Oleh
Anual Bakhri Haron
KEHADIRAN Pemangku Perdana Menteri di Pasir Puteh, Kelantan pada 28 Mac 2003 tidak lebih dari satu lagi lawatan. Ia tidak meninggalkan apa-apa. Walaupun Umno cuba menjadikannya sebagai sesuatu yang besar dan menandakan angin perubahan, tetapi ia tidak terjadi.
Telah banyak kali diisytiharkan bahawa 'perubahan telah bermula' tetapi angin yang datang cuma sepoi-sepoi bahasa. Ia malah menyamankan lagi iklim redup di bawah kebijaksanaan payung lindungan berkat pentadbiran seorang Tok Guru selaku Menteri Besar Kelantan.
Kedatangan Pak Lah "is just another visit!". Petang semalam ada seorang berbaju biru cuba memaklumkan berita Pak Lah yang kononnya disambut hangat, tetapi ia berakhir dengan satu respon selamba dengan pertanyaan "ye ke" oleh seorang pengayuh beca sambil enak mencungkil gigi. "Betul ke 15,000 orang yang hadir?" beliau bertanya.
Saya ada satu jawapan mudah. Jika dalam keadaan separuh paksa menyambut Presiden Umno di Padang Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada 15 Januari 2003 yang lalu pun orang cuma berhimpun tidak lebih dari 7,000 orang,... entahlah.
Itu pun bercampur dengan polis. Apa yang pasti ialah banyak sekali Pak Lah sebutkan tentang perkataan 'cah keting'. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang.
Saya perhatikan selepas dua hari kepulangan Pak Lah, Ku Li telah merasmikan Pejabat MTRK di Taman Uda. Ia dihadiri oleh sekumpulan pemimpin dan penyokong Umno dan dipandang sinis oleh pihak yang lain.
Ramai orang beranggapan, pelantikan baru yang diketuai oleh Dato' Mustapa pada 15 Januari lepas benar-benar menambahkan lagi pergolakan dalaman dalam Umno dengan tiba-tiba.
Barangkali, melihat goncangan air perpecahan yang tidak mahu reda-reda itulah, Pak Lah telah mengingatkan sekali lagi dalam kunjungan keduanya akan bahaya amalan 'cah keting' yang dilihatnya sedang berlaku dan akan berulang dalam kampung Umno yang memang suka 'bermazhab'.
Jika Dato' Mustapa dilihat bersama dengan Zaid Ibrahim, Dr Awang Adik, Nawawi Mat Jusoh dan Mohd Alwi Che Ahmad, mustahilkah Ku Li dilihat bersama pula dengan Datuk Ibrahim Ali, Tan Sri Hussein Ahmad, Dato' Annuar Musa, Dato' Ariffin Hamid, Dato' Wan Zaid, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim, Dato'Shukri dan lain-lain Dato', Datin serta 12 orang Ketua Bahagian lagi yang kebanyakannya adalah bekas pemimpin dan penyokong Semangat 46?
Ikrar memang boleh dipekik dengan lafaz "berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan" tetapi bolehkah dipercayai? Begitu juga dengan pekikan yang dikatakan bergema di hadapan Pemangku Perdana Menteri yang diketuai oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Kelantan di Majlis tersebut. (Lihat artikel di Utusan Malaysia pada 31 Mac 2003).
Kononnya berkobar-kobarlah Ketua Wanita itu bertempik untuk menarik perhatian dengan tiga persoalan. Setelah diperincikan, kita tidak lihat apa-apa pun yang luar biasa. Ia cuma ulangan lapuk serangan Umno yang sangat "superficial" terhadap PAS. Tiada satu pun yang baru dan berjejak.
Tajuk artikel yang berbunyi "Wanita Kelantan akan kecewakan PAS" sudah menandakan sebuah ekspresi yang lemah. Perkataan 'akan' sangat hipotetikal. Semua orang boleh bercakap akan berbuat itu dan ini.
Orang mahu lihat perkara yang pasti. Apa yang tentu dan pasti ialah telah tiga kali pilihan raya iaitu di tahun 1990, 1995 dan 1999 yang menyaksikan wanita bersama PAS.
Keputusannya ialah PAS telah menang sebagai parti pilihan rakyat. Majoritinya cukup menggalakkan. Ini telah membuktikan bahawa PAS telah mendapat tempat yang istimewa di hati pengundi sejak 13 tahun yang lalu. Ini fakta.
Jika mahu bercakap soal "akan", Amerika dan tentera bersekutu yang menyerang Iraq pun pernah menyebutkan bahawa Baghdad "akan" menyembah bumi dalam tempoh 48 jam. Kini sudah masuk hari ke-13.
Bagaimana? Adakah AS akan menukar ayat kepada "akan menguasai Iraq dalam tempoh 48 hari pula atau akan..."
Antara hujahnya, Ketua Wanita itu turut menyebutkan bahawa Kerajaan Kelantan tidak membenarkan wanita bekerja pada waktu malam. Ini dihubungkan pula dengan bermacam-macam kesulitan yang diada-adakan.
Dalam hubungan ini, elok juga kita bertanya tentang sikap Ketua Wanita Umno Kelantan itu mengenai cadangan untuk mengurung remaja (lelaki dan perempuan) oleh Menteri Besar Perlis pada setiap malam. Bagaimana? Boleh setuju? Jawablah?
Ketua Pergerakan Wanita Umno Kelantan yang bernama Datin Nik Azizah Yahya perlu membaca peringatan Allah S.W.T. di dalam beberapa ayat Al Quran sebelum memekik tak tentu pasal.
Cukuplah beliau mentelaah sedikit maksud Surah Al Falaq tentang bahayanya malam dan kegelapan malam. Lihat maksud Ayat-Ayat berkenaan:
1) Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Yang menguasai Subuh,
2) dari kejahatan makhluknya,
3) dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,
4) dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,
5) dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki". (Surah Al Falaq : Ayat 1 hingga 5)
Apa hak dan daya upaya Yang Berbahagia Datin untuk menafikan peringatan dan pengesahan akan bahayanya malam dan segala implikasi bawaannya seperti yang disahkan sendiri oleh Allah S.W.T. Malam itu gelap.
Ia boleh membawa banyak bencana. Mungkin dari tukang-tukang sihir, pelbagai jenis makhluk atau orang-orang yang dengki termasuk dalam Umno dan sesama Umno itu sendiri. Ketakutan Pak Lah tentang amalan 'cah keting' dalam kegelapan perjuangan Umno adalah satu daripadanya.
Berpandangan jauh tentang bahaya kegelapan malam itu Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menggubal sedikit peraturan. Itu pun sekadar satu disiplin untuk memelihara wanita Kelantan agar tidak terdedah kepada ancaman kejahatan.
Semangat keprihatinan ini lebih bersifat pesanan seorang bapa demi mengasihi anak perempuannya. Bagaimana agaknya Datin Nik Azizah mahu nafikan bahaya wanita yang keluar malam apabila diizinkan oleh Umno untuk menjadi GRO, penari dan penyanyi nite club, pelayan bar, pekerja di rumah urut, tukang-tukang gunting uniseks dan salon-salon kecantikan.
Hatta Akta Kerja 1955 Seksyen 34 (Undang-Undang Buruh) pun turut menetapkan bahawa:
i) Larangan Kerja Malam
Kecuali menurut peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Akta ini atau apa-apa pengecualian diberikan di bawah Proviso kepada sub-seksyen ini maka tiada majikan boleh memerlukan mana-mana pekerja wanita untuk bekerja dalam mana-mana kegiatan perusahaan atau pertanian di antara jam 10.00 malam dan 5.00 pagi ataupun memulakan kerja pada hari itu tanpa mempunyai satu tempoh 11 jam berturut-turut bebas dari kerja tersebut.
Maknanya di sini, peraturan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan kehendak Akta yang barangkali lupa dibaca oleh Datin Nik Azizah.
alam hal ini, sekurang-kurangnya Kelantan telah mengadakan satu daya usaha. Ianya praktikal. Tidak timbul pun kesan buruk seperti yang cuba-cuba direka oleh Umno.
Namun begitu, kami tidaklah sampai mahu mengurung remaja pada setiap malam, seperti cadangan Menteri Besar Perlis. Kami tidak sampai melampau sehingga melihat remaja sebagai lembu kerbau atau ayam itik untuk dikurung.
Hakikat diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita oleh parti Datin Nik Azizah juga telah menyerlahkan perihal seriusnya kedudukan wanita. Jika wanita Malaysia sudah terbangun, kenapa perlunya dibangunkan wanita melalui sebuah Kementerian khusus.
Wanita di Malaysia sesungguhnya bukan setakat perlu membangun malah perlu dikeluarkan dari gaung kegelapan syirik, sekular dan kejahilan yang dalam. Wanita perlu dikeluarkan dari kegelapan "ignorant".
Mereka perlu diberi hak seperti hak-hak yang dijamin oleh Al-Quran. Hak-hak berpakaian seperti yang diizinkan, makan, keselamatan dan perlindungan adalah di antara yang telah dijamin oleh Islam.
Wanita Kelantan tidak ada sebab untuk tidak menyokong PAS kerana mereka sentiasa selesa untuk menjalani hidup selaras dengan tuntutan Islam. Ini kerana dasar-dasar Kerajaan Negeri diteraskan kepada kepentingan Islam. Menutup aurat.
Bebas berniaga. Bergaul dalam batas-batas seperti yang ditentukan oleh syara'. Bermualamat. Bebas mencari rezeki yang halal. Mereka membesar dalam suasana ilmu yang melimpah. Mereka dapat menggunakan seluruh kerajinan dan usaha ikhtiar dalam mencari kehidupan dalam suasana aman dan damai.
Pun begitu bersifat praktikal, kita perlu akui bahawa masalah sosial di kalangan wanita tetap ada walau di mana. Akan sentiasa ada kelompok yang tidak senang dengan dasar-dasar Islam.
Ini biasanya terjadi di kalangan kaum wanita yang rimas dengan disiplin agamanya sendiri. Lazimnya mereka adalah orang-orang Umno yang totok seperti Datin kita ini.
Sebab itu, kita dapat melihat perkataan-perkataan songsang beliau dalam ucapan itu tidak membawa "grip" yang mencukupi. Beliau kononnya mahu bebaskan wanita Kelantan dari belenggu PAS. Belenggu apa?
"Lupakan saja propaganda agama yang sering dimomokkan oleh pemimpin PAS." Demikianlah antara lain seruan beliau. Lihat ayat yang digunakan sekali lagi. "Lupakan sahaja propaganda agama....
Surah Al Asr sangat menekankan semangat berpesan-pesanan dengan perkara kebenaran. Begitu juga maksud Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sampaikanlah walau sepotong ayat." Semangat agama kita ialah berpesan-pesanan kerana manusia itu pada tabie sifatnya adalah pelupa.
Dia perlukan nasihat dan peringatan. Datin Ketua Pergerakan Wanita Umno kita pula sebaliknya menyuruh kita semua lupakan saja propaganda agama. Anehnya, pada musim Maulud, merekalah yang sibuk bermarhaban, berselawat dan berarak sana sini.
Jika propagandalah hujahnya, saya mahu minta beliau tunjukkan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang mana satukah menyeleweng dari ajaran Islam.
Saya ingat Nik Azizah perlu rajin sedikit membuka kamus untuk mengetahui maksud perkataan propaganda sebenarnya sebelum beliau memilih untuk menyalahgunakannya.
Akhir sekali beliau terus merapu dengan bertanya "Kalau PAS memerintah negara, adakah kita dapat seorang Gabenor Bank Negara wanita seperti Dr Zeti Akhtar Aziz?" Itu jawatan pentadbiran. Ia profesional.
PAS yang memerintah negara (InsyaAllah) tidak akan campur tangan dalam soal-soal begini. Dr Zeti tetap Gabenor Bank Negara. Tolong faham sikit. Ketua Wanita Umno ini mungkin terbawa-bawa dengan perangai dan amalan pemimpinnya yang mahu campur tangan dalam segenap perkara.
Beliau turut terbabas juga dengan poligami. Dituduhnya Nik Abdul Aziz itu dan ini. Tidakkah Kerajaan Negeri yang menimbulkan kes kelonggaran berpoligami ialah Perlis. Itu Shahidan Kassim. Apa yang Nik Abdul Aziz katakan ialah:
"Beliau menegaskan, undang-undang sebatan itu perlu diadakan kerana golongan terbabit berpoligami bukan kerana menolong janda atau isteri kedua, tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu. Orang macam ini tidak boleh dibiarkan hukumannya serupa dengan orang yang berpoligami dengan baik. Lelaki macam ini kena ada hukuman sebat mandatori selain dari denda, biar sampai mati pucuk terus." (Lihat Utusan Malaysia 28 Oktober 2002)
Pendek kata, sahlah Datin Nik Azizah membuat teks ucapannya dalam keadaan yang mengantuk. Dia hampir tidak faham langsung apa yang dituturnya. Dia membuat banyak fitnah pada dirinya dan parti yang diwakilinya. Lain kali berhati-hatilah.
Tidak rugi untuk bercermat dalam kata-kata. Terlampau lantang kerana mahu dilihat "jantan" pun di hadapan Pemangku Perdana Menteri akan melanggar pantangnya. Kalau ya pun nak menang; bertenanglah. Bawa bertenang!