Umno  tidak mampu tawan Kelantan:Ibrahim Ali

Oleh Mageda Muda 

 Datuk Mustapha Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak mampu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan di dalam pilihanraya umum akan datang. Ketokohan calon UMNO dan ribuan orang yang menghadiri ceramah-ceramah anjuran parti itu bukan bermakna Barisan Nasional (BN) akan menang di Kelantan. 

Ia diakui oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ibrahim Ali yang kini hanya memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas. Sebelum rombakan UMNO Kelantan baru-baru ini, beliau memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Kelantan. 

Menurutnya, hanya isu besar yang membolehkan UMNO merampas Kelantan dari PAS di dalam pilihanraya umum nanti. 

Beliau memberi contoh bahawa dalam pilihanraya umum 1978 PAS tumbang kerana isu Menteri Besar Datuk Muhammad Nasir, PAS rampas Kelantan pada 1990 kerana isu Tengku Razaleigh dan mengekalkan kuasa pada 1999 kerana isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Jika tidak ada isu sebesar itu, UMNO usah bermimpi untuk menang di Kelantan. Calon tidak penting kerana penentunya ialah isu,’ katanya dalam pertemuan dengan Siasah Online di pejabatnya di sini hari ini. 

Kenyataan Ibrahim itu memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Mustapha selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang dipertanggungjawabkan untuk merampas Kelantan dari PAS di dalam pilihanraya umum akan datang. 

Rombakan UMNO Kelantan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menurutnya, tidak akan membantu bahawa UMNO akan menang di Kelantan. <

Kata Ibrahim, satu lagi cara Kerajaan PAS Kelantan jatuh ialah apabila rakyat Kelantan membenci pimpinan negeri yang ada sekarang. 

“Sudah ada tanda-tanda rakyat di peringkat akar umbi di seluruh Kelantan mahukan UMNO kembali memerintah Kelantan selepas pilihanraya umum nanti,” katanya lagi. 

Bagaimanapun, beliau mengakui Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat cukup kuat menghadapi UMNO di dalam pilihanraya umum akan datang. 

Ibrahim juga berkata, Nik Aziz bukan seorang ulama agama tetapi ulama politik kerana menggunakan Islam untuk mengekalkan pemerintahan PAS di negeri itu. 

“Malangnya rakyat Kelantan mudah ditipu dengan label ulama yang ada pada pemimpin-pemimpin PAS menyebabkan mereka terus mengundi PAS,” ujarnya lagi.