Oleh
Wartawan Kami
Berikut
adalah wawancara dengan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, ADUN Tanjong
Mas dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, yang mempunyai
banyak pengalaman pilihanraya. Beliau yang mesra dipanggil Cikgu
Rahim adalah Setiausaha Pilihanraya PAS Pusat.
Beliau
menghuraikan tentang isu-isu asas yang harus dibereskan oleh SPR
bagi memastikan perjalanan pilihanraya di negara ini berjalan
secara telus dan adil.
“SPR perlu
diangkat statusnya, bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Kita meminta SPR sebagai satu badan berkuasa yang dilantik oleh
Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-raja. Ini
supaya SPR menjadi badan bebas dan berkuasa,” tegas Cikgu Rahim.
“Dengan cara ini kita hendak menolong semua pihak
meletakkan SPR di tangga teratas, dan jangan diperalatkan oleh
mana-mana pihak. SPR juga perlu diberikan kuasa bagi
menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada,”
tambahnya.
WARTAWAN:
Boleh ceritakan sepanjang PAS melalui proses pilihanraya dari
dahulu hingga sekarang?
CIKGU
RAHIM: Sejarah PAS sepanjang 50 tahun memang banyak,
terutamanya dalam jatuh bangun penglibatannya dalam pilihanraya.
Bermula awal penubuhannya, PAS telah terlibat sebelum merdeka lagi
– 1955 sehinggalah pilihanraya ke-10 baru-baru ini.
Menerusi pilihanraya umum dan kecil, PAS memiliki pelbagai
pengalaman sebagai parti pembangkang, termasuk pengalaman tidak
memenangi satu kerusi pun. Walaupun pada hari ini Terengganu sudah
berjaya dimiliki sebagai kerajaan negeri, pernah suatu ketika
dahulu di Terengganu PAS tidak memiliki satu kerusi pun.
Kita juga pernah menyertai parti komponen BN, kemudian
keluar. PAS juga pernah berpilihanraya di peringkat kerajaan
tempatan, pada tahun 50-an, dan terakhir pada tahun 1962
menubuhkan kerajaan tempatan. Ini antara pengalaman-pengalaman
yang cukup berharga.
Saya dikira agak bernasib baik kerana berjaya mewarisi
sedikit sebanyak budaya kerja PAS menerusi pemimpin-pemimpin
terdahulu. PAS juga dapat menggerakkan jentera sekaligus
menggembleng tenaga dalam mengendalikan pilihanraya. Seterusnya
berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dapat mempertahankan
kewibawaan dan kesucian perjuangannya.
Merujuk
tentang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ketika zaman Tunku Abdul
Rahman dan Tun Razak, dalam soal bertanding dalam pilihanraya ada
perbezaan. Mereka meletakkan jawatan, kempen pilihanraya dalam
tempoh agak lama dan berjalan secara telus. Namun sekarang suasana
pilihanraya terkongkong dan tidak demokratik kepada parti
pembangkang. Apakah tanggapan sdr terhadap SPR dahulu dan sekarang?
Bagi
saya ini adalah perkembangan yang mengecewakan. Ketika zaman Tunku
sebagai Perdana Menteri, beliau bercuti untuk bertanding dalam
pilihanraya dan menyerahkan tugasanya kepada Tun Razak. Tunku
turun mengelilingi Tanah Melayu untuk berkempen. Tempoh kempen pun
agak lama. Ini kerana Tunku tidak mahu menyalahgunakan
kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Tunku sendiri banyak berkorban. Beliau menjual tanah bagi
membiayai keperluan parti. Bagaimanapun, sekarang jika dilihat
dalam pilihanraya Anak Bukit dan Pendang, cukup mendukacitakan.
Saya kecewa dan terguris hati melihat bukan sahaja BN
memperalatkan jabatan, jentera dan kakitangan kerajaan. Khususnya
polis, mereka sudi menjadi alat pemimpin Umno. Cukup mengecewakan.
Mereka bukan sahaja menyediakan out riders kepada pemimpin
Umno, tetapi menempatkan anggota-anggotanya di setiap persimpangan
jalan bagi memudahkan laluan pemimpin Umno, samada siang hari atau
waktu malam. Ini adalah pelanggaran etika.
Sepatutnya dalam hal penyalahgunaan kuasa oleh jabatan
kerajaan ini, SPR mampu bersikap lebih tegas. Dan rakyat perlu
lebih peka dan sedar akan penyelewengan ini. Rakyat perlu memberi
jawapan dalam kertas undi.
Menurut
PAS, apakah keutamaan atau kuasa yang perlu ada kepada SPR?
Misalnya SPR ada peruntukan kuasa untuk memberi peluang
pembangkang muncul dalam televisyen, sebaliknya SPR tidak
melaksanakannya. Manakala isu yang melibatkan politik wang
berleluasa dibiarkan begitu sahaja. Suasana ini jelas
memperlihatkan SPR menjadi alat kerajaan.
Baru-baru
ini Setiausaha Agung PAS menerima surat daripada SPR meminta
cadangan dan pandangan, terutama kesan pilihanraya di Anak Bukit
dan Pendang. PAS telah mengemukakan 14 cadangan, antaranya merujuk
kesan penyalahgunaan kuasa BN terhadap jentera kerajaan, supaya
SPR membuat peraturan bahawa pilihanraya hanya untuk calon dengan
calon, ataupun parti lawan parti.
Kita tidak mahu mana-mana calon ataupun parti memperalatkan
segala bentuk jentera kerajaan. Oleh demikian kita meminta SPR
mengambil perhatian dan tindakan melakukan peraturan pada
mana-mana parti, sekiranya calon tidak dibenarkan berceramah
menyentuh perkara-perkara sensitif, tetapi tidak sepatutnya calon
juga menggunakan jentera yang ada pada kerajaan.
Sepatutnya SPR bertindak tegas dalam perkara ini. Malah SPR
juga perlu diangkat statusnya, bukan di bawah Jabatan Perdana
Menteri (JPM). Kita meminta SPR sebagai satu badan berkuasa yang
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis
Raja-raja. Ini supaya SPR menjadi badan bebas dan berkuasa.
Dengan cara ini kita hendak menolong semua pihak meletakkan
SPR di tangga teratas, dan jangan diperalatkan oleh mana-mana
pihak. SPR juga perlu diberikan kuasa bagi menguatkuasakan
undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
Apa yang berlaku sekarang, banyak perkara yang SPR tidak
mampu laksanakan dengan alasan mereka tiada kuasa penguatkuasaan.
Berikan kuasa kepada SPR, supaya pengendalian pilihanraya dapat
berjalan lebih cekap.
Lagi satu, SPR menyediakan peraturan mana-mana media,
khususnya televisyen dan radio, memberi peluang kepada semua calon
yang bertanding menyampaikan mesej kepada rakyat. SPR mesti
membuat peraturan media massa memberi liputan yang lebih adil
terhadap calon dan parti yang bertanding. Ini prinsip demokrasi
yang perlu dipatuhi. Dan SPR yang mengendalikan badan ini perlu
melaksanakannya.
Kita juga meminta SPR berhenti daripada menjadi alat kepada
BN. SPR sepatutnya sedar mereka adalah satu badan berkuasa yang
tidak boleh diajar oleh mana-mana pihak. SPR perlu bertindak adil,
bebas dan telus. Mereka mesti menjaga kepercayaan rakyat.
Namun sekarang terdapat beberapa pegawai SPR yang
terbawa-bawa sikap terlalu cepat mempertahankan kerajaan, apabila
mendapat teguran daripada pihak pembangkang. Ini tidak harus
berlaku. Jangan kata hendak mempertahankan parti, hendak
mempertahan kerajaan pun tak boleh. SPR perlu faham, mereka sebuah
badan paling teratas, yang menjaga kepentingan rakyat.
Ada juga pihak yang menegur, misalnya SPR tidak mempunyai
kuasa menambah bilangan kerusi parlimen. Pihak yang berkuasa
menambah kerusi parlimen adalah parlimen itu sendiri, iaitu parti
yang mempunyai majoriti di parlimen.
Begitu juga kuasa menambah kerusi di negeri tertakluk dalam
kuasa Dewan Undangan Negeri, iaitu parti yang mentadbir kerajaan
negeri. Misalnya saya tidak berpuashati Kelantan tidak mendapat
penambahan kerusi parlimen. Sebagai kerajaan negeri, kita
bersetuju menambah dua kerusi DUN. Malah setiap kali persempadanan
di Kelantan akan mendapat pertambahan kerusi parlimen. Kali ini
Kelantan tidak mendapat sebarang kerusi. Begitu juga Terengganu,
Perlis dan Kedah.
BN begitu takut kehilangan kerusi yang ada, dengan pengaruh
pembangkang yang sedia ada di situ. Tetapi terdapat banyak kerusi
campuran misalnya di Kuala Kedah, Pokok Sena dan Baling. Jelas
akan berlaku kemasukan pengundi Cina di sempadanan baru ini.
Formula BN bertujuan untuk orang bukan Islam memberi undi kepada
mereka.
BN masih lagi menerima pakai pola pengundian pilihanraya
umum 1999 sebagai keselamatan untuk mereka pada masa akan datang.
Ini kelihatannya senjata makan tuan. Mereka hanya dapat
diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya
baru-baru ini. Suasana ini tidak semestinya berlaku pada masa akan
datang.
Kita lebih bertuah apabila 10 pengundi Melayu, enam
mengundi BA. Lebih 65 peratus kita mendapat undi popular daripada
orang Melayu. BN masih dapat mempertahankan kuasa kerana pengundi
bukan Melayu. Oleh demikian, BN mengharapkan pengundi yang di
kawasan campuran untuk memberi kejayaan kepada mereka.
Kita telah membuktikan Dr Shafiee Abu Bakar boleh menang di
Kajang (kawasan tradisi yang dimenangi calon MCA), mengapa tempat
lain kita tidak boleh menang? Begitu juga kita pernah menang dalam
pilihanraya 1982 di Sungai Dua, Pulau Pinang, iaitu Haji Zabidi
Ali. Malah kita bertembung dengan DAP dan BN. Akhirnya kita dapat
mengatasi kedua-dua parti tersebut.
Bolehkah
sdr jelaskan apakah sebenarnya pengundi hantu? Adakah PAS cuba
atasi permasalahan ini?
Pengundi
hantu adalah istilah yang digunakan kepada orang yang tidak layak
mengundi tetapi pergi mengundi. Ini pengundi yang menyamar. Mereka
menggunakan nama dan kad pengenalan orang lain dan menyamar
seolah-olah dialah orang tersebut. Tidak kira sama ada orang ini
telah mati atau bekerja di tempat lain yang tidak mungkin balik
pada hari mengundi. Kadang-kadang kita dapati orang yang sudah
mati datang mengundi.
Inilah kita istilahkan sebagai pengundi hantu.
PAS mengambil serius hal ini dan cuba menyelesaikannya
walaupun tidak selesai-selesai lagi. Antaranya kita cadangkan
kepada SPR supaya pendaftaran pemilih dilakukan secara automatik.
Rakyat yang genap 21 tahun terus ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
sekaligus mendaftar dengan SPR, dan mengikut alamat dan nama yang
tertera.
Sekiranya ada yang hendak menukar alamat, minta JPN uruskan
dengan SPR memgikut alamat baru. Sistem ini adalah mudah, simpel
dan tidak menelan belanja besar. Tetapi disebabkan kepentingan
pihak tertentu cadangan ini telah dibiarkan begitu saja.
Bagaimana
pula dengan undi pos? PAS seperti tidak sensitif untuk
memperjuangkan hal ini dengan lebih kuat. Seolah-olah PAS melihat
tidak relevan?
Masalah
undi pos telah banyak kali dikemukakan oleh pemimpin PAS sejak
dari dahulu lagi kepada SPR. Akhirnya sehingga peringkat SPR tidak
mempunyai kuasa oleh kerana tertakluk kehendak parti dan kerajaan
yang memerintah.
Apa yang berlaku sekarang dalam suasana yang tidak adil.
Pengundi pos pada asalnya dari golongan polis ataupun askar.
Apabila tiba pilihanraya, pegawai pengurus akan hantar kepada
mereka yang bertugas di tempat lain. Selepas mengundi mereka pos
kembali ke tempat kelahiran mereka. Itu disebut undi pos.
Sekarang ini kerajaan mengambil keputusan menghantar
kesemua pada polis dan askar mengikut tempat bertugas. Oleh
demikian mereka mengundi calon yang di tempat mereka bertugas.
Sepatutnya undi pos sudah tiada. Sebab mereka boleh bawa sendiri
kepada pegawai pengurus.
Berkenaan
beberapa pindaan mutakhir, misalnya kenaikan deposit poster
pilihanraya. Ini menimbulkan rungutan seperti ia dilihat menekan
pembangkang. Apakah sebenarnya yang sudah dipinda oleh SPR?
Perkara
yang dipinda adalah Akta Pilihan Raya 1958, dengan menaikkan
deposit maksimum sebanyak RM20 ribu. Kerusi negeri pula dinaikkan
daripada RM3 ribu kepada RM5 ribu. Manakala calon parlimen
daripada RM5 ribu kepada RM10 ribu.
Dan lagi, urusan deposit poster, iaitu membersihkan poster
selepas pilihanraya. Mana-mana poster yang tidak dibersihkan oleh
calon, ia akan dibersihkan oleh SPR dan wang deposit sebanyak RM10
ribu akan diambil separuh oleh SPR. Kedua-dua perkara ini memang
kita tidak bersetuju. Dan hal ini telah dibuat pindaan menerusi
parlimen.
Kedua, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tetapi ia telah
ditarik balik. Antara pindaannya melibatkan peraturan dan kaedah
hari mengundi. Misalnya parti politik tidak dibenarkan membina
bangsal panas. Ketiga, peraturan pendaftaran pemilih, sudah
dipinda, dan kini berkuatkuasa dengan kaedah pendaftaran sepanjang
masa.
Tetapi PAS sentiasa memantau perkara yang dilakukan oleh
SPR. Kita tidak mempunyai banyak masalah, dan telah dibuktikan.
Penting sekali, tahap kesedaran rakyat lebih tinggi. Walaupun kita
bermain di padang yang tidak sama rata, tetapi kita masih mendapat
kejayaan seperti di Kelantan dan Terengganu. Kita meminta badan
NGO bekerjasama memantau suasana demokrasi pilihanraya di
Malaysia.
PAS
kalah mungkin disebabkan masalah teknik dan teknikal. Umno pula
kreatif dan licik. Bagaimanapun, PAS dilihat seperti tidak
bersedia berhadapan dengan penipuan Umno. Apakah nasihat cikgu?
Saya tidak bersetuju apabila dikatakan PAS tidak bersedia.
Kadangkala tindakan kita tidak semestinya dihebahkan kepada orang
ramai. Terdapat perkara yang kita lakukan dengan jentera dalaman.
Dalam masalah kerja-kerja pilihanraya, kita boleh berasa bangga
apabila berjaya mengambil peluang menerusi ruang yang ada.
Misalnya di Anak Bukit, kita berjaya tangkap empat orang dan
mereka mengaku dihantar oleh Shahidan Kassim untuk mengundi.
Tetapi memang ada kelemahan yang perlu diatasi.