Oleh
ROSLI OMAR
Pemikir sayap kanan
Ramai para penganalisis perang bertanya mengapa perang menentang
Saddam Hussein kali kedua mahu dilancarkan sekarang, lebih 12
tahun selepas Perang Teluk pertama.
Sebenarnya para pencetus perang ini sudah lama mahukannya, tetapi
peluang itu cuma diperolehi sekarang apabila George W Bush menjadi
presiden ke-43 Amerika Syarikat.
Siapakah para pencetus yang menunggu sekian lama itu? Mereka
terdiri daripada neo-konservatif, kompleks militeri-industri, puak
zionis, industri minyak, dan juga puak "Kristian
fundamentalis".
Ramai daripada neo-konservatif ini adalah mereka yang nampak bahawa
kepentingan AS dan Israel adalah sama. Hubungan mereka dengan
Israel lebih berpihak kepada parti Likud pimpinan Ariel Sharon
yang ekstrimis daripada parti Buruh.
Para pencetus perang ini saling berkait rapat dalam beberapa
pertubuhan dan "think-tank".
Projek
untuk abad baru Amerika (PNAC)
Antara pertubuhan terpenting adalah Projek untuk abad baru Amerika
(PNAC). Pada asasnya, PNAC menyarankan hegemoni global secara
militeri oleh AS. Pengerusinya ialah William Kristol, editor The
Weekly Standard, yang dibiayai oleh Rupert Murdoch.
Ramai pengasas PNAC adalah pegawai di bawah pentadbiran Reagan
yang terkenal dengan sifat agresifnya. Antaranya Donald Rumsfeld (sekarang
selaku Setiausaha Pertahanan AS), penolongnya, Paul Wolfowitz,
Dick Cheney (naib president), Zalmay Khalilzad (Duta Bush ke
Afghanistan), dan Richard Perle, pengerusi Lembaga Penasihat
Pertahanan di Pentagon.
Nama-nama lain ialah Dan Quayle (naib presiden di bawah Bush Sr),
Francis Fukuyama (penulis The End of History), dan Jeb Bush (adik
George Bush, yang juga gabenor Florida).
Suatu kertas kerja PNAC yang terpenting diterbitkan tiga tahun
lalu, bertajuk "Pembinaan semula pertahanan Amerika: strategi,
kekuatan dan sumber-sumber untuk abad baru", yang merupakan
asas untuk polisi luar AS.
Antara lain ia menyarankan perbelanjaan tentera ditambah AS$48
bilion supaya AS boleh "berperang dan pada masa yang sama
menang dalam beberapa peperangan". Ini sudahpun berlaku. Juga,
apabila Bush menjadi presiden, Iraq mesti dijadikan sasaran.
Senjata
pemusnah
Ini sedang berlaku. Apa yang dikatakan senjata pemusnah
besar-besaran Iraq cuma akan dijadikan sebagai alasan. Matlamat
yang lebih besar daripada menggantikan Saddam Hussein ialah "keperluan
untuk penempatan pasukan tentera AS yang besar di Teluk".
Pada pagi 12 Sept 2001 - sehari selepas serangan ke atas Pusat
Dagangan Dunia, WTC - walaupun masih tidak ada petunjuk siapa
penyerangnya, namun Rumsfeld telah meminta supaya Iraq diserang.
Beliau memberitahu mesyuarat kabinet bahawa Iraq mesti menjadi
"sasaran utama di pusingan pertama peperangan menentang
keganasan".
Bagaimanapun, Colin Powell menasihati Bush tentang penting dibentuk
pendapat umum mengenainya terlebih dahulu, sebelum menyerang Iraq.
Ini tidak berlaku. Sebaliknya Afghanistan dipilih sebagai sasaran
yang lebih sesuai. Dan akhirnya, kini tiba pula giliran Iraq.
Seorang lagi penama PNAC dan seorang zionis, Richard Perl,
adalah penasihat kepada pertubuhan yang bernama Institut Yahudi
bagi Hal-ehwal Keselamatan Nasional (JINSA).
Sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Pertahanan Pentagon, Perl juga
menjadi penasihat pertahanan kepada Rumsfield. Beliau juga
menganggotai lembaga akhbar The
Jerusalem Post, Israel. Syarikatnya, Hollinger Digital, juga
adalah penerbit harian paling konservatif di Britain, The
Daily Telegraph.
Kepentingan
Israel
Menurut laman-web JINSA, peranannya, antara lain, ialah "menyarankan
kepada komuniti pertahanan Amerika dan hal-ehwal luar, mengenai
betapa pentingnya peranan Israel dalam menguatkan kepentingan
demokratik di Mediterranean dan Timur tengah".
Ahli lembaga JINSA termasuklah Cheney, John Bolton dan Douglas
Feith. Bolton adalah Setiausaha Rendah Jabatan Negara untuk
Kawalan Senjata. Tugasnya ialah berusaha memusnahkan perjanjian
strategik terdahulu dengan bekas Soviet Union mengenai peluru
berpandu.
Feith adalah orang ketiga terpenting dalam Pentagon, di bawah Paul
Wolfowitz dan Rumsfeld. Di Pentagon, Wolfowitz, yang juga seorang
zionis, adalah pemikir dasar yang ekstrim dan sangat pro-Israel.
Rumsfeld dan dua orang bawahannya adalah sama-sama fanatik
menyokong Israel.
Seorang lagi dalam lembaga JINSA adalah James Woolsey, bekas
pengarah Agensi Perisikan Pusat, CIA. Perle dan Woolsey adalah
antara dua orang yang paling kuat mahukan Iraq diserang. Yang
lainnya termasuklah Jeanne Kirkpatrick, pegawai di bawah bekas
Presiden Reagan.
Suatu kajian terperinci mengenai JINSA telah dilakukan oleh Jason
Vest dari majalah The Nation,
AS. Menurutnya, antara ahli JINSA yang paling berpengaruh adalah
Michael Ledeen, yang menggunakan konsep "peperangan
total".
Pertukaran
rejim
Bagi Ledeen, Perle dan neo-konservatif yang lain, peperangan bukan
sahaja terhadap Iraq, tetapi konsep "peperangan total"
bersama dengan "pertukaran regim" yang kemudiannya akan
mensasar, dengan apa cara sekalipun, terhadap Iran, Syria, Saudi
Arabia dan Palestin.
Inilah yang sedang berlaku di Iraq. Tuntutan AS dan Israel supaya
presiden Yasir Arafat melantik seorang perdana menteri sudahpun
berhasil. Tujuannya ialah untuk melemahkan kuasa Arafat.
Kemungkinanya, calon perdana menteri ini mestilah orang yang
dipersetujui terlebih dahulu oleh AS dan Israel. (Permintaan
seorang perdana menteri pun dituntut ramai rakyat Palestin untuk
mengambil alih perjalanan seharian Palestin dari Arafat.)
Menurut The Nation lagi,
JINSA berusaha"mencari cara-cara baru untuk melemahkan
semangat orang Palestin". Misalannya, JINSA menuduh "[Arafat]
mengarahkan keganasan untuk ‘melindung Saddam’". Bagi
JINSA, "tidak wujud pendudukan Israel" di Tebing Barat
atau Gaza.
Pada tahun 1996, Perle dan Feith serta enam orang lagi, telah
menulis satu kertas kerja untuk Benjamin Natanyahu yang kemudianya
menjadi perdana menteri Israel. Kertas-kerja bertajuk "Satu
pendekatan baru: strategi untuk menang" melihatkan pemikiran
neo-konservatif mengenai hubungan AS-Israel.
Pertalian
JINSA dengan militeri
Antara lain, mereka menyarankan penggunaan tentera proksi untuk
"pertukaran rejim", merosakkan kestabilan negara lain di
Timur Tengah dan cara untuk menguatkan Zionisme haluan-kanan.
Terdapat ramai pesara jeneral dan laksamana laut dalam JINSA. Ia
akan membawa mereka (dan juga para kadet yang sedang bertugas)
melawat Israel dan bertemu dengan pegawai-pegawai di sana.
Sekembalinya dari Israel, mereka akan menulis artikel yang
menyokong Israel di dalam akhbar dan majalah.
Antara pesara tentera yang berpengaruh adalah Laksamana (B) Leon
Edney, Laksamana (B) David Jeremiah, dan Left-Jen (B) Charles May
dan mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pembekal
kelengkapan perang. Misalannya, mereka bertiga sama ada menjadi
juru perunding atau menduduki lembaga pengarah syarikat gergasi
Northrop Grumman atau anak syarikatnya.
Northrop Grumman membekal kapal untuk Israel serta peralatan
avionik untuk F-16, pesawat E-2C Hawkeye dan sistem radar Longbow
untuk Israel. Grumman juga bekerjasama dengan Tamam, anak syarikat
Industri Kapalterbang Israel (IAI).
Left-Jen (B) May, Left-Jen (B) Paul Cerjan, Laksamana (B) Carlisle
Trost, pula bertugas dengan sebuah lagi syarikat gergasi
kelengkapan perang, Lockheed Martin. Trost juga ada kaitan dengan
General Dynamics. Lockheed Martin membekal pejuang F-16 bernilai
AS$2 bilion kepada Israel.
Bagaimanapun, yang paling aktif di antara mereka adalah Laksamana
(B) David Jeremiah. Beliau merupakan presiden Technology
Strategies and Alliance Corp. Jeremiah juga adalah ahli lembaga
anak syarikat Northrop Grumman.
Beliau juga menduduki lembaga pengarah syarikat Alliant Techsystem.
Syarikat ini bekerjasama dengan syarikat Israel TAAS untuk
menghasilkan peluru getah yang digunakan untuk menembak rakyat
Palestin.
Kaitan Jeremiah dengan Perle bukan sahaja di JINSA. Beliau juga
merupakan ahli lembaga Dasar Pertahanan Pentagon yang
dipengerusikan Perle sehingga akhir Mac lalu.
Kompleks militeri-industri
Suatu lagi pertubuhan yang dikatakan oleh The Nation sebagai tidak dapat dipisahkan atau dibezakan daripada
JINSA ialah Pusat bagi Polisi Keselamatan (CSP). Perle juga ahli
lembaga penasihatnya.
Suatu ketika, CSP telah membeli ruang iklan dalam televisyen dan
akhbar menyatakan Palestin sepatutnya menjadi 'Musuh Nombor Satu'
dalam perang antikeganasan.
Sebelum berpindah ke Pentagon, Douglas Feith adalah pengerusi CSP.
Manakala presiden dan pengasasnya ialah Frank Gaffney, yang
merupakan orang kepercayaan Perle semasa mereka bertugas dengan
Senator Henry Jackson, yang dikenali gemarkan peperangan.
Gaffney juga adalah salah seorang penama dalam Penyata Prinsip PNAC.
Gaffney kemudian bersama Perle berpindah ke Pentagon sebelum dia
di arah keluar pada 1987 oleh Setiausaha Pertahanan ketika itu,
Frank Carlucci.
Pada Gaffney, ancaman terbesar terhadap AS bukan sahaja Iraq,
tetapi juga China. Bagi Gaffney lagi, tidak harus diberi sebarang
ruang kepada rakyat Palestin.
Seperti JINSA, pertalian CSP dengan industri perang amat ketara.
Bekas pegawai Boeing diwakili tiga orang - Stanley Abner, Andrew
Ellis, dan Carl Smith, yang merupakan penal guaman syarikat
Boeing. Smith juga adalah bekas pengarah staf bagi Jawatankuasa
Perkhidmatan Ketenteraan Senat.
Peranan
Boeing
Boeing telah mewujudkan kerjasama dengan Industri Kapalterbang
Israel (IAI) sejak 30 tahun lalu. Syarikat itu turut membekal jet
pejuang F-15. Dan bersama Lockheed Martin, Boeing juga membekal
helikopter tempur Apache kepada Israel. Apache sering digunakan
dalam operasi terhadap rakyat Palestin.
Dalam CSP, Lockheed Martin diwakili Charles Kupperman (naib
presiden untuk Peluru Berpandu Strategik dan Angkasa Lepas) dan
Douglas Graham (pengarah sistem pertahanan).
Manakala bekas Setiausaha Tentera Laut, John Lehman, pula
mewakili Ball Aerospace and Technologies, yang membina satelit
bagi Pentagon. Pembuat sistem komputer bagi peluru berpandu,
Hewlett-Packard, di wakili oleh George Keyworth.
CSP dibiayai oleh dana dari kontraktor industri pertahanan serta
puak zionis ekstremis, seperti "Raja Bingo California"
Irving Moskowitz. Dia juga turut menderma kepada JINSA (dan juga
seorang pengarah JINSA) dan kepada puak pendudukan haram ektremis
di Tebing Barat, Palestin, iaitu Ateret Cohanim.
Seorang lagi penderma CSP, Lawrence Kadish, juga merupakan penaung
bagi Jawatankuasa Nasional Parti Republikan dan bagi George Bush
sendiri.
Suatu badan yang boleh dianggap sebagai penaung bagi pelbagai
pertubuhan dan "think-tank" neo-konservatif dan
pro-Israel adalah Institut Enterpris Amerika (American Enterprise
Institute, AEI).
Perisikan
Israel
Naib-pengerusinya adalah Lee Raymond, pengerusi dan ketua eksekutif
ExxonMobil. Profesor Samuel Huntington (penulis The Clash of
Civilizations) antara penasihat akademiknya.
Di AEI wujud, sekali lagi, Richard Perle. Kali ini sebagai
"Resident fellow" pula. Rakan rapat Perle di sini adalah
David Wurmser yang mengetuai seksyen Timur Tengah.
Isterinya, Meyrav Wurmser, adalah pengasas bersama Institut
Penyelidekan Media Timur Tengah (Middle East Media Research
Institute, MEMRI), dengan bekas Perisikan Militeri Israel, Kolonel
Yigal Carmon.
Mengikut Brian Whitaker, yang mengkaji dengan terperinci
peranan AEI serta pertubuhan neo-konservatif AS yang lain dan
disiarkan akhbar British The Guardian, MEMRI "mengkhusus
dalam menterjemah dan menyebar artikel yang menunjukkan orang Arab
dalam keadaan yang buruk".
Meyrav Wurmser juga mengepalai seksyen Timur Tengah di Insitiut
Hudson. Di sini juga Perle bermain peranan - dia menjadi ahli
Lembaga Pemegang Amanahnya. M Wurmser juga terlibat dengan Forum
Timur Tengah (MEF) yang lantang menyuarakan kepentingan Israel.
Antara penulis AEI yang paling produktif adalah Michael Rubin. Dia
dikatakan pakar bagi Iran, Iraq, dan Afghanistan. Rubin pernah
menyifatkan bekas pesuruhjaya bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mary Robinson, sebagai "pembantu
keganasan".
Di AEI, Rubin membantu Perle dan M Wurmser.
Institut
Washington
Akhbar The Nation melaporkan bahawa dia akan mengetuai seksyen
Iran-Iraq di Pentagon. Selepas Iraq, Iranlah nampaknya yang akan
menjadi mangsanya berikutnya.
Sebelum ke AEI, Rubin bertempat di Institut Washington bagi Polisi
Timur Tengah, yang dianggap Whitaker sebagai badan pemikir
pro-Israel yang paling berpengaruh (Mungkin ini semasa Clinton,
tetapi di zaman Bush, mungkin JINSA yang lebih berpengaruh.)
Pengarahnya adalah Dennis Ross, seorang zionis dan bekas diplomat
Clinton ke Israel dan Palestin, kononnya untuk bertindak sebagai
pengadil yang adil bagi kedua-dua belah pihak.
Sebelum Ross, institut ini diketuai Martin Indyk, seorang rakyat
Israel yang berpindah ke Australia sebelum menawarkan khidmatnya
kepada Clinton.
Dia tergesa-gesa diberi kerakyatan Amerika beberapa hari sebelum
Clinton menjadi presiden dan terus dilantik menduduki Majlis
Keselamatan Negara (NSC) menjaga seksyen Timur Tengah. Indyk
hilang status keselamatan apabila dia dipercayai memberikan
maklumat rahsia kepada Israel.
Laman webnya menamakan ahli lembaga penasihat dari kalangan para
pentadbir Clinton seperti Warren Christopher (Setiausaha Negara)
dan Lawrence Eagleburger. Nama-nama lain ialah Alexander Haig (Setiausaha
Pertahanan di bawah Reagan), George Shultz (Setiausaha Negara
dibawah Reagan), Wolfowitz (sebelum ke Pentagon), dan Richard
Perle.
Hubungan
Amerika-Israel
Setiap empat tahun, sempena perlantikan Presiden Amerika, institut
ini akan membentangkan "blueprint" untuk polisi Timur
Tengah.
Pada tahun 2001, WINEP berjaya menghasilkan 90 artikel,
kebanyakannya dalam bentuk pojok di akhbar-akhbar berpengaruh - 14
di Los Angeles Times, New Republic (9), Wall Street
Journal (8), Jerusalem
Post (8), National
Review online (7), Daily
Telegraph (6), Washington
Post (6), New York Times
(4) dan Baltimore Sun
(4). Lima puluh daripada 90 artikel itu ditulis oleh Michael Rubin.
Institut Washington juga bekerja rapat dengan Jawatankuasa Akaun
Awam Amerika-Israel (AIPAC). Jawatankuasa itu disifatkan oleh New
York Times sebagai "organisasi terpenting yang melibatkan
hubungan Amerika-Israel".
Satu faktor terbesar yang mendorong Amerika menyerang Iraq tentulah
faktor minyak. Simpanan minyak Iraq adalah 112 bilion tong - yang
kedua terbesar selepas Arab Saudi. Amerika, yang pada masa ini,
mengimport 10 juta tong minyak sehari, hanya mempunyai 2 peratus
simpanan minyak dunia.
Pada tahun 2020, mengikut laporan Cheney, keadaan ini akan tambah
meruncing apabila Amerika perlu mengimport 17 juta tong sehari.
Tambah merisaukan lagi ialah keadaan politik yang semakin tidak
stabil di negara pembekalnya seperti Venezuela dan Arab Saudi.
Di Venezuela, Presiden Hugo Chavez yang berhaluan kiri tidak
disenangi Amerika. Usaha sedang dibuat untuk menggulingkannya,
walaupun agak liat untuk menjatuhkannya.
Tabung
lobi
Lagi pula, kata Ralph Nader, calon ketika, selain Al Gore, dalam
perebutan jawatan presiden AS yang lalu, 41 ahli pentadbiran Bush
adalah dari industri minyak.
Bush sendiri dari Arbusto dan Harken; Cheney bekas ketua eksekutif
Halliburton (yang baru-baru ini disiasat akaunnya); Condoleeza
Rice, penasihat Bush bagi Keselamatan Nasional adalah bekas ahli
lembaga Chevron; Don Evans, Setiausaha Perdagangan adalah bekas
pengerusi syarikat minyak dan gas Tom Brown Inc; dan Gale Norton,
Setiausaha Dalam Negara (Interior), yang menjaga tentang alam
sekitar ditentang perlantikannya oleh para pencinta alam kerana
peranannya sebagai peguam bagi Delta Petroleum.
Menurut Nader lagi, Bush menerima AS$1.8 milion sumbangan industri
petroleum semasa kempen presiden tahun 2000. Syarikat besar
mempunyai tabung khas untuk tujuan melobi. Misalnya, ExxonMobil
mengkhaskan AS$12 milion untuk mempengaruhi arah tujuan politik
dan ekonomi.
Halliburton telahpun mendapat habuan awal dari sengketa dengan
Iraq. Ia telah ditawarkan kontrak untuk membaiki infrastruktur
minyak Iraq selepas perang. Dan wang untuk membaiki infrastruktur
yang akan mereka musnahkan itu, akan datang dari jualan minyak
Iraq. Bijak sungguh otak orang Amerika ini.
Ada pihak yang cuba menyatakan tujuan AS bukan kerana minyak tetapi
kerana hendak membebaskan rakyat Iraq dari belenggu Saddam Hussein
dan membawa demokrasi ke negara itu. Misalnya, David Frum, bekas
penulis Bush, bertanya, kenapa kerajaan mahukan "peperangan
yang dijangka menelan belanja AS$100 bilion untuk mendapatkan
kontrak bernilai AS$40 bilion?".
Milan Rai, dalam majalah "online" Znet menjawabnya dengan menjelaskan bahawa kos peperangan adalah kos
sosial, iaitu yang dibebankan kepada semua, tetapi keuntungan cuma
terbahagi kepada beberapa pihak tertentu sahaja, iaitu mereka yang
rapat dengan pentadbiran Bush.
Lagipun, presiden Amerika yang mana yang mempertimbangkan
untung-rugi dalam usaha hegemoni mereka. Lihat saja kos peperangan
Vietnam atau Korea. Mana ada untungnya.
Fundamentalis
Kristian
Frum adalah bekas editor Wall
Street Journal. Tentulah dia orang yang pandai. Tetapi agaknya,
dalam cubaan untuk mempertahankan bekas bosnya, dia menjadi bodoh
sekejap. Dia terpaksa meninggalkan Rumah Putih kerana dia
memberitahu isterinya bahawa dialah yang mencipta sebutan
"Axis of Evil" yang digunakan oleh Bush.
Dan isterinya mengheboh kepada kawan-kawanya...dan akhirnya sampai
ke pengetahuan orang Bush. Bush mahukan dia dilihat sebaga orang
yang menentukan hala tuju dasar kerajaannya, walaupun semua orang
tahu sebaliknya.
Sekarang Frum merupakan "Resident Fellow" di AEI, bersama
dengan Richard Perle dan kawan-kawan lain.
George Bush menyifatkan dirinya sebagai orang yang diselamatkan
dari gejala alkohol oleh agama Kristian. Penyokongnya, selain dari
industri minyak, ketenteraan, dan perniagaan yang secara amnya
lebih rapat dengan parti Republikan, sebahagian besarnya adalah
apa yang disifatkan sebagai golongan konservatif "fundamentalis
Kristian".
Menurut Justin Webb yang melaporkan dari Washington untuk BBC
online pada 14 Mac lalu, pentadbiran menegaskan kehidupan Bush
sentiasa diselubungi dengan doa dan agama. Siang dan malam
terdapat perjumpaan agama. Adalah menjadi kebiasaan bertembung
dengan orang di Rumah Putih yang membawa kitab Injil ke sana-sini.
David Frum menulis bahawa semasa dia di Rumah Putih, ayat pertama
yang didengarnya ketika melaporkan diri ialah: "Tidak nampak
pun kamu di perjumpaan agama kita pagi ini?". Pertanyaan itu
bukan ditujukan kepada Frum yang merupakan seorang Yahudi, tetapi
kepada orang yang berdiri dekatnya.
Bantahan
ketua gereja
Golongan Kristian fundamentalis ini amat kuat menyokong Israel.
Bagi mereka "kedatangan kedua" al-Maseh Jesus Christ
cuma akan berlaku apabila orang Yahudi berkumpul semula di Israel.
Maka Israel adalah sebuah negara yang mesti disokong. Apa yang
mereka tidak beritahu orang Yahudi ialah mereka semua akan binasa
jika tidak menerima agama Kristian. Orang Yahudi berpura-pura
tidak tahu tentang perkara ini.
Itu adalah golongan fundamentalis Kristian Amerika. Tetapi Gereja
Anglican dan Katholik di Britain dengan lantang membantah
peperangan. Mereka menyatakan tidak ada kes moral untuk menyerang
Iraq. Ini bertentangan dengan dakwaan Blair bahawa kesnya dengan
Saddam Hussein adalah kes moral. Bantahan ini diutarakan oleh
ketua gereja masing-masing.
Kaitan antara beberapa pertubuhan dan puak-puak di atas merupakan
antara faktor untuk memerangi Iraq. Pertama, kemunculan Bush
sebagai presiden, yang amat memihak kepada industri minyak dan
industri ketenteraaan.
PNAC, dengan polisi neo-konservatifnya amat secucuk dengan
pentadbiran Bush. Pandangan bahawa kepentingan Amerika dan Israel
adalah seiring, diutarakan oleh kumpulan zionis dan neo-konservatif
yang berpengaruh di beberapa pertubuhan dan badan pemikir, seperti
JINSA/CSP, AEI, MEF, WINEP dan AIPAC.
Jurucakap Bush sendiri, Ari Fleisher, dipercayai adalah seorang
warga Israel.
Para "pemikir" neo-konservatif dan zionis akan dijemput
untuk memberi pandangan "pakar" mereka di akhbar,
majalah dan televisyen. Bagi mereka, Iraq bukan sahaja menjadi
ancaman kepada Israel tetapi begitu juga dengan Iran, Syria dan
Saudi Arabia juga.
Fakta bahawa mereka mempunyai minyak adalah suatu bonus besar.
Sebab itu cara mereka (tidak) bertindak kepada Korea Utara amat
berbeza dengan tindakan mereka terhadap Iraq.
Demokrasi
sebagai alasan
Lupakan soal hendak membawa demokrasi ke negara-negara berkenaan.
Rakyat kemungkinan besar memilih pemimpin yang anti-Israel dan
anti-AS. Di Iraq, 60 peratus penduduknya adalah puak Shiah yang
lebih rapat kepada Iran, seteru Israel dan Amerika.
Dalam demokrasi, jika pemimpin Shiah yang dipilih, ianya tentu
tidak disenangi Amerika dan Israel. Jadi, lupakan soal demokrasi.
Sebuah lagi firma yang sangat berpengaruh ialah The Carlyle Group.
Mereka melabur dalam industri ketenteraan. Ramai orang berpengaruh
berkhidmat di sana, termasuklah bapa George Bush, iaitu President
Amerika ke-41 (Nota: Bush Senior tidak bersetuju dengan niat
anaknya hendak menyerang Iraq).
Yang lainya, seperti James Baker, bekas setiausaha Negara dan Frank
Carlucci, bekas Setiausaha Pertahanan dan bekas Perdana Menteri
Britain, John Major juga berkhidmat dengan mereka. Begitu juga
dengan bekas presiden Filipina Fidel Ramos.
Peperangan tentulah menguntung firma seperti Carlyle ini. Firma
perang yang lain seperti Boeing dan Lockheed Martin juga mempunyai
ramai 'orangnya' di PNAC, JINSA dan sebagainya. oleh itu,
kepentingan mereka kepada Israel, keuntungan perang, minyak, dan
kekuasaan terhadap negara lain, saling berkait rapat.
Media massa terpenting AS dikuasai sebahagian besarnya oleh puak
zionis dan industri, terutama industri ketenteraan, seperti Boeing
dan General Electric. Lihat sahaja New
York Times, Washington
Post, CBS dan sebagainya.
Maka media biasanya akan memihak kepada kepentingan Amerika yang
juga sama dengan kepentingan mereka sendiri. Suara anti-perang
tidak diberi ruang yang mencukupi untuk memberi hujah mereka. Maka
Iraq menjadi mangsanya. - Malaysiakini.com