Oleh
Fathi Aris Omar
Majoriti peserta perhimpunan reformasi di Kuala Lumpur terdiri anak-anak muda Melayu. Di institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT), siswa-siswa Melayu rata-ratanya menolak Umno sehingga parti itu menuduh pihak pembangkang memperalatkan siswa. Ada juga cadangan agar Pergerakan Pemuda Umno menemui siswa dan memberikan penjelasan berhubung isu-isu semasa agar tidak diperalatkan oleh PAS. Bagaimana golongan muda Melayu bersikap tidak menyokong Umno dan sejak bila perkembangan ini wujud?
Generasi muda Melayu -- seperti sikap umum anak muda -- mudah bersifat anti-establishment. Bukan hari ini, atau sejak peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim pada September 1998, mereka menolak Umno. Sebenarnya sudah hampir 20 tahun generasi muda Melayu bersikap kritis (critical) atau menolak politik Umno dan gaya politik pemimpinnya.
Sejarah penolakan terhadap Umno secara besar-besaran bermula di kampus-kampus tempatan dan luar negara sejak awal 1980-an lagi. Ia dizahirkan melalui pertandingan-pertandingan pilihanraya kampus antara dua kumpulan siswa Melayu yang digelar "kumpulan siswa nasionalis" dengan "kumpulan pelajar Islam." Misalnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan-kumpulan yang bersimpati dengan Umno diwakili oleh Tindakan Siswa Bersatu (TSB) yang dikalahkan di tangan kumpulan pelajar pro-PAS yang dinamakan "Islam Penyelamat Ummah" (IPU). Fenomena yang sama -- kekalahan siswa Melayu pro-Umno di tangan siswa pro-PAS -- berlaku secara meluas di kampus-kampus IPT yang lain juga.
Separuh dekad 1980-an, IPT tempatan masih bebas -- pemimpin parti pembangkang dan ahli akademik yang kritis pada kerajaan dibenarkan memasuki kampus dan menyampaikan idea-idea mereka. Akibatnya, pengaruh kumpulan Islam meningkat mendadak. Sebahagian siswa menyertai kumpulan Islam sebagai aktivis pelajar tetapi umumnya siswa Melayu mula melihat kepincangan politik Umno. Pada dekad itu, pendedahan skandal demi skandal semakin meluas. Tetapi sejak Operasi Lalang 1987, untuk membendung pengaruh pembangkang, kampus ditutup daripada menerima tokoh politik pembangkang atau pensyarah yang kritis terhadap kerajaan.
Namun, siswa-siswa Melayu masih berhubung dengan pertubuhan-pertubuhan Islam -- PAS, JIM dan ABIM -- melalui program-program latihan di luar kampus pula.
Di luar negara, akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menggalakkan pelajar-pelajar Melayu ke IPT luar negara sejak 1971 lagi, anak-anak muda Melayu menikmati kebebasan dan idea-idea politik di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia. Kebebasan baru ini dimanfaatkan oleh kumpulan-kumpulan Islam untuk melatih siswa-siswa Melayu agar menerima idea-idea Islam.
Kumpulan-kumpulan pelajar Islam yang terkenal ialah Kumpulan Kajian Islam Malaysia (MISG) di Amerika Utara dan Majilis Syura Muslimin (IRC) di United Kingdom. Pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam, seperti dari PAS, ABIM dan Al-Arqam, sering dijemput untuk menyampaikan syarahan dalam kem-kem latihan siswa Melayu ini.
Sementara itu, siswa-siswa aliran pendidikan Islam yang dihantar ke negara-negara Arab dan Indo-Pakistan terpengaruh dengan kegiatan Islam di tempat mereka belajar. Aliran agama lebih mudah menerima idea Islam dan menilai kepimpinan Melayu dalam Umno dari perspektif mereka itu.
Kelab-kelab Umno di luar negeri disertai oleh segelintir sahaja siswa Melayu, puratanya tidak sampai 50 orang satu cawangan. Itu pun mereka mendapat bantuan kewangan dari Umno Malaysia untuk bergerak. Sedangkan beribu-ribu siswa Melayu pro-Islam bergerak cergas mengunakan wang sendiri.
Jadi, sebenarnya sejak awal 1980-an lagi, siswa-siswa Melayu perlahan-lahan meninggalkan Umno dan Barisan Nasional. Sebahagian besarnya membentuk golongan profesional dan kelas menengah Melayu yang baru. Mereka tinggal di bandar-bandar besar, berfikiran moden, mempunyai kesedaran Islam, dan bersikap kritis terhadap Umno. Golongan inilah yang bergerak cergas dalam gerakan politik menentang Umno sepanjang setahun lalu selepas peristiwa pemecatan Anwar. Mereka yang pernah aktif bersama kumpulan Islam di IPT tempatan atau luar negara itu menyertai PAS, sementara mereka yang lebih dipengaruhi idea-idea demokrasi Barat menyertai Parti Keadilan Nasional.
Dalam tempoh yang sama, kekuatan ideologi nasionalisme Melayu yang dibawa Umno sudah lemah. Pergerakan-pergerakan belia dan pelajar yang pro-Umno seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) atau Belia 4B tidak lagi popular di kalangan graduan-graduan IPT. Pertubuhan belia rata-ratanya disertai oleh golongan muda dari luar bandar dan rendah tahap pendidikannya.
Sejak pengaruh Umno merosot di kalangan siswa Melayu lebih kurang 20 tahun lalu, Umno tidak pernah berusaha atas kekuatannya sendiri untuk memenangi hati golongan muda ini. Umno, seperti lazimnya, menggunakan beberapa jentera kerajaan, misalnya Biro Tata Negara (BTN), unit Hal Ehwal Pelajar di universiti dan Kementerian Pendidikan, untuk mengindoktrinasi (indoctrinate) siswa Melayu, termasuklah di peringkat sekolah menengah.
Pada dekad 1980-an, kem-kem bina semangat banyak didirikan di seluruh negara untuk tujuan ini -- sebahagiannya untuk menyekat pengaruh PAS dan sebahagian niatnya untuk membina pengikut-pengikut baru Umno. Namun, golongan muda Melayu tidak tertarik dengan idea BTN dan bahan-bahan yang disampaikannya. Malah, program BTN dilihat sebagai satu paksaan.
Pada dekad itu, media-media arus perdana (mainstream media) menyerang kegiatan siswa-siswa Melayu yang pro-pembangkang ini, misalnya isu "ajaran sesat", dan "pelajar yang melampau" tetapi pemuda-pemudi Melayu tidak berjaya dipengaruhi. Hanya ibubapa mereka yang berasa bimbang tetapi oleh kerana generasi muda Melayu ini berjaya dalam akademik, mendapat kerjaya yang baik dan berwatak mulia, ibubapa pun tidak lagi mempedulikan kecenderungan politik anak-anak mereka.
Rupa-rupanya kecenderungan anak muda Melayu ini menjadi "bom jangka" (time-bomb) kepada Umno. Ketika krisis dalam Umno pada 1987, antara Team A pimpinan Dr Mahathir dengan Team B pimpinan Tengku Razaleigh, anak muda ini semakin meragui Umno walaupun mereka tidak menyertai Parti Melayu Semangat 46 (PMS46).
Namun, apabila timbul sekali lagi krisis dalam Umno, generasi muda ini menyertai panggilan "reformasi" yang dilaungkan oleh Umno. Golongan profesional, siswa dan anak-anak mereka di sekolah menengah menolak Umno secara en bloc (beramai-ramai). Akibatnya, Umno kehilangan jumlah undi yang besar di tangan orang Melayu pada pilihanraya ke-10 yang lalu. Parti itu berjaya meraih 30 hingga 40 peratus undi Melayu sahaja.
Bagaimanapun, setahun sebelum Anwar dipecat, sikap generasi muda Melayu sudah semakin kritis terhadap Umno. Sebaik sahaja berlaku krisis ekonomi pada 1997, jualan majalah yang pro-pembangkang seperti Tamadun meningkat berpuluh-puluh ribu naskhah (dari 10,000 kepada 50,000 unit). Sebulan selepas Anwar dipecat, jualan majalah itu meningkat ke angka 140,000 naskhah! Jualan akhbar tabloid PAS, Harakah, pula meningkat dari 60,000 naskhah kepada 300,000 naskah dalam tempoh dua bulan selepas Anwar dipecat.
Separuh daripada jualan Tamadun, Harakah dan majalah politik Detik (diterbitkan mulai Januari, 1999; jualan 40,000 naskhah) habis di Lembah Klang sahaja -- angka ini membuktikan golongan kelas menengah Melayu membaca bahan-bahan politik tersebut untuk mengetahui perkembangan semasa. Akhbar harian yang sering dibaca oleh golongan Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times jatuh mendadak antara tujuh hingga 12 peratus antara tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.
Sebenarnya sudah terlewat jika sekarang Umno hendak mendekati dan mempengaruhi generasi muda Melayu. Parti itu sendiri nampaknya gagal mengetengahkan tokoh-tokoh pemimpin pemuda yang berkaliber (calibre). Tempoh 20 tahun terlalu lama -- kenapa parti itu membiarkannya? Inilah kegagalan politik Umno yang boleh memusnahkan masa depannya
sendiri.