinan lebih daripada yang dimiliki oleh PAS.

Adalah menjadi satu yang lumrah bagi masyarakat Islam terutamanya menaruh sepenuh harapan kepada PAS untuk mengadapi apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh Dr Mahathir. Isu Membabitkan SAR SAR adalah mangsa terbaru Dr Mahathir yang tidak pernah senang dengan suasana kebangkitan rakyat yang semakin mahukan Islam. Beliau melihat SAR sebagai sebuah pusat mendidik pelajar-pelajar supaya membenci pemimpin dan bukan sebagai tempat mengajar agama. 

Beliau juga mendakwa kononnya terdapat kanak-kanak yang kebetulan anak ahli UMNO yang mendesak ibu bapa mereka supaya menurunkan gambar pemimpin kerajaan tertentu yang digelar FIRAUN. Alasan yang sama juga telah digunakan untuk menyekat PASTI suatu masa dahulu. Berdasarkan kepada alasan rekaan Dr Mahathir yang hingga kini belum daapt dibuktikan kebenarannya telah mengakibatkan bantuan per kapita SAR dihentikan. 

Walaubagaimanapun apabila Dr Mahathir merasakan dakwaan rekaan beliau itu sebagai tidak logik, beliau mula mencari alasan yang lain pula. Kedaifan serta ketidaksempurnaan SAR telah dijadikan alasan pula untuk memaksa ibu bapa supaya memindahkan anak-anak mereka belajar di sekolah –sekolah aliran kebangsaaan untuk meneruskan pengajian mereka. 

Alasan-alasan yang direkakan oleh Dr Mahathir ini hanyalah untuk menutup kegagalan sistem pendidikan kebangsaaan mencapai matlamatnya. Masalah salahlaku pelajar daripada yang sekecil-kecilnya tuang sekolah sehingga kepada jenayah seperti membunuh adalah hasil daripada kegagalan sistem kebangsaan itu sendiri. Tindakan Liar Dr Mahathir terhadap SAR Dr Mahathir mendakwa meperjuangkan Islam tetapi dalam masa yang sama telah menindas SAR seperti berikut;

· Peruntukan wang per kapita telah diberhentikan kepada SAR oleh Kerajaan Persekutuan sejak awal tahun 2002 

· Guru-guru SAR (Guru Lembaga Sekolah) tidak memperolehi gaji sehingga sekarang.

· Pelajar-pelajar SAR dipaksa berpindah belajar ke sekolah kebangsaan 

· Keseluruhan SAR sedang menghadapi masalah kewangan yang serius dan kritikal bagi memulakan sessi pengajian tahun 2003

· Prasarana SAR serba kekurangan kerana bantuan tidak disalurkan oleh pihak kerajaan sebagaimana sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan 

· Terdapat pihak-pihak yang turut memburuk-buruk, memfitnah, berniat jahat dan menjatuhkan kredibiliti SAR sebagai Institusi Pendidikan Islam yang menjadi pilihan rakyat bagi melahirkan ulama, pemimpin negara dan rakyat terpelajar

· Terdapat segelintir pihak yang begitu kuat berusaha agar SAR ditutup daripada arus pendidikan perdana Kezaliman Pihak Pemerintah Terhadap SAR 

SAR adalah merupakan satu isu yang begitu hampir dengan orang Melayu sebagaimana sinonimnya Islam dengan Melayu. Banyak isu yang telah ditimbulakan oleh pihak UMNO/BN yang telah menaikkan kemarahan orang Melayu seperti penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pemberhentian royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu, menganak-tirikan negeri Kelantan dan Terengganu, isu KMM, isu ISA dan yang masih belum reda hingga ke hari ini adalah isu DSAI. Isu SAR adalah kemuncak kepada kezaliman serta hilang pertimbangan dan kewarasan pihak UMNO/BN yang bukan sahaja dirasai oleh satu dua individu malahan seluruh masyarakat dan umat Islam di negara ini.

Di antara kezaliman-kezaliman yang dilakukan oleh UMNO/BN terhadap SAR adalah; · Isu SAR ini hanyalah rekaan Dr Mahathir sendiri yang mana masih belum dapat dibuktikan kesahihannya. Beliau juga mereka-reka berbagai tindakan keras telah,sedang dan akan diambil terhadap mereka yang engkar.

· Dr Mahathir menganggap bahawa fahaman dan amalan agama cara beliaulah yang paling sahih dan mana-mana fahaman dan amalan yang bertentangan dengan citarasa beliau haruslah dihapuskan. Beliau menganggap bahawa SAR adalah lapangan yang paling subur untuk mencambahkan benih brand Islam yang tidak disenanginya.

· Memberhentikan bantuan per kapita terhadap SAR yang mana ia bukanlah hak mutlak UMNO/BN mahupun Dr Mahathir. Peruntukan kewangan ini adalah hak rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat yang mana dinafikan oleh Dr Mahathir. Beliau juga telah menyalahgunakan kuasa yang telah diberikan kepadanya oleh rakyat.

· Walaupun dakwaan Dr Mahathir bahawa SAR terlalu daif dari segi infrastruktur dan pengurusannya, tidak dapat dinafikan bahawa pelajar-pelajar yang dilahirkan daripada SAR mampu menyaingi pelajar-pelajar dari aliran kebangsaan. 

Banyak bekas pelajar-pelajar SAR mampu melanjutkan pengajian mereka di pusast-pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara. Mereka bukan sahaja berjaya dalam bidanh akademik malahan memiliki asas ilmu dan penghayatan agama yang mantap. 

Secara keseluruhannya, masyarakat menginginkan wujudnya satu sistem pendidikan yang boleh membimbing pelajar berjaya dalam bidang akademik mahupun agama. Kebanyakan ibu bapa mahu melihat insan ulama yang professional dan insan professional yang tidak canggung ditempatkan dalam persekitaran ulama.

· Pihak pemerintah telah lama menganaktirikan SAR. Kedaifan yang dialami oleh SAR adalah berpunca daripada bantuan kewangan yang terbatas, kemudahan infrastruktur di paras minima, tenaga pengajar yang kurang terlatih serta sosio ekonomi ibu bapa yang rendah. 

Walaupan dalam keadaan yang daif, ibu bapa terus yakin kepada sistem pendidikan SAR malahan sejak akhir-akhir ini SAR mendapat tempat di hati kalangan golongan menengah dan atas yang berlumba-lumba menghantar anak mereka ke SAR. Kebanyakan ibu bapa telah hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan yang gagal membentuk peribadi dan akhlak yang mulia di kalangan anak remaja.

· Dr Mahathir menggunakan pendekatan kukubesi dalam menangani isu SAR. Daripada mulut beliau sahaja arahan memberhentikan bantuan per kapita dikeluarkan. Daripada mulut beliau juga keluar tohmahan, cercaan dan dakwaan palsu terhadap SAR. Beliau juga telah menempelak guru-guru dan para ulama yang menjadi benteng utama SAR. Dr Mahathir tidak memperdulikan pertimbangan dan kebijaksanaan rakyat untuk memilih apa yang baik untuk mereka.

Beliau dengan angkuhnya menafikan hak ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka dididik dengan pelajaran bertunjangkan agama. Segala tindakan beliau dalam menangani isu SAR boleh disamakan dengan pemerintahan Komunis dan tidak berperikemanusiaan.

· Dengan penutupan SAR, maka lahirlah satu sahaja aliran utama pendidikan negara iaitu aliran kebangsaan yang akan meningkatkan lagi sistem sekular yang selari dan sesuai dengan citarasa Islam brand Dr Mahathir. Apabila ini berlaku, maka rakyat akan menjadi buta al Quran, buta Hadis dan paling teruk sekali akan menjadi buta agama. Di saat itu nanti, maka Dr Mahathir dan penggantinya akan merasa lebih selesa menguruskan negara ini lantaran tiada kefahaman unsur-unsur kebaikan yang dididik dalam agama Islam berpaksikan alQuran dan Hadis.

Rakyat akhirnya akan semakin jauh dari Islam dan tidak mustahil akan menentang Islam apabila sistem pendidikan Islam semakin terpinggir dalam pembinaan masyarakat. Dr Mahathir telah tidak sabar-sabar menantikan menjelmanya senario yang sebegini yang mana Malaysia akan menjadi negara Sekular seperti Turki. Pada ketika itu rakyat Malaysia yang beragama Islam akan mengetahui bahawa mereka adalah penganut Islam berdasarkan kepada nama sahaja. 

Seperti yang telah dijangkakan, pihak UMNO/BN akan terus menggunakan kuasa sewenang-wenangnya di dalam menangani isu-isu tersebut. Dalam isu Bahasa Inggeris telah diberi amaran keras bahawa tindakan ISA akan diambil. Adalah tidak mustahil tindakan ISA juga akan dikenakan ke atas mereka yang engkar kepada arahan UMNO/BN yang mana telah mendapat sokongan seluruh media yang berada di dalam cengkaman mereka. 

Oleh itu rakyat haruslah bangun menentang segala kezaliman yang dilakukan oleh pihak UMNO/BN. Biar rakyat yang menjadi hakim negara. Rakyat harus diberi pilihan untuk menuntut hak asasi mereka yang dijamin oleh perlembagaan negara. Oleh yang demikian bagi merealisasikan kebangkitan rakyat di dalam menangani isu ini berbagai tindakan telah diambil oleh pihak-pihak yang prihatin dengan isu SAR, antaranya:

· Menubuhkan Badan Bertindak Selamatkan SAR

· Mengadakan Road Show

· Mengadakan Majlis Dialog

· Mengumpulkan Dana Selamatkan SAR

· Gantungkan kain rentang, tampalkan poster, sebarkan handbills selamatkan SAR

· Ruangan Khas selamatkan SAR disiarkan dalam akhbar Harakah 

· Menyalurkan Maklumat sepenuhnya melalui Internet, e-mail, Fax dan SMS dan sebagainya.

· Mengeluarkan Kenyataan-kenyataan yang boleh memberi kefahaman kepada rakyat tentang isu SAR

· Mengadakan Solat Hajat 

· Menghadap Raja-raja Melayu 

· Memorandum kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan

· Mengumpul sejuta tandatangan bagi menyelamatkan SAR Suara Rakyat Yang Perlu diberi Perhatian Adalah tidak wajar bagi Dr Mahathir menggunakan taktik kuku besi dalam menangani permasalahan SAR. Terdapat 23 Juta rakyat Malaysia yang mana citarasa dan suara hati mereka harus didengar. Rakyat boleh memohon kepada kerajaan supaya:

· Menarik balik keputusan memberhentikan bantuan per kapita serta membayar balik bantuan per kapita yang tertengguh kepada SAR di seluruh negara.

· Mendesak kerajaan supaya membatalkan tindakan untuk menyerapkan pelajar SAR ke sekolah rendah/Menengah Kebangsaaan 

· Mendesak kerajaan supaya memberikan segala keperluan untuik mempertingkatkan kualiti prasarana dan pembelajaran kepada SAR sepertimana bnatuan yang telah diberikan kepada sekolahpsekolah kebangsaaan dan jenis kebangsaan. 

· Menyeru masyarakat supaya berusaha gigih dan meningkatkan penggembelengan dan solidariti bagi bersama-sama membantu SAR dalam pelbagai keperluan termasuk wang ringgit. 

Penutup 

Bagi PAS dan penyokongppenyokongnya, kita mempunyai saluran tersendiri. Mengharapakan manusia sudah tentunya kemampuan manusia untuk memberi adalah terbatas tetapi mengharapkan dan memohon kepada Allah sudah pasti limpahanNya tiada penghujung.