Oleh
Penulis Khas
Begitulah kalau kita membenarkan orang yang mengutamakan partinya (kuasanya) daripada kepentingan rakyat dan negara. Baginya demokrasi ialah menyokongnya bukan orang lain. Kerajaan adalah kepunyaan partinya bukan kepunyaan rakyat. Ini perkara asas dalam politik demokrasi, tapi malangnya orang yang tak faham perkara asas beginilah yang terlantik untuk jadi pemimpin.
Dan inilah salah satu ciri politik mana-mana negara islam. Yang berkuasa menindas dan menidakkan hak sebahagian rakyat yang tak sependapat dengannya. Kemudian kita sebok bercakap pasal patriotisme dan cinta negara! Sebenarnya orang berkuasa yang menindas rakyat beginilah yang mengkhianati negaranya! Tindakan beginilah yang meruntuhkan moral dan semangat kenegaraan dikalangan rakyat.
Ibarat kata kalau kita mahu dikasihi, kita sendiri mestilah belajar mengasihi orang lain. Jangan salahkan orang yang membenci kalau kita sendiri yang mengamalkan sifat membenci dan seterusnya menyemai kebencian! Anehnya kita menyalahkan orang lain termasuklah ustaz-ustaz kononnya mengajar membenci kepada pemimpin (ahli politik pemerintah), walhal kita lupa atau tak sedar kita yang menyemainya...Sebab itu kita jangan rasa pelik kalau pemimpin negara islam tak pernah bersatu pendapat, kerana dalam negara mereka sendiri mereka tak menghormati pendapat orang lain!
Dan mereka tak dapat membantu negara islam yang tertindas kerana mereka sendiri menindas sebahagian rakyat mereka! Memang tiada kesempurnaan dalam politik atau apa-apapun selagi ia dicipta oleh manusia, tetapi sekurang-kurangnya akal yang waras masih boleh menilai kemunasabahannya. Gaji yang dibayar kepada kakitangan kerajaan adalah juga sebahagiannya cukai rakyat Malaysia, bukannya hasil yuran keahlian parti pemerintah.
Nampaknya kita bukan sekadar meminta-minta untuk diberikan pangkat, malahan sampai ke peringkat mengugut untuk mendapatkan pangkat dan kekuasaan dan mengekalkannya. Kemudian setiap awal muharram, kita mula melaungkan..”Bersama menghayati keindahan islam”….dan akhirnya cinta negara hanya boleh dikaitkan dengan sukan (terutamanya badminton), bukan lagi akhlak pemimpin politik yang menjadi teladan kepada rakyat!
Cerita yang nak disampaikan adalah mengenai Pelbagai pihak di negeri Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap sikap 'samseng' pemimpin Umno yang membiarkan penyokongnya menumbuk Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat tanpa mempunyai sebab munasabah. Malah, pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kelantan yang ditemui turut menyatakan kesal teramat sangat terhadap 'kebiadaban' pemimpin dan penyokong Umno.
Mereka memberitahu segala tomohan yang dilemparkan terhadap pengarah, Zamri Ibrahim adalah tidak berasas sama sekali. Semantara itu akhbar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zamri Ibrahim diserang sekumpulan penyokong Umno pada majlis perjumpaan di sebuah restoran di Jalan Long Yunus. Menurut laporan tersebut, Zamri yang datang menemui Zaid ditumbuk oleh penyokong Umno ketika berjalan keluar meninggalkan perhimpunan itu.
Pegawai Bomba terbabit juga memberitahu tuduhan pengedaran Harakah berlaku di kawasan Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak berasas. Selain itu, katanya, pertukaran tempat kerja bagi pegawai dan kakitangan adalah perkara biasa yang berlaku di mana-mana jabatan dan agensi kerajaan. Tidak berbangkit hanya anggota Bomba yang menyokong Umno sahaja ditukarkan, kerana prosedur pertukaran membabitkan semua pihak.
Sementara itu, menurut sumber, Umno merancang untuk mengadakan perhimpunan di sebuah kedai kopi bersebelahan dengan Jabatan Bomba sejak awal lagi apabila menjemput semua media perdana termasuk RTM hadir. Katanya, program yang bermula kira-kira jam 5.45 petang itu dihadiri penyokong-penyokong Umno dari Cawangan Khatib Ali dan turut disertai Zaid Ibrahim, Fatmi serta Ketua Wanita Kota Bharu, Hajah Ilani Ishak.
Menurutnya, perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah kononnya Pengarah Bomba terbabit menyokong PAS dan tidak memberi kerjasama kepada Umno. Bagaimanapun katanya, apabila Zamri mengetahui perhimpunan itu diadakan bagi menyerahkan memorandum kepadanya, beliau datang seorang diri untuk menemui Zaid. Beliau berkata, selepas menemui Zaid dan menjelaskan seandainya pemimpin Umno tidak berpuas hati, mereka boleh merujuk kesnya ke mahkamah.
Ekoran itu, menurutnya, penyokong Umno tidak berpuas hati dan mereka menumbuk Zamri yang sedang berjalan keluar dari kedai terbabit. Sejurus selepas kejadian itu, Zamri dengan ditemani beberapa pegawainya membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kota Bharu. Difahamkan Zamri bertugas di sini kira-kira dua tahun lalu selepas bertukar dari Sarawak.
Beliau berasal dari Pulau Pinang. Sumber terbabit juga berkata, sebelum ini Umno pernah membuat provokasi dengan 'mengupah' orang tertentu memasang bendera PAS di kawasan Jabatan Bomba bagi menggambarkan pengarah terbabit aktif dalam PAS.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Mohd Baharuddin Mohd Noor kesal dengan insiden yang memalukan itu, yang menggambarkan budaya 'samseng' masih menghantui Umno. Sementara itu, pada satu ceramah di Sekolah Kebangsaan Padang Garong, Zaid mendesak kerajaan memecat pegawai Persekutuan yang menyokong pembangkang. Zaid berkata, beliau bukan sahaja mendesak supaya Zamri dibuang tetapi menyiasat siapa lagi yang menyokong PAS.